Wednesday, September 04, 2013

Naik

kalian rampas subsidi kami
entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu
wang mesti dicatu
kita menuju maju

kalian kata:
jika tidak
semua menderita
habis harta negara

kalian berbahasa:
bukan barang naik harga
cuma subsidi turun sahaja
kami orang desa
mungkin tidak pandai kira berjuta-juta
kami orang kecil kota
mungkin tiada sedemikian harta...
jika kalian tipu sebegitu
biasanya kami diam selalu
tapi dapatkah kami dibohongi
tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah?
papa semakin parah?
wang semakin lelah?
jika semalam berlauk
hari ini cuma berkuah
kerana kerajaan kita sedang susah?
maka subsidi kita terpaksa diserah

jika semalam kau makan sepinggan hari ini separuh
kerana barang makin angkuh
wang papa makin rapuh

apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang

jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?j
anganlah nanti mereka membenci pertiwi
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini
atau kami jadi insan curang
kami diberitahu;
cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang,
nanti akan datang wang melayang...

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami...
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati...
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja
pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak

sedangkan kalian manusia angkasa
istana permata dibina
kereta berjuta dirasa
elaun di serata
dari isteri sehingga seluruh keluarga
hidangan istimewa
konon meraya kemakmuran negara

Tapi kami masih di sini
di teratak ini
dengan lauk semalam
dengan hidangan yang tidak bertalam
dengan rumah yang suram
dengan wang yang hampir padam

tiada istana lawa
tiada kereta berharga
tiada layanan diraja
tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri
tiada hidangan vip
tiada persen di sana-sini
tiada bahagian anak dan bini

Tiba-tiba kalian kata:
kamilah beban negara
aduhai celaka bahasa yang kalian guna
kalian yang belasah
kami yang bersalah
kalian buat untung
hutang kami tanggung
kalian mewah melimpahkami susah parah
kalian hilangkan wang
poket kami yang terbang
kalian bina istana
rumah kami jadi mangsa
kalian makan isi
kami dijadikan abdi...

lantas, kalian rampas lagi subsidi..
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci
wajib mengganti buat kami
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta...mengapa tambang tidak potong sahaja

tapi entah berapa kali janji
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi
kami terus termangu di sini
kalian juga yang nikmati
kami hanya menggigit jari

kembalikanlah kepada kami harta negara
jangan hanya kalian sahaja yang merasa

(Drmaza, 2010)

Tuesday, September 03, 2013

Sudah September

Begitulah masa. Tidak pernah mahu menanti aku yang tertinggal ini.

Hari ini aku butuh rehat yang panjang. Dalam tempoh empat puluh lapan jam yang lalu, aku tempuhi dengan rasa yang amat libang libu. Aku sakit. Tapi aku diam, kerana aku tahu suara aku tidak akan mampu mengubat apa yang aku rasai.

Sedar pagi ini, jam baru ke angka tiga. Mataku sudah enggan lena. Badan terasa sangat tidak kena. Mengiring salah, menelentang juga salah. Aku kesasar.

Bangkit hanya apabila jam ke angka 5.23 pagi. Fikiran masih belum mahu putus, apa perlu aku buat hari ini? Sambil tangan menggosok baju dan seluar suamiku, aku berkira-kira terus.

Saat azan subuh berkumandang, aku mula nekad. Aku mahu rehat seharian hari ini. Aku mahu rehat sungguh-sungguh. Perjalanan Kota Bharu - Bangi - Nilai - Kota Bharu semalam mengikis terlalu banyak tenaga aku yang hanya tinggal sisa ini. Aku perlu rehat. Rasanya, aku wajib rehat!

Lalu, aku maklumkan pada suamiku agar membiarkan sahaja aku di rumah. Di sekolah tidak akan memberi ruang untuk aku memanjai diri sendiri.

Sekarang, aku masih berehat.

Friday, August 30, 2013

Merdeka 56

TANAHAIR
(menjelang kemerdekaan)
 

Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani
 

Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai
 

Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati
 

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan

 
Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan
 

Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.
 

Tongkat Warrant
1956  
 
HIDUP BERSAMA
Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian.
 
A Samad Said

   HUJAN MERDEKA
 
Di langit Ogos
awan gembira mengkhabarkan
hujan merdeka turun lagi
untuk kesekian kalinya
membasahi bumi keramat ini
dinginnya merangkul perasaan nusa
syahdunya menyelimuti hati pembela
damainya bertakhta di tiap jiwa anak-anak bangsa.

