Sunday, September 13, 2015

Musibah

Pagi Sabtu. Usai solat Subuh, seperti biasa saya kembali berbaring di katil sambil menggelintar laman-laman kegemaran saya di Samsung Galaxy Note 2 yang masih setia menemani saya sejak lebih dua tahun lalu. Hati tersentak apabila memandang berita bergambar di Facebook tentang kren runtuh dan menimpa bangunan Masjidil Haram yang seterusnya menghempap jemaah yang berada di dalam masjid itu.

Sekarang ini musim haji. Jutaan jemaah dari seluruh dunia berkumpul di Makkah untuk menunaikan rukun Islam kelima ini. Apabila perkara sebegini berlaku, ia menjadi berita yang mengemparkan seluruh dunia. Apa lagi ia melibatkan beratus-ratus nyawa yang terkorban dan cedera. 

Sebagai manusia biasa, saya hanya mampu berdoa agar segala urusan dipermudahkan Allah. Tiada yang menjangka perkara begini akan berlaku pun sebagai Muslim, redhalah dengan takdir-Nya. Semua yang terjadi pasti diiring hikmah tersendiri.


Thursday, September 10, 2015

DCT 1881

Petang Selasa, 8hb September 2015, Toyota Hilux yang dinanti-nanti akhirnya tiba jua di perkarangan rumah kami. 


Merasmikan penggunaannya, malam itu kami membawanya ke Restoran Manok. Gambar diambil dari jauh, dan tidak begitu jelas.

Sehingga hari ini masih saya tidak sempat menangkap gambar Toyota Hilux saya ini dengan baik. Tiada ruang sebab masih sibuk ke sana ke mari.

Sunday, September 06, 2015

Abad 21

Jam menghampiri 9.40 pagi. Saya bersiap-siap untuk ke dewan kerana waktu untuk saya mengawas peperiksaan sudah tiba. Tiba-tiba telefon berdering. Gambar Pn. Hjh. Wan Shuraya, PKP yang saya hormati tertera di skrin telefon saya. Pantas saya menjawab.

"Ti, lepas ni Ti ada kelas dengan 4 IBK kan?" Suaranya jelas di hujung talian.

"Ya, pukul 10.20 nanti."

"Ti bawa budak-budak ke kelas Abad 21 ya.."

"Err.. boleh, tapi kenapa ya Kak Su?"

"Ada Prof dari POKB datang ni. Dia nak tengok pengajaran abad 21. Ti boleh kan?"

Subhanallah! Saya rasa mahu pengsan! Tanpa persediaan, apa yang boleh saya lakukan?

"Kak Su, saya minta maaf... saya tak ready. Macam mana saya nak buat?"

"Tak ready tak apalah.."

Aduh!

Kadang-kadang, menjadi guru zaman kini tidak semudah yang saya harapkan. Semua benda sudah diletakkan piawaian maka kita sudah tidak mampu lagi menggunakan ilmu yang kita pelajari sewaktu di universiti dahulu. Jika mengajar, perlu mengikut piawaian abad 21 yang saya sendiri pun tidak tahu bagaimana. Yang saya tahu, kelas abad 21 yang disiapkan di aras 2 bangunan sekolah ini memiliki kemudahan internet, ada TV, ada coffee corner dan susun atur meja yang berbeza. Itu sahaja.

Saya berkhayal lagi.

Bagaimana boleh saya memperkenalkan konsep pembezaan prinsip pertama dengan kaedah abad 21 ini? Bolehkah saya melayari internet mencarinya di youtube dan meminta murid mendengar dan memberi respon? Begitukah?

Pada hal, sejak tujuh belas tahun yang lalu saya menggunakan papan hitam dan kapur (kini papan putih dan marker) untuk menerangkan prinsip pertama tanpa gagal. Murid saya tahu bagaimana menjelmakan dy/dx menggunakan kaedah prinsip pertama itu apabila saya menerangkan dan mereka mencuba. Apa perlu lagi abad 21?

Susah juga saya mahu faham.


Mekah

"Kenapa ya, saya tiada rasa teruja pun untuk ke sana..."

Ungkap seorang rakan guru yang seusia saya kepada saya beberapa hari lepas, saat kami beramai-ramai berbual tentang menunaikan haji ke Mekah. Dia bertanya perasaan saya sebelum dipanggil menunaikan haji dahulu. Kata saya, sejak mendaftar pada tahun 2004, setiap tahun saya menanti surat dari Tabung Haji dan setiap tahun saya tidak sabar-sabar untuk ke sana.

