Selasa minggu lepas, saya menghubungi Klinik O&G HUSM untuk mengubah tarikh temujanji saya. Saya memohon tarikh temujanji saya diawalkan seminggu, iaitu dari 23 Mei kepada 16 Mei. Alasan saya, pil Visanne saya akan habis pada 17 Mei, dan saya perlukan pandanga dan cadangan doktor untuk rawatan seterusnya. Jika saya menunggu untuk temujanji pada 23 Mei, saya bakal ketiadaan ubat selama hampir seminggu dan saya khuatir akan menyebabkan pendarahan.
Biasalah, permohonan sebegini sukar untuk diluluskan semerta oleh jururawat berkenaan. Alasan di pihaknya juga ada. Dipendekkan cerita, saya merayu dan merayu juga dan dia membenarkan dalam kepayahan. Maafkanlah, saya bukan mereka-reka alasan itu, ia alasan yang benar sungguh.
Lalu, tarikh temujanji saya pun diawalkan pada 16 Mei, jam dua petang.
Rabu esoknya, riuh guru-guru SMK Kg Chengal ini bercerita tentang tema Hari Guru yang akan disambut pada Selasa 16 Mei ini - Back To School. Tema yang mengundang kontroversi kerana ramai yang tidak menggemari. Saya ini jenis menurut sahaja, walaupun kurang menggemari tetapi tidaklah mahu memberontak. Dalam kepala saya mula berkira-kira tentang baju sekolah yang akan saya pakai demi semangat kesetiakawanan dan kepatuhan dalam diri.
Pulang ke rumah, saya menyelongkar almari dan mencari baju kurung putih saya yang saya jahit pada 2009 dahulu. Ada! Saya cari pula baju kurung biru turqoise plain yang sewarna dengan kain sekolah murid perempuan. Ada juga! Bagus. Saya boleh kombinasikan kedua-duanya dan menyamai seragam sekolah menengah. Leganya rasa. Hanya tudung putih yang perlu saya cari. Mungkin ada di rumah ma.
Khamis itu, Kelab Guru memuktamadkan keputusan untuk mengekalkan tema Back To School walaupun dibangkang. Saya bersahaja, kerana saya sudah sedia dengan pakaian saya.
Tiba-tiba saya terfikir, jika saya memakai seragam sekolah pada 16 Mei itu, bagaimana saya mahu bersalin pakaian untuk ke temujanji pada jam 2 petang? Tidak mungkin saya akan ke klinik dengan seragam sekolah. Pening pula doktor nanti, dah empat puluh lima tahun pun tak habis sekolah lagi ke puan?
Saya mengambil keputusan sendiri. Saya tidak akan hadir ke sekolah pada hari itu. Saya bakal bercuti. Sebelah paginya saya akan berehat di rumah, dan selepas Zohor turun ke klinik dihantar suami tercinta. Begitu muktamadnya.
Lalu itulah saya hari ini. Bercuti di rumah pada hari guru.
Seragam saya itu saya sudah pinjamkan kepada sahabat guru saya yang sesaiz dengan saya. Semoga dia ceria menyambut majlis hari ini.
No comments:
Post a Comment