Telah kutemui mutiara yang tersembunyi
dalam denai-denai usia yang menjanjikan kebahagiaan
kukecapi aroma pembangunan
kukucupi wangian pembebasan
dan telah kuwarnai kanvas jati diri
mengikut lakaran budaya dan potret bangsaku.
 
Hujan merdeka turun lagi
titisnya menjelajahi hati srikandi
pertiwi tersenyum menerimamu
memeluk janji yang termetarai
harapan yang terkota
teguh mengepung cinta.
 

Terima kasih, hujan merdeka
walau langit Ogos berlalu
titisnya membasahi sepanjang musim.
 

ZULKIFLI MOHD TOP
Universiti Malaya 

Wednesday, August 28, 2013

Musim Haji

Ia kembali lagi.

Kali ini, saya mengucapkan selamat berangkat ke tanah suci buat saudara kandung kesayangan saya, Puan Noor Aziah dan suami yang akan menunaikan kewajipan ini pada musim haji 1434H ini. Mereka bakal berangkat pada 17 September nanti.


Semoga semuanya berjalan seperti yang dirancang, dan kalian dapat beribadat dengan sempurna di sana. Jangan dirisaukan sangat keluarga yang ditinggalkan, insya Allah terjaga dalam lindungan Allah. Utamakan kepuasan beribadat di sana. Bukan selalu kita diberi kesempatan mengunjungi tanah suci ini, jadi ambillah peluang yang terbentang untuk melakukan yang terbaik.

Wajah terkini dataran Kaabah di Masjidil Haram.
Saya doakan semua jemaah haji tahun ini berpeluang beribadat dengan penuh khusyuk dan mendapat haji yang mabrur. Amin.

Doakanlah!



Tiada selain doa yang saya harapkan. Ia satu-satunya hadiah yang saya mahu, daripada sesiapa jua.

Air mata saya sudah hampir kering. Bukan menangisi nasib diri atau ketentuan Ilahi, tetapi mengharap dalam rasa yang penuh kesayuan. Saya hanya hamba. Lemah, tetapi masih punya sejuta asa.

Bukan mudah menabiri rasa hati. 

Sakit saya bukanlah kronik. Ia dihidapi beribu-ribu wanita. Doktor pun tidak berasa pelik saat mengimbas abdomen saya dan menemui ketulan sebesar lapan sentimeter itu. Malah, dalam nada yang sangat biasa, dia mencadangkan agar saya dibedah.

Dibedah, untuk kali ketiga!

Setiap kali saya memikirkan tentang pembedahan, setiap kali itulah ketakutan tiba. Bagai terbayang-bayang perit yang perlu saya tanggung sewaktu prosedur itu berlaku. Lebih jauh daripada itu, saya terasa kematian itu mendekat.

Saya tahu risiko nyawa itu tetap ada, biar pun hanya 0.001%. Bohong jika saya tidak takut mati. Bohong jika saya seronok menyerah diri untuk sebuah kematian!

Kerana itu, saya pohon doa yang tiada hentinya daripada semua. Doakan agar saya selamat. Doakan agar saya sembuh. Doakan agar saya kembali mampu berbakti demi mengumpul bekalan menghadap-Nya suatu hari nanti. Doakan agar dosa-dosa saya terampun.

Doakanlah!

Cerita

Ini kisah yang sangat benar. Kisah ini baru sahaja berlaku sekitar bulan puasa lalu ke atas seorang rakan seperjuangan saya yang baru dua tahun saya kenali.

Wanita ini sejak lama dahulu, amat kuat semangatnya. Dia seorang ibu tunggal yang bukan sahaja bekerja untuk menyara anak-anak, malah juga sebagai anak sulung yang memikul tanggungjawab menyara adik-adik. Selain menjadi guru yang baik, dia juga seorang tukang jahit. Kami jarang berjumpa kerana tidak satu tempat kerja, tetapi keakraban kami agak ketara.

Saya kagumi kekuatan dan kerajinannya. Tiada sedikit keluhan pun yang pernah saya dengar dari mulutnya tentang liku hidupnya penuh duri. Saat dia ditinggal suami, saat anaknya menyahut panggilan Ilahi, dan saat ibunya menyusul pergi. Dia tetap tabah berdepan segala kepayahan dan kesedihan. Sungguh benar dia seorang yang amat cekal.

