Wednesday, May 03, 2017

Air Gula

2 Mei 2017

Saya mengambil cuti rehat hari ini, dan ini cuti rehat pertama saya untuk 2017.

Kenapa mahu bercuti?

Saya ada temujanji di Klinik Kesihatan Perol pada jam lapan pagi. Saya jangka siap temujanji saya pada jam sepuluh. Jika saya tidak bercuti, saya perlu ke sekolah selepas itu. Apa rasanya bekerja selepas pukul sepuluh? Tidak enak. Tiada mood. Kurang seronok. Begitu rasanya. Lalu saya bercuti sahaja. Suami saya pun sama bercuti juga.

Jangkaan saya memang tepat belaka. Jam sepuluh selesai urusan di klinik (hanya ambil darah dan minum air gula). Oh, air gulanya manis melenting. Sakit kepala saya meminumnya!

Keputusannya, jika tiada apa-apa masalah akan saya lihat pada temujanji seterusnya nanti, 5 Jun. Jika ada masalah, saya akan dihubungi melalui telefon. Harapnya semua normal. Saya belum bersedia untuk menerima diabetes dalam hidup saya. Sungguh!

Pulang ke rumah sekejap untuk bersarapan, jam 10.30 kami terus ke Kota Bharu pula. Kami selesaikan urusan di Pejabat Tanah, membayar segala cukai tanah yang tertunggak dan yang terkini. Jam 11.45 selesai. Kami terus menuju ke Kg. Laloh untuk menghadiri kenduri di sana.

Jam 1.40 kami tiba di tempat kenduri. Usai makan dan solat, kami bertolak pulang sekitar jam 3.05 petang. 

Jam 4.20 kami tiba di pekan Ketereh dan saya singgah di Kedai Optometris Keluarga untuk membetulkan cermin mata. Pagi semalam saya tanpa sengaja menindih cermin mata saya dengan tapak tangan sehingga tercabut cermin dari bingkai. Mujur tidak pecah. Di sini, pekerjanya yang mesra itu membetulkan semula cermin mata saya dengan percuma sahaja. Terima kasih. Kami tentu akan datang lagi nanti.

Tiba di rumah, jam sudah ke angka 4.50 petang. Penatnya! Saya terlelap sebentar dan bangun bersolat pada jam 5.50 petang.

Usai solat, saya menggosok pakaian untuk kerja esok. Mood untuk memasak memang tiada lalu saya suarakan kepada suami untukkeluar makan sahaja malam ini.

Tempat makan pilihan kami ialah Planet Char Kue Teow di Kg. Kota. Boleh tahan enaknya dan kami membawa pulang sebungkus untuk mek.

Esok, 3 Mei, Rabu. Saya mahu berpuasa ganti. Semoga diberkati.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment