Manis sekali anak ini, tetapi dia cuma diberi kesempatan melihat dunia ini selama 90 hari cuma. Tanggal 27 April 2015 dia tiba, dan seawal pagi 27 Julai 2015 dia pulang kepada Maha Pencipta.
Tabahlah wahai ibu dan ayah Raisya.
Hadirnya sangat-sangat dinanti oleh ibu dan ayahnya yang sekian lama mengharapkan zuriat. Raisya disambut dengan penuh syukur dan bahagia, tetapi siapa sangka Raisya tiba bersama "epidermolysis bullosa", sejenis penyakit yang sangat jarang berlaku.
Kulitnya cepat luka walaupun dengan sentuhan lembut. Saban hari dia menangis kesakitan dan tidurnya sering terganggu.
Ibunya rakan lama saya. Dalam usia 43 tahun dia dianugerah anak pertama, tetapi hanya untuk 90 hari.
Saya yang menerima berita ini dari jauh pun tidak mampu menahan hiba, apatah lagi ibu dan ayahnya. Saya tahu ada hikmah tersirat buat pasangan tabah ini. Allah tidak menguji jika kalian tidak mampu.
Tabahlah sahabat. Anak suci ini permata syurga. Jika di dunia dia menderita, yakinlah kini dia sedang bahagia menantimu di syurga.
No comments:
Post a Comment