Dalam bulan puasa lalu, tiba-tiba dia demam. Apabila dibawa ke hospital, doktor menahannya di wad kerana dia kelihatan amat tidak bermaya dan sangat lemah. Berminggu-minggu juga dia berada di wad, dan doktor tidak dapat memberi keputusan apakah penyakit yang dia hidapi. Suaranya hilang, badannya makin lemah. Selepas ujian darah dilakukan pun, doktor masih gagal mengesan sakitnya. Akhirnya, doktor meminta dia pulang dan berubat secara alternatif pula kerana menurut doktor, dia sudah tiada harapan sembuh.

Dia yang saya kenali, memang kental dan berjiwa waja. Apabila mengetahui dia dalam kesakitan, saya teringin sekali menziarah tetapi kerap tertangguh sehinggalah tamat cuti Aidilfitri.

Sekembali saya ke sekolah, saya mencari-cari cerita tentang dia. Rupanya, dia sudah sembuh. Alhamdulillah. Cuma, cerita di sebalik kesembuhannya sangat ajaib pada saya.

Apabila doktor di HUSM mengesahkan dia sudah tiada harapan dan diminta pulang ke rumah, semangatnya sangat luluh. Dia menjadi semakin tidak bermaya dan tidak mampu berjalan juga bersuara. Memang dia berada dalam kondisi yang sangat menyedihkan. Semua yang melihatnya tidak mampu menahan air mata. Wanita yang berjiwa waja ini, sedang dimamah kesakitan!

Adik-adiknya membawanya ke HKB pula untuk rawatan seterusnya. Di sini, dia dibawa bertemu dengan seorang kaunselor pesakit yang mahu memberi kaunseling padanya.

Dipendekkan cerita, sebaik tamat sesi kaunseling itu, dia terus kembali sihat. Tiba-tiba dia mampu berjalan dan boleh bersuara semula. Terkejut semua ahli keluarganya dengan perubahan yang sedemikian drastik itu. Saya yang mendengar cerita ini juga terlopong dibuatnya. Mengapa ya?

Rupa-rupanya, dia tidak sakit apa-apa pun. Dia cuma demam biasa sahaja, tetapi apabila doktor bagai tidak memberi harapan, dia terasa seperti di ambang kematian. Dia hilang suara yang ada. Dia lemah walau bertenaga. Dia sakit walaupun sihat! Semuanya kerana di jiwanya, dia sedang sakit dan akan mati!

Aduhai, saya kehairanan. Orang yang tidak sakit tetapi tidak diberi harapan oleh doktor yang merawatnya, menyebabkan dia kelihatan sangat sakit. Wahai doktor, kenapa berlaku begitu?

Sunday, August 25, 2013

Masih

Rancak mereka berdebat dan berbincang apabila isu poligami ditimbulkan. Cerita UAI, UZAR juga Ashraf Muslim pun turut dikongsi bersama pada hal tiada siapa yang sebenar-benarnya tahu hal di sebalik poligami mereka.

Yang tidak rela dimadu, nekad mahu bercerai jika suami kahwin lagi. Yang pro poligami pula, lantang menganggap wanita yang anti poligami ini belum terdidik. Kesimpulannya tidak muncul-muncul juga. 

Memang, isu ini akan sentiasa hangat dibahas dan tidak akan habis sampai bila-bila. Ada benarnya kata mereka, wanita kita belum terdidik tetapi lelaki pun tidaklah sempurna juga. Biasalah, lelaki megah dengan egonya. Wanita pula akrab dengan emosinya. Tiada titik pertemuan sampai bila-bila jika kedua-duanya sentiasa diraja. Rasional berterbangan entah ke mana. Masing-masing hanya mampu bertelagah.

Sebagai wanita, saya amat memahami perasaan dan jiwa mereka. Saya juga punya fikiran dan naluri yang sama. Bezanya, saya mengutamakan sikap rasional, bijak dan positif. Apalah sangat sakit hati di sini berbanding sengsara di sana?

Zahirnya, dalam isu poligami ini kita akan nampak keuntungan sentiasa di pihak lelaki. Wanita akan sentiasa dinasihat agar redha dan sabar. Agar terima dengan hati terbuka. Agar tidak terlalu emosional. Untuk lelaki, tak perlu apa-apa nasihat. Teruskanlah niat suci itu.

Itu kerana kita wanita sering lupa banyak perkara. Poligami itu telah dihitamkan sehitam-hitamnya dalam minda kita sehingga kita sudah tidak nampak apa ysng putih padanya.

Mulai sekarang, wahai kaum sejenisku, mulakan tugasan mencari sisi putih sebuah poligami agar kita tidak menjadi insan yang ditabiri emosi berpanjangan. Berbaik sangkalah dengan semua, terutama dengan Allah. 

