Saturday, July 11, 2015

Survival

Masa belajar di universiti dulu, kesusahan yang dirasai tidaklah setara mana. Waktu itu kita tiada tanggungan pun. Hanya menyara diri sendiri dengan wang pinjaman pendidikan yang diterima. Walaupun selalu tidak mencukupi tetapi ia bukanlah masalah besar. Apa yang lebih penting waktu itu ialah belajar dan lulus exam. Wang tidak cukup, boleh sahaja tebalkan muka untuk meminta dari ayah. Tentu ayah tidak berkira untuk membantu. Lagi pun, banyak mana sangatlah yang diperlukan. Bukan kena bayar ansuran kereta dan bukan juga mahu beli pakaian mahal. Cukup sekadar untuk mengalasa perut sendiri.

Apabila sudah bekerja dan berkeluarga, barulah kita tahu realiti sebenar sebuah kehidupan. Pada masa ini, kita bukan lagi menghadap peperiksaan di dewan, tetapi ujian hidup di alam nyata. Bukan lagi bilangan A+ menjadi ukuran, atau gred purata 4 flat, tetapi kebijaksanaan dalam merancang dan mengatur perbelanjaan yang tidak mampu diukur dengan apa-apa unit pun di dunia ini. Ia sangat abstrak dan sesiapa sahaja boleh lulus atau gagal berkali-kali.

Ucapan Zahra yang menjadi tumpuan waktu ini sebenarnya mewakili mereka yang baru menjenguk alam realiti dengan harapan tinggi menggunung. Mungkin mitos yang diajar tentang ijazah dan gaji tinggi benar-benar melekat dalam jiwanya hingga langsung mahu menyalahkan pemerintah atas kesempitan yang dilalui. Zahra hanya menyuarakan apa yang ada dalam jiwanya. Banyak yang boleh kita ambil untuk diberi perhatian, sama ada membetulkan tanggapan yang salah yang ditanam dalam jiwa pemuda-pemudi kita yang menganggap lulusan universiti sepatutnya kaya raya, atau memikirkan sedalam-dalamnya penyelesaian kepada keperitan hidup yang dialami bukan sahaja oleh para graduan seperti Zahra, tetapi sebahagian besar rakyat Malaysia.

Buat para graduan yang sedang buntu mendepani masalah hidup, pesan saya cuma satu - ssungguhnya permulaan itulah yang menjadi tapak sebuah kejayaan. Jika baru setahun jagung begini sudah mengeluh dan mengharap bantuan, saya bimbang ramai yang layu di hujung jalan. 

Merancanglah. Usaha dan ikhtiar ada di tangan kita. Jika hanya menanti ia turun dari langit, tentu kecewa yang tiba.

Saya tidak salahkan Zahra. Dia memang berani. Cuma dia belum cukup matang dan belum begitu kenal siapa yang ada di sekelilingnya.

Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment