Monday, July 06, 2015

DG48

6 Mac 1998, hari Jumaat yang hening. Saya memulakan cabaran baru dalam hidup pada usia menjangkau 26 tahun. Suami meninggalkan saya di SMK Mahmud, Raub itu dengan seribu harapan, mMengharap agar isterinya ini mampu menggalas tanggungjawab dan cabaran dunia perguruan yang semakin hari semakin penuh dengan pelbagai kesukaran. 

Saya menghulur salam penuh keazaman.

Pada waktu itu, saya tidak tahu apa-apa pun tentang gred, jawatan atau pangkat yang dikejar ramai. Saya tidak mahu ambil tahu pun, kerana saya sudah cukup bersyukur dipilih menjadi guru. Biarlah saya cuma seorang guru biasa sampai bila-bila, saya tidak pernah mahu lebih daripada itu.

Pelbagai senario saya saksikan di sekitar saya, yang membuatkan pegangan saya itu tidak mampu goyah. Ya, sehingga kini pun saya tidak mengejar apa-apa. Saya adalah saya, yang cuma mahu menyumbang bakti sebagai guru biasa.

Bukan saya takut pada tanggungjawab yang bakal dipikul apabila diberi jawatan dan pangkat, tetapi saya sedar upaya yang saya ada. Malah, menyaksikan karenah mereka yang bergelar pentadbir, sedikit sebanyak menyumbang kepada tawar dalam hati untuk menjawat tugas yang sama.

Biarlah. Saya selesa seadanya.

Tahun ini, setelah genap tujuh belas tahun saya berkhidmat, saya dipanggil untuk mengisi borang permohonan kenaikan gred ke DG48. Alhamdulillah. Tanpa apa-apa pangkat pun, saya masih mampu tersenyum kerana ada kesempatan jua untuk menjejak gred yang lebih baik. Semoga Allah meredhai setiap tugas yang sayal lakukan selama ini dan memberkati rezeki yang saya peroleh.

Amin.


No comments:

Post a Comment