Semoga kita menjadi hamba yang redha. 

Dan, redha itu ikhlas.

Friday, August 23, 2013

Dan di sini

Saya mencari secangkir tenang agar tumpah di jiwa nian gersang ini. Ada sayu yang mendakap seluruh ruang hati saya saat ini. Erat.

Lelah saya memikir, jua memikulnya. Saya takut. Saya resah. Saya gundah.

Takdir itu, sungguh bukan milik saya. Namun saya dididik untuk tabah beserta redha. Saya yakin amat, segala yang tertulis ini teriring hikmah dan sejuta rahmat. Bukankah Allah itu sifatnya Al-Rahman jua Al-Rahim?

Jika nanti laluan saya tidak semulus harapan, saya akan tetap akur dengan ketentuan. Saya hanya mengharapkan satu pengakhiran dari sebuah derita yang panjang.

Doakanlah!

Saturday, August 17, 2013

Lagi dan lagi

Entah untuk kali yang ke berapa, cerita sebegini ini saya ulang-ulang. Sungguh, cerita ini berbaur kesal yang padat dalam jiwa saat menerima segala butir kata. Bukan kerana saya ini sensitif, tetapi kerana ia sesuatu yang tidak kena. Sangat tidak kena kerana siapa kita untuk menjadi peramal masa depan? Siapa kita untuk menilai hati dan jiwa orang? Siapa kita untuk menidakkan satu ketentuan? Kita ini hamba. Hiduplah sebagai hamba!

“Terus terang, kami datang ni nak tanya, nak anak tak?” Si suami memulakan bicara saat saya menyalami isterinya.

“Ada saudara jauh kami baru bersalin, di KL. Tapi anak tak sah taraf lah..”

Saya dan suami hanya senyum, tidak  memberi jawapan tetapi saya tahu mereka faham maksud reaksi kami yang sebegitu.

Saya berharap ia berakhir di situ. Itu pilihan kami untuk hanya kekal berdua, kerana kami tahu dan sedar upaya kami setara mana. Banyak faktor yang kami timbangi yang rasanya tidak perlu kami suarakan semuanya.

Pun, masih lagi ia dipanjang-panjangkan.

Dalam situasi yang tidak saya gemari ini, terlepas juga ucap kata dari bibir saya yang saya kira menggambarkan ketidaksenangan saya dengan isu ini. Bukan mahu biadap, tetapi sekadar menghentikan dia (si isteri) daripada terus membuat segala spekulasi. Saya tidak marah padanya kerana dia hanya wanita kampung yang tidak berpendidikan tinggi. Walaupun ada kata-katanya yang sangat tidak wajar pada pendengaran saya, saya terima dengan redha.

Biarlah. Mungkin niatnya mahu membantu tetapi silapnya dia ialah membuat penilaian sendiri tentang kehidupan kami.

“Hmm.. duduk berdua aje ya. Sunyilah.”

“Taklah. Dah biasa macam ni, tak ada apa pun. Kalau ramai-ramai rasa serabut pulak.”

“Tak ambil anak angkat ke? Anak saudara ke..”

“Siapa yang senang-senang nak bagi anak kat orang, kak. Lagi pun, dia ada mak bapak. Biarlah dia duduk dengan mak bapak dia.”

 “Akak ni, walaupun dah 49 tahun tapi tetap kena makan pil perancang. Kalau tak, hmmm… bertambah-tambah lagilah anak akak. Abang pula yang tak larat nak kerja, cari nafkah.”

“Alhamdulillah lah macam tu. Manusia ni tak sama. Tuhan yang tentukan semuanya. Saya ni walaupun tak ada anak, saya redha. Dah itu yang Tuhan bagi kat saya, saya terima. Dia tahu itu yang terbaik untuk saya. Sebab tu saya tak ambil anak angkat pun!”

Perbualan tentang anak terhenti di situ. Mujur.

Saya hargai niatnya, cuma buat waktu ini saya rasa sangat muak dengan pelbagai cadangan dan nasihat untuk saya berkaitan anak. Cukup-cukuplah. Saya sudah kehabisan deria rasa sensitif tentang kehidupan tanpa anak ini. Jika dulu, mungkin jiwa saya sendu saat melihat sahabat dan teman berulang-ulang mengandung dan bersalin sedang saya tidak-tidak juga. Mungkin hati saya cepat tersentuh apabila ditanya tentang situasi diri yang dikategorikan tidak subur atau kasarnya mandul. Kini saya sudah berada di tahap redha yang sungguh-sungguh. Malah syukur yang tidak terhitung dengan segala kurnia yang ada, termasuk kurnia yang satu ini. Jadi, tidak perlu lagi isu ini dimainkan kerana saya jadi jelak.