"Entahlah. Mungkin kerana saya memikirkan anak-anak saya yang masih kecil, saya tak sanggup tinggalkan mereka." Tambahnya lagi.

Saya kata, adik saya menunaikan haji dan meninggalkan anaknya yang baru berusia tiga tahun tanpa ada apa-apa masalah. Arwah ibu saudara saya juga sama. Sewaktu dia ke Mekah pada 2004 dulu, anak bongsunya baru dua tahun. Malah rakan guru di sekolah ini juga, ustazah Siti Meriam menunaikan haji pada masa anak kecilnya berusia dua tahun juga. Jika ada keinginan, keazaman dan kesungguhan, In Shaa Allah akan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Kata saya padanya.

"Hmm, harapnya Allah memanggil saya sebelum saya terlalu tua." Dia menyambung dan mematikan bicaranya di situ.

Saya tahu dia bukan tidak mengerti kewajiban yang satu ini. Suaminya malah  seorang ustaz. Tetapi mungkin belum wujud rasa kesungguhan dalam dirinya untuk ke sana kerana memikirkan banyak perkara. Tidak. Saya bukan menyalahkannya. Dia sudah pun mendaftar haji pada 2008 lalu. Mungkin setahun dua lagi dia akan terpilih. Saya doakan begitu.

Pernah seorang rakan di Kuala Krai dahulu menyatakan yang dia tidak akan ke Mekah pada usia muda. Dia belum puas bergaya dengan baju kebaya dan fesyen-fesyen terkini jadi jika dia bergelar Hajjah, dia tidak lagi sesuai bergaya begitu. Katanyalah.

Ada pelbagai pandangan yang menyebabkan seseorang itu tiada keterujaan untuk ke sana. Pada hal, haji itu wajib bagi yang mampu dan saya tahu, semua rakan-rakan saya sangat mampu. Mungkin persepsi kehidupan yang berbeza memberi ruang fikir yang berbeza pada mereka. Sedang saya dahulu, sentiasa mahu dijemput segera ke sana kerana saya sering berasa usia saya sudah di penghujung. Saya takut saya mati sebelum sempat ke sana. Saya jadi takut untuk berbelanja yang bukan-bukan selagi yang wajib belum saya sempurnakan. Alhamdulillah Allah memberi saya ruang seawal usia 38 tahun 9 bulan 9 hari untuk menjejak kaki ke bumi Mekah itu.

Saya doakan agar sahabat dan sanak saudara saya juga akan memiliki rasa keterujaan untuk ke sana.

Amin.

Friday, September 04, 2015

Anak Lelaki

Ada rasa kagum saya terhadap suami saya ini. Biarlah, kali ini saya mahu memujinya. Memuji suami sendiri.

Suami saya bukanlah lulusan agama, malah sehingga kini pun masih mengikuti kelas mengaji Quran seminggu sekali. Dia bukan lelaki warak jauh sekali alim.

Pun, apabila menyentuh hal berkaitan ibunya, sungguh dia amat prihatin. Patutlah Allah mentakdirkan dia sebagai anak lelaki tunggal dan diletak pula bekerja dan berumahtangga berdekatan dengan ibunya. Bukankah selayaknya anak lelaki yang menjaga ibunya?

Sememangnya saya sungguh kagum. Saya tahu dia meletakkan ibunya pada nombor satu dan saya ini selepas ibunya. Pun saya tidak kisah kerana saya tahu sepatutnya begitu. 

Jika ibunya mahu ke mana-mana, tentu sekali dialah yang pertama menawar diri untuk membawa kecuali jika dia bekerja. Itu pun akan tetap diusahakan agar ada ruang untuk dia memenuhi hasrat ibunya.

Seminggu ini pula, keluarga kakaknya diuji dengan wabak denggi. Empat sekeluarga terlantar di katil hospital dan saya nampak suami saya sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu. Katanya kepada saya, anak-anak kakaknya itu umpama anak-anak kita. Apatah lagi mereka yatim.

Saya bersyukur menjadi isterinya. Saya tahu, ibunya lebih-lebih bersyukur memiliki anak sepertinya.

Semoga Allah menerima setiap apa yang suami saya lakukan sebagai pahala dan mengganjari suami saya dengan syurga-Nya.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, September 03, 2015

Bebas

Semalam, artikel ini menggamit rasa saya. Memang ada pelbagai cara, pelbagai tafsiran dan pelbagai pandangan tentang bagaimana seorang isteri menjaga kebebasan kewangannya, dan itu terpulang kepada persepsi masing-masing, keselesaan masing-masing.

