Bulan kelima pun menjelmalah. Seperti selalu, cuti Hari Buruh menyambut kami seawal hari pertama bulan ini. Alhamdulillah.
Usai solat Subuh, saya kembali bermalasan di katil. Tidak gusar saya memikir menu sarapan kerana seringnya apabila hari cuti, suami saya akan membeli sarapan di kedai sahaja. Saya tidak meminta banyak, hanya nasi berlauk gulai ikan tongkol sahaja.
Agenda kami hari ini ialah menziarah sahabat saya yang disahkan menghidap leukemia pada Mac lalu. Selama 35 hari dia berada di wad, saya tidak langsung berkesempatan mengunjungi kerana dia ditempatkan di wad yang tidak dibenarkan melawat selama dia menjalani kemoterapi.
Alhamdulillah, Khamis dua minggu lepas dia dibenarkan pulang berehat di rumah untuk seminggu dua sebelum kembali ke wad untuk rawatan kemoterapi seterusnya. Sempatlah saya mencuri masa mengunjunginya.
Jam 10.30 pagi saya dan suami tiba di rumah nya di Kampung Kedondong, Kadok disambut mesra ayahnya, Cikgu Sabri yang sangat peramah. Sahabat saya itu, Suriana turut keluar menjemput kami masuk. Nampak dia sudah cergas dan sihat. Lega saya melihatnya.
Kebetulan kakaknya, Suriani, sahabat saya di MRSM dahulu juga ada di rumah. Bertambah gembira saya dapat bertemunya. Lama juga kami bersembang dan saya nampak Suriana semakin ceria, bersemangat dan rancak bercerita. Terubat rindu saya untuk mendengar suaranya.
Saya doakan mudah-mudahan Allah memberi kesembuhan untuk Suriana. Dia sahabat dan rakan sekerja yang sangat baik. Kami masih memerlukannya di sisi kami untuk sama-sama berjuang di medan kami ini. Perkenankanlah ya Allah.
Jam 11.20, kami meminta diri. Agenda seterusnya pula akan kami penuhi. Mula-mula kami ke kedai jahit Pesona Anggun untuk mengambil tempahan baju saya yang sudah siap dan seterusnya ke bank CIMB untuk mengemaskini kad ATM baru yang saya terima melalui pos.
Jam 12.25 tengah hari baru kami tiba di rumah semula. Sebungkus nasi himpit dan lima biji kuih cucur menjadi hidangan kami sementara menunggu makan tengah hari.
Oh ya, hari ini suami saya ada jemputan. Saya tidak perlu memasak selain untuk diri sendiri. Dek nasi himpit dan kuih cucur tadi sudah mengenyangkan, saya ridak perlu buru-buru untuk makan tengah hari. Saya mahu tidur dahulu.
Sudahnya, jam 4.30 petang baru saya menggoreng nasi dan makan tengah hari. Untuk suami pula, sebagai minum petangnya, saya sediakan roti bakar dan telur hancur.
Sekarang, suami ke surau bersolat Maghrib dan Isyak. Saya merehatkan minda dengan menulisi blog ini. Sebentar lagi baru saya akan ke dapur untuk menyediakan makan malam pula.
Sekian.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.