Saya sudah pun berusia hampir 42 tahun. Tiada apa lagi yang saya cari di dunia ini, hanya redha Allah. Bahagia di sini, juga di sana. Sama-samalah kita menuju ke arah itu.

Monday, August 12, 2013

Tujuh belas


Jika dihitung usia manusia, sudah menjangkau remaja yang begitu ranum. Itulah usia perkahwinan kami. Tanggal 3 Ramadan yang lalu, kami menyambut ulangtahun keenam belas (tahun hijrah) kehidupan bersuami isteri kami, yang memaksudkan hari raya tahun ini adalah yang ketujuh belas kami menyambutnya bersama-sama.


Bagai tidak percaya, sudah sejauh ini kami melangkah. Mengharung alam pernikahan yang duri dan ranjaunya sangat tajam, mencucuk kiri dan kanan. Yang ada waktu-waktunya persekitaran lebih mendominasi daripada inti hati kami sendiri. Yang perit jerihnya, hanya kami yang tahu.

Alhamdulillah, setiap onak itu adalah pengalaman dan pengajaran. Setiap resah gelisah itu adalah harga sebuah bahagia yang kami sama-sama bina. Syukur, kami mampu melaluinya dengan penuh rasa tanggungjawab dan keyakinan pada Tuhan. Doa kami, biarlah ia menjadi nilai yang berpanjangan hingga ke syurga abadi.

Teduh

Saya bermula dengan kisah ringkas ini. Saya wanita yang telah banyak menderita. Tetapi jangan salah faham kerana saya tidak pernah menyalahkan. Tuhan telah memberi jalur dan dan warna tertentu untuk kita. Dia Yang Maha Esa telah mencipta bumi, langit, syurga, bintang-bintang, bulan, dan hujan. Tuhan mencipta manusia. Dan manusia tak berada di dunia tiba-tiba. Sebagai hamba kita akan diduga, diberi bahagia, diberi peta. Kadang ada bahagian yang dapat kita lakar, selalunya ada bahagian cuma kita merencanakan dan Dia lebih menentukan. Peta itu ada sudut sudah digores, ada bucu masih kosong, menanti masa terlukis.

Kisah ini kisah saya. Kisah penuh peribadi. Boleh jadi tidak akan ada sesiapa mengerti. Juga tidak akan ada sesiapa peduli. Masing-masing dalam hidup punya cerita, mengapa mahu membaca cerita orang lain? Tidak mengapa, saya cuma akan bercerita kepada yang mahu tahu. Barangkali ada pengajaran, barangkali terdapat sesuatu.

Ini cerita bagaimana saya menunggu teduh dalam ribut. Ini cerita mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Penciptanya. Ini cerita bahawa hakikat seluruh alam semesta ini berasal daripada Allah dan akan kembali kepada-Nya, tidak dapat tidak. Itulah titik hubungan kita di muka bumi ini, titik hubungan kita dengan insan lain dan juga segala tindakan.

Kisah ini kecil. Moga-moga ada manfaat bersama dalam kecilnya.

- Tunggu Teduh Dulu, Faisal Tehrani -

Thursday, August 08, 2013

Selamat Hari Raya

Selamat hari raya.

Pagi yang indah begini, jangan dicemari dengan bunyi-bunyian yang tidak merdu itu. Ia sungguh mengganggu pendengaran saya. Dari Maghrib malam tadi lagi saya dihidang dengan dentuman-dentuman yang sungguh tidak menyumbang apa-apa manfaat itu. Telinga saya jadi berdesing pelik. Jantung saya pula  bergegar geram. Hati saya bagai mahu membawa diri sendiri keluar ke tempat mereka berpesta itu dan menjerit, "berhentiiiiii!!!!" Namun, saya tidak punya kekuatan sebegitu.

Ini hari raya. Hari untuk kita meraikan kemenangan, bukan mencipta suasana peperangan.

Selamat hari raya semua. Saya hari ini dalam keadaan kurang bermaya. Sudah beberapa hari jiwa saya resah dan gelisah memikir kesihatan diri. Mohon doa semua agar tiada yang menakutkan bakal saya tempuh. Insya Allah, Isnin nanti saya mahu ke klinik pakar. Saya mahu meleraikan segala kegusaran dalam hati. Biarpun apa yang bakal saya terima, saya berjanji untuk redha.

