Monday, July 13, 2015

Sahur

Apabila jam telefon saya berdering pada 4.05 pagi, saya sudah tidak berani untuk melambat-lambatkan bangun. Walaupun jam itu saya tetapkan untuk ulang berbunyi setiap sepuluh minit, tetapi saya takut jika tiba-tiba saya terlajak dan terlepas sahur.

Menjaga sahur orang lain sebenarnya lebih susah daripada menjaga sahur sendiri. Kita sering bimbang jika tidak terjaga kerana ia melibatkan bukan sekadar diri kita sendiri. Jika puasa seorang diri (puasa ganti selalunya) saya tidak berapa berkira tentang sahur. Secawan milo dan beberapa keping biskut sudah memadai. Tetapi apabila perlu menyediakan sahur untuk suami, tentulah ia lebih daripada itu.

Alhamdulillah, tahun ini puasa yang kesembilan belas saya lalui bersama-sama suami saya dan sehingga kini saya masih belum terlepas sahur walaupun sekali. Setiap kali hari pertama Ramadan menjengah, saya pasti tidak akan mampu lena tidur pada malam itu. Setiap satu jam saya akan terjaga hingga ke pukul empat. Saya tidak tahu kenapa, tetapi itulah yang saya alami sejak bertahun-tahun. Malam 1 Ramadan, tidur saya on-off. Mungkin takut terlepas sahur, maka saya tidur dalam beringat. Seringnya, sebelum tidur saya sudah menetapkan menu yang akan saya masak. Bahan-bahan akan saya sediakan dan apabila bangun sahur, saya cuma perlu jerang sahaja.

Untuk Ramadan kali ini, masih berbaki tiga kali sahur lagi untuk saya lalui. Semoga tiada yang terbabas.

No comments:

Post a Comment