Pun, saya punya cara saya sendiri. Secara peribadi, saya tidak menyetujui gaya Puan Mona Din ini. Mengapa mesti wang kita diurus oleh suami? Sehingga begitu rela memberi kad ATM untuk suami pegang dan jaga. Bukan kerana tidak mempercayai suami sendiri, tetapi di mana kebebasan kita mengguna wang kita sendiri?

Saya pernah menulis tentang bagaimana saya mengurus kewangan keluarga. Dalam hal ini, saya boleh menganggap diri saya sebagai pengurus kewangan tetapi saya tidak pula memegang kad ATM suami atau sebaliknya. Dia bebas membelanja wangnya, dan saya bebas membelanja wang saya. Bebas dalam erti kata berhemah. Kami berbincang dalam banyak perkara sebelum membuat keputusan seperti pembelian kereta, gajet, barang kemas atau apa sahaja tetapi kami tidak pernah menyekat kebebasan masing-masing.

Walaupun begitu, suami memberi saya kepercayaan yang tinggi apabila perbankan internetnya di bawah seliaan saya. Saya bebas keluar masuk ke akaun banknya untuk segala transaksi seperti pembayaran bil, pembayaran ansuran kereta dan pemindahan wang. Dia tidak pula pernah bertanya atau tertanya-tanya tentang status kewangannya kerana dia yakin terhadap saya dan percayalah, keyakinannya itu tidak akan saya khianati biar apa pun terjadi.

Mungkin kita punya cara yang berbeza, tetapi saya tidak dapat membayangkan kedudukan saya seperti Puan Mona Din yang perlu meminta wang daripada suami dan tidak pernah mahu tahu jumlah wang dalam akaun sendiri. Saya bukan jenis begitu, kerana saya mahu segala tentang saya jelas dalam pengetahuan saya. Jika nanti ada kecemasan, saya tidak akan terpinga-pinga.

Tuesday, September 01, 2015

Di Sini

Kata orang, sudah lali. Begitulah aku.

Di kiri kanan aku adalah pesakit yang sedang menanti untuk dirawat. Ada yang sama penyakit denganku, ada yang lebih berat dan ada juga yang baru kali pertama bertandang.

Kami sama-sama menanti dalam harap.

Agar tiada berita buruk yang bakal kami terima. Agar segala kesakitan ini cuma sementara. Agar ada nanti kesudahan yang penuh bahagia.

Itulah harapan. Itulah doa.

Kami tidak mahu berputus asa.


Sent from Samsung Mobile

Monday, August 31, 2015

Sehati Sejiwa

Dua puluh sembilan tahun lalu, pada hujung 1986, saya dan beberapa orang rakan rapat menamakan kumpulan kami sebagai sehati sejiwa. Saya, Elin, Feena, Dahlia dan Yana. Kami berlima sangat rapat pada waktu itu dan sering bersama walau ke mana sahaja. Tetapi ia tidak lama, entah kerana apa menjelang 1987, apabila kami melangkah ke tingkatan tiga, kumpulan sehati sejiwa kami ini tidak bertahan lagi. Pun, kami tidak bergaduh cuma tidak berkumpulan sahaja.

Tahun ini, apabila tema hari kebangsaan ke-58 menggunakan frasa yang sama - sehati sejiwa - saya terkenang kembali waktu-waktu itu.

Salam kemerdekaan sehati sejiwa buat semua. Semoga erti dan semangat kemerdekaan ini bukan hanya di bibir. Semoga kasih dan cinta kita kepada negara membuahkan hasil yang kita inginkan

Sunday, August 30, 2015

Denggi

Keluarga kami dalam resah dan gelisah. Tetapi kami cuba untuk terus tabah kerana kami tahu ujian Allah ini tersirat sejuta hikmah.

Khamis lalu, Kak Rohaini disahkan dijangkiti denggi dan ditahan di wad. Selang beberapa jam sahaja, anak bongsunya Ilina pula menyusul. Dan keesokan hari, anak keempatnya Adilah juga disahkan begitu.

Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami. Jauhkanlah perkara yang tidak diingini dan sembuhkanlah kak Rohaini, Ilina dan Adilah. 

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, August 27, 2015

Pengawas

Sudah masuk minggu kedua peperiksaan percubaan SPM berlangsung. Tujuh kelas menempuhnya bermakna tujuh orang guru akan mengawas serentak 165 orang calon ini.

Ramai, bukan?

Lalu akan adalah yang mengambil kesempatan. Mengelat. Kasihan.

Guru, bukankah perlu menunjuk teladan mulia? Apabila masyarakat berkata yang tidak indah, kita mudah terasa. Tetapi mengapa kita sendiri enggan menjaga?

Biarlah sepuluh atau seratus