Dunia hanyalah persinggahan. Akhirat jua yang abadi.

Selamat hari raya.

Saturday, August 03, 2013

Selera Kampung

Hari ini sudah 25 Ramadan. Suami kesayangan saya ada jemputan berbuka di surau hadapan rumah kami. Tentunya, saya bakal berbuka sendirian.

Bukan tidak mahu ke rumah mak, berbuka dengan mak dan adik-adik tetapi teramatlah banyak tugasan yang menanti di rumah ini. Bukankah cuti-cuti begini sangat perlu saya manfaatkan dengan mengemas dan membersih rumah?

Suami bertanya, saya mahu berbuka dengan lauk apa? Dia ingin membeli di pasar Ramadan petang nanti.

Entah mengapa, saya teringin memasak sendiri hari ini. Walaupun makan sendirian, itu bukan alasan. Lalu saya maklumkan padanya, tak perlu beli apa-apa.

Menu saya hari ini tentunya selera kampung. Ya, itu kegemaran saya yang sebenarnya. Saya akan memasak gulai lemak kuning pucuk paku campur udang dan telur itik goreng spesial.

Aduh! Kecur sudah liur saya...

Caranya sangatlah mudah. Untuk gulai, saya cuma gunakan santan kotak. Saya tumbuk bawang merah, cili padi, kunyit hidup dan sedikit bilis hingga lumat. Saya masukkan dalam santan dan jerang atas dapur. Kacau-kacau sedikit, masukkan udang. Sekejap saja, terus masukkan pucuk paku. Rasakan dengan garam dan asam. Biar dia mendidih tapi jangan sampai pecah minyak. Siap!

Telur itik pula, saya pukul dengan campuran bawang merah, lada hitam, halia, kunyit dan garam yang ditumbuk lumat. Panaskan minyak dan goreng hingga masak.

Jom, teman saya berbuka!

Tuesday, July 30, 2013

Internet

Apabila SU Data sekolah meminta semua guru menyemak dan mengemaskini maklumat masing-masing dalam laman e-operasi minggu lepas, pelbagai reaksi terbit daripada sekalian guru. Ada yang tanpa banyak cerita, terus menyemak dan mengemaskini dengan segera. Ada yang menunggu sehingga tarikh akhir. Ada juga yang merungut dan berleter kerana terpaksa menggunakan internet.

Hari ini, tarikh akhir pengemaskinian e-operasi itu. Betapa ia menjadi satu hari yang sungguh kalut.

Seawal pagi lagi, seorang guru bertaraf pentadbir, mula mengomel tanpa henti apabila dia gagal memasuki laman itu. Sebabnya, dia lupa (atau mungkin tidak tahu) ID pengguna dan kata laluannya. Menurutnya, di sekolah lamanya dahulu, pengemaskinian dilakukan oleh SU Data sekolah. Marahlah dia apabila terpaksa melakukan sendiri kerana dia sangat sibuk dengan tugas-tugasnya yang sangat banyak itu (katanya!). Saya hanya melihat bagaimana dia berperang mulut dengan SU Data, yang berlaku secara live di hadapan saya. Saya tidak memberi apa-apa reaksi, cuma saya menilai sikap dan sifat yang ada dalam diri seorang pentadbir sepertinya.

Tidak berapa lama kemudian, datang beberapa orang guru ke tempat saya membawa soalan yang sama. 

"Kak Ti, internet ok tak? Saya nak update e-operasi."

Oh, mereka mahu menggunakan laptop saya untuk tujuan pengemaskinian data mereka.

Jujurnya, saya bukan kedekut. Saya tahu, erti hidup pada memberi tetapi wajarkah mereka sentiasa menjadi penerima? Malah, apabila saya memberitahu mereka "wifi sekolah tak berapa nak laju lah. Kuota dah habis rasanya..", boleh dengan selamba mereka bertanya "Kak Ti bawa broadband tak?"

Amboi!

Semuanya berpunca dari saya juga. Apabila kemasukan markah SAPS tidak berjalan dengan baik setiapkali selepas peperiksaan berlangsung, saya akan membuka kaunter internet percuma di bilik guru menggunakan laptop dan broadband peribadi saya. Ia berlaku berkali-kali dan itu kerana SAPS itu bidang tugas saya. Saya tidak kisah melabur sedikit asal tugas saya cepat selesai.

