Ramadan hari ini menjengah hari ketiga. Pertama Ramadan Sabtu lalu, saya masih uzur. Semalam baru saya mula berpuasa.
Benarlah berpuasa dalam cuti sangat memberi keselesaan. Saya tidak terikat dengan apa-apa jadual pun selain jadual diri sendiri. Seawal jam 4 pagi saya bangkit menuju ke dapur menyediakan hidangan sahur yang ringkas. Sahur pertama saya sediakan paru goreng dan sayur air bayam berteman juga sambal goreng budu. Sahur kedua cuma ikan kikik goreng, daging kambing goreng dan sayur kacang panjang goreng. Semuanya goreng-goreng. Senang begitu.
Pagi tadi, juga goreng-goreng. Daging goreng, telur dadar dan sayur sawi campur sotong. Jam 4.45 pagi kami menikmati hidangan itu dan bersedia menanti Subuh yang tiba pada 5.37 pagi.
Mata saya akan layu sebaik selesai membaca Quran beberapa muka surat. Saya akan lena pada jam 6.30 pagi membawa ke 8.30 pagi.
Hari ini, saya ada kelas tambahan tingkatan lima di sekolah. Jam 9.05 pagi saya dihantar suami, dan berada di sekolah hingga jam 2.00. Barulah hari ini saya berasa keletihan itu. Mengajar memang memerlukan tenaga fizikal dan mental. Sehabis kelas saya rasa tidak bermaya.
Hari pertama puasa kami berbuka dengan mek. Lauk pauk semua dibeli. Saya cuma memasak nasi sahaja. Sup perut, sup tulang dan ayam bakar madu memang sedap-sedap belaka. Air laici menjadi penghilang dahaga.
Berbuka semalam pula, di rumah sendiri berdua sahaja seperti biasa. Lauk masih lagi dibeli di pasar Ramadan. Ayam kampung gulai untuk saya, serati gulai untuk suami, kerabu sare dan ikan percik menyerikan selera kami kali ini. Air oren sunquick menemani hidangan di samping murtabak dan popia sira.
Alhamdulillah. Semoga Allah menerima puasa kami ini.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment