Wednesday, July 29, 2015

Pinjam

Dia sahabat lama saya. Kami sama-sama bersekolah di MRSM Kuala Terengganu. Masa di tingkatan empat, kami seasrama dan sekelas. Rapatlah juga waktu itu.

Bapanya orang hebat, wakil rakyat di satu kawasan dalam negeri saya. Dia tidaklah menunjuk-nunjuk atau berlagak dengan kehebatan bapanya, tetapi nampak di mata saya dia orang senang. Saat mendengar cerita tentang keluarganya, saya akan diam sahaja. Tidak mampu dibanding dengan kisah keluarga saya.

Lama terpisah, kami bertemu kembali pada zaman dunia tanpa sempadan ini. Mulanya, sekadar bertegur sapa di facebook. Itu pun bukan selalu.

Mac baru-baru ini, dia menghubungi saya melalui aplikasi WhatsApp. Nadanya tidak ceria.

Dia mahu meminjam wang saya sebanyak seribu. Katanya, suaminya sakit dan terlantar di hospital

Saya ini, mudah simpati. Lagi pun, saya percaya padanya. Dengan latar belakangnya, saya yakin dia benar-benar memerlukan. Tanpa prejudis, saya memberinya wang itu.

Dia berjanji membayarnya apabila mendapat gaji nanti.

Apabila waktu janjinya tiba, dia memohon penangguhan. Katanya, rumahnya pula dipecah masuk. Dia belum mampu membayar wang saya.

Seperti biasa, saya tidak kisah. Saya berinya waktu dan meminta dia tidak tergesa-gesa.

Hari ini, sudah hampir lima bulan berlalu. Dia tidak langsung menghubungi saya menyebut tentang hutangnya itu.

Rupa-rupanya, bukan saya seorang yang menjadi tempat dia memohon hutang. Ramai lagi rakan saya yang senasib. Baru saya tahu yang sebenarnya, dia hanya menipu!

Modus operandinya sama. Jika ada yang tidak mahu memberi, dia tetap mendesak sehingga kawan itu tiada jalan lain selain memberinya wang yang dia mahu. Apabila dapat, dia akan diam.

Hairan saya. Manusia begini wujud kerana apa? Masalah jiwakah?

No comments:

Post a Comment