Malangnya, apabila e-operasi yang tiada kena mengena dengan saya ini perlu dilangsaikan, saya juga yang mereka cari! Semurah itu minda sesetengah guru kita rupanya (yang jika boleh saya katakan minda subsidi). Semua mahu diberi percuma tanpa mahu menyumbang walaupun sedikit. Jika ditanya, banyak sahaja alasannya. Sibuklah, internet tiada di rumah lah, anak kecillah, bla bla bla....

Alasan yang tidak akan habis sampai bila-bila.

Cuti

Hanya dua hari sahaja lagi untuk saya bekerja sebelum cuti dua minggu tiba. Ya, hanya dua hari sahaja lagi!

Memang, sama sahaja seperti orang lain, saya sangat seronok untuk bercuti. Cuti itu satu anugerah, dan ia satu kesempatan untuk saya berehat.

Berehat?

Dari pandangan mata kasar, begitulah. Cuti itu rehat buat kami yang bekerja saban minggu demi mencari rezeki yang halal. Cuti itu sangat berharga kerana kepenatan bekerja tidak mampu dibanding dengan apa pun jua. Sungguh ia begitu. Namun, semua orang maklum betapa hari raya akan menjelma pada Khamis 8hb Ogos nanti. Rasanya, rehat saya akan tamat sebaik hari raya tiba. Begitulah selalunya.

Hari raya adalah hari yang sangat padat. Biarpun rumah emak dan rumah mentua hanya beberapa ratus meter, tetapi saya tidak akan mampu menghabiskan masa yang lama di sana. Suami saya tentu mahu kami bersedia di rumah untuk menerima kunjungan para tetamu. Itu perkara biasa, tetapi sayalah seorang yang akan bersiap segala di dapur kerana tiada orang lain di rumah itu selain saya dan suami!

Apabila tetamu tiba, berkejarlah saya untuk menghidang air, kuih dan apa sahaja yang sesuai. Jika sekadar kuih raya tidaklah saya penat sangat kerana telah pun saya susun indah di ruang tamu. Selalunya jika tetamu itu datang pada waktu makan tengah hari, saya kena masak lunch. Jika waktu petang, sekurang-kurangnya mi goreng. Jika waktu malam, tentunya hidangan malam pula. Dan, saya hanya seorang!

Bayangkan jika tetamu datang pada ketiga-tiga waktu dalam satu hari. Tentunya penat saya akan melonjak ke darjah tertinggi. Tetapi, itulah yang perlu saya hadapi.

Untuk kali ini, saya mahu meningkatkan stamina demi memberi segala yang terbaik buat tetamu-tetamu saya.

Insya Allah.

Sunday, July 28, 2013

Popia Sira Mudah

Entah kenapa dua tiga hari lepas mood memasak popia tiba-tiba datang tanpa diundang. Mungkin masa agak panjang pada hari Jumaat itu, menyebabkan saya mencari idea untuk melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan saya dan suami saat berbuka puasa.

Ini Ramadan yang ketujuh belas saya sambut di sisi suami, jadi saya sudah sangat maklum yang dia gemar amat menikmati popia sira. Lalu, saya mahu melakukan itu untuk dia.

Membelek-belek laman resepi di internet ini, macam-macam penemuan saya dapat. Semuanya macam komplikated dan memakan masa. Saya ni, jenis yang kalau duduk di dapur, mesti nak bagi cepat siap. Tak tahanlah lama-lama kat dapur, panas!

Lalu, saya mencipta resepi sendiri.

Saya tumis hirisan bawang putih dan bawang merah. Saya masukkan isi udang yang sudah saya potong kecil-kecil. Saya letak garam, sedikit gula dan akhir sekali taugeh dan daun sawi yang saya potong halus.

Inti popia saya sudah siap.

Sambil bersila di lantai, saya gulung inti itu dalam kulit popia yang saya beli di pasar. Sekejap sahaja, saya siap menggulung sembilan biji popia dan sedia untuk menggoreng. Hanya beberapa minit, gorengan popia saya selesai.

Kini, proses menyiranya pula.

Saya jerang secawan air dan tiga sudu gula dalam kuali. Saya masukkan satu sudu kecil serbuk cili, seulas bawang putih yang sudah dicincang dan dua sudu besar sos pencecah MH Mohd. Bila dia memekat, saya padamkan api dan masukkan popia saya tadi. Saya gaul rata, dan siap.

