Sunday, May 21, 2017

Kimia

Saya sedang mengawas peperiksaan Kimia Tingkatan 4 sekarang. Kertas soalan lebih yang ada di meja ini, saya belek-belek. Sekadar mahu mengenang kembali apa yang telah saya pelajari dari 1988 hingga 1992. Tiada apa pun yang mengetuk minda. Kelam sekali.

Sungguh, Kimia ialah mata pelajaran yang paling saya tidak gemar. Entah di mana keseronokan mempelajarinya, saya tidak mampu menggali.

1988, saya memasuki Tingkatan 4 aliran Sains yang mewajibkan saya belajar Kimia. Cikgu Kimia saya waktu itu ialah Cikgu Razmi Awang. Jujur saya tidak mampu memahami apa yang saya pelajari daripada beliau. Faktor penyumbangnya banyak. Saya tidak minat, saya malas dan saya suka bertangguh.

1989, pada Tingkatan 5, saya belajar Kimia dengan Cikgu Yusoff pula. Lagilah semangat saya merudum apabila dia memulakan kelas dengan ayat, "kamu tak akan dapat A belajar dengan saya. Saya dulu pun tak dapat A!"

Entah apa motifnya berkata begitu, tidak mampu saya menelah. Jadilah Kimia sebagai mata pelajaran paling menakutkan dalam sembilan mata pelajaran yang saya ambil.

Tetapi, saya suka peperiksaan amalinya. Saya hafal banyak sekali tindakbalas-tindakbalas antara bahan dan saya rasa sewaktu melalui peperiksaan amali, saya dapat markah tinggi. Saya boleh menjawab dengan baik semua ujikaji yang diberi.

Cuma, ujian bertulis yang menyeramkan. Kertas 1 saya boleh jeling juga jawapan kawan di meja sebelah. Kertas 2 macam mana?

Saya mencari jalan. Pada malam sebelum peperiksaan Kimia kertas 2, saya hafal satu eksperimen dari buku dan esoknya, dalam bahagian esei, saya tulis apa yang saya hafal itu. Mungkin idea saya menjadi dan hafalan saya mengena. Kimia SPM saya tertulis gred C3. Hebatlah juga!

Apabila di Matrikulasi, saya kembali bertemu Kimia tetapi kali ini ia berbeza. Di Kulim, Cikgu Hawabi Hashim mengajar dengan baik sekali dan saya mudah faham. Di Kuala Pilah, Cikgu Nor Hayati Abu Bakar menjadi guru yang begitu cekal berdepan dengan kami. Alhamdulillah, saya lulus juga dengan Gred C. Ok lah tu sebab yang dapat gred D dan E pun ramai juga!

Begitu saya melihat soalan Kimia hari ini, satu apa pun tidak mampu saya ingat. Rupanya, segala yang saya pelajari sudah pun berkubur. Benarlah, saya belajar Kimia dulu hanya untuk peperiksaan sahaja!


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment