Thursday, July 09, 2015

Balik Kampung

Nostalgia balik kampung untuk berhari raya saya tidaklah sebanyak mana. Selama lima tahun belajar di MRSM, balik kampung setiap raya tidak pernah bertiket pun. Kami pulang ramai-ramai menaiki bas yang disewa khas oleh pihak sekolah untuk pelajar-pelajar Kelantan. Perjalanan yang tidak sampai tiga jam pun dari Kuala Terengganu itu selalunya saya layan dengan tidur sahaja. Tiba di stadium Kota Bharu, ayah sudah sedia menanti untuk mengambil saya dengan motor Honda Cup 70nya.

Apabila menyambung belajar ke Matrikulasi Kulim dan Kuala Pilah, situasi sama juga saya lalui. Tidak pernah risau tentang tiket habis atau bas tiada kerana semuanya terurus rapi.

Di UKM, barulah saya sedikit kalut. Pun, tidaklah teruk mana. PERDANA, persatuan mahasiswa Kelantan Darul Naim sentiasa sahaja membantu dengan menempah bas untuk kami. Cuma, kena cepat-cepat juga sebab tempat terhad.

Selepas itu, saya tidak lagi bergelut dengan kesesakan jalan raya atau kesukaran mendapat tiket setiap kali mahu pulang beraya kerana saya sudah menjadi penghuni setia negeri Kelantan.

Syukur benar saya. 

Hari raya saya tidak pernah ada giliran. Rumah emak dan mentua cuma sepelaung sahaja jaraknya. Apabila ada rumah sendiri, lagilah saya tidak perlu beraya di mana-mana. Hanya menunggu tetamu di rumah sahaja.

Tahun ini, rasanya rutin yang sama akan saya lalui. Usai solat Aidilfitri, saya akan ke rumah emak, mentua dan ipar duai. Selepas Zohor saya akan pulang ke rumah sendiri pula.

Lama-lama, hari raya sudah menjadi sesuatu yang tidak dinanti-nanti lagi. Semakin menua usia diri, semakin hilang keinginan berhari raya. Jika boleh, biarlah raya sehari cuma!

No comments:

Post a Comment