Aduhai! Mudahnya resepi saya. Tak sampai setengah jam saya sudah boleh beredar ke bilik untuk urusan peribadi. Cuma, saya tidak sempat mengambil gambar popia sira saya itu untuk diabadikan di sini.

Alhamdulillah, suami saya kata popia itu sangat sedap. Dia mahu saya buat lagi untuk berbuka esok. Wah!!

Thursday, July 25, 2013

Bahasa Arab

Apabila saya tamat darjah enam, arwah ayah mendaftarkan nama saya sebagai pelajar di Maahad Muhammadi Kota Bharu, sebuah sekolah aliran Arab yang sangat tersohor di negeri saya. Saya tidak menolak dan bersedia untuk belajar di sana dengan penuh semangat.

Tetapi apabila tawaran ke MRSM tiba, saya berubah perasaan. Saya teruja untuk belajar di MRSM dan mengetepikan harapan arwah ayah begitu sahaja, tanpa sedikit pun rasa bersalah. Ayah pula, sangat memberi kebebasan kepada saya. Dia tidak langsung meminta saya memikir kembali berkali-kali.

"Jika itu yang Yati pilih, ayah ikut sahaja. Yati yang nak belajar, biar Yati yang putuskan."

Begitulah demokrasinya ayah.

Di MRSM, kami diwajibkan belajar Bahasa Arab sehingga tingkatan tiga. Dalam peperiksaan pertama saya, saya mendapat markah tertinggi untuk Bahasa Arab daripada 160 orag pelajar tingkatan satu. Ayah melihat keputusan itu dengan senyuman dan berkata, "anak ayah ni pandai Bahasa Arab, tetapi tak mau sekolah Arab."

Saya menerima kata-kata itu sebagai satu pujian.

Pun, apalah yang saya mampu kuasai dengan hanya belajar bahasa Arab setakat tingkatan tiga. Walaupun berjaya mendapat gred A dalam percubaan SRP untuk mata pelajaran ini, saya masih terkial-kial untuk memahami ayat-ayatnya. Sedikit-sedikit sahaja saya mampu memanfaatkannya dalam mendalami maksud Al-Quran. Ya, sangat sedikit.

Di universiti, saya meneruskan usaha mendalami bahasa Arab. Kami diwajibkan mengambil enam unit (jam kredit) untuk bahasa asing. Tanpa ragu, saya memilih bahasa Arab.

Sentiasanya, saya mampu mendapat gred yang baik untuk subjek ini tetapi praktikal seakan tiada. Ia hanya berlangsung di kelas dan dewan peperiksaan. Alam realitinya, ia tiada. Hanya saat saya membaca al-Quran sahaja bahasa Arab itu wujud. Waktu-waktu lain, memang tiada.

Kini, saya dapat rasakan betapa saya masih perlu mencarinya. Mendalaminya. Melakukan sesuatu agar bahasa Arab saya tidak berkubur begitu sahaja. Mungkin tidak mampu bertutur, tetapi sekurang-kurangnya mampu membantu saya lebih mengenali agama saya sendiri.

Pesanan

Kata orang, jangan lihat siapa yang menyampai tetapi ambil apa yang disampaikan.

Benarlah itu. 

Namun dalam realiti kehidupan, jika ingin menjadi penyampai yang baik, sewajarnya didiklah diri untuk berakhlak baik. Amat jelik pada pandangan saya orang yang hanya pandai berkata-kata tetapi praktiknya tiada.

Pesanan ini sungguh untuk diri saya sendiri.

Wednesday, July 24, 2013

Cuai?

Maaf, saya tidak boleh menerima kenyataan sebegitu (merujuk kenyataan Menteri Wanita tentang kes kanak-kanak meninggal kerana lemas dalam kereta).

Mudahnya kita menghukum sesedap rasa apabila berlaku sesuatu musibah yang tidak pernah dijangka apa lagi diminta. Mudahnya kita meletakkan kesilapan pada bahu wanita itu yang kita tidak pun berada di tempatnya. Kita tidak tahu pun serabut jiwa dan mindanya. Kita tidak kisah pun tentang hidup matinya selama ini. 

Sesungguhnya dia manusia, dan dia lupa.

Allah sentiasa memaafkan hamba-Nya yang lupa. Kenapa pula kita yang berlebih-lebih?

Dia sudah terhukum dengan kelupaannya. Trauma menghantuinya saban waktu. Hidupnya diselubungi rasa bersalah yang entah bila berlalu. Wajarkah kita menambah bebannya itu?

Kita manusia. Jadilah manusia yang ada kemanusiaan.