Cerita suami saya tadi.
Di sekolah, suami saya mengisi borang cuti rehat dan masuk berjumpa puan pengetuanya untuk dapatkan tandatangan.
"Kenapa cikgu nak cuti ni?" Biasalah pengetua, mesti nak bertanya. Takkan senyap je kan.
"Saya nak bawa isteri saya jumpa pakar."
"Isteri cikgu sakit apa?"
Seperti selalu, suami saya pun bercerita, menjawab tanya pengetua itu. Tak tahulah dari A sampai Z atau setakat M sahaja.
"Ooh... begitu. Mmm, anak cikgu dah berapa orang?" Masih pengetua mahu penjelasan.
Tiada. Kata suami saya.
Puan pengetua itu berasa bersalah mungkin, lalu meminta maaf.
Belum lagi selesai di situ.
Cerita suami saya lagi, puan pengetua itu cuba memberi cadangan.
"Rugi cikgu, tiada zuriat. Cikgu tak mahu nikah lagi satu ke? Saya boleh tolong carikan."
Suami saya menjawab, "saya perlu fikir tentang banyak perkara puan. Bukan semudah itu nak buat keputusan."
(Itu inti ceritanya. Mungkin ada perbezaan dialog tetapi intinya begitulah.)
Tiba-tiba dada saya bagai dihimpit sebaik suami selesai bercerita. Tiba-tiba mata saya rasa mahu mengalirkan cecair jernihnya. Tiba-tiba saya rasa hiba.
Pada hal, saya sentiasa mahu bersedia dan ada ketikanya saya mahu menyuruh. Kenapa apabila cadangan itu terlahir dari mulut orang lain, saya jadi sayu?
Terasa jauh benar hati saya.
Lalu saya mula memahami realitinya. Realiti seorang wanita seperti saya.
Semoga saya kuat untuk menerima setiap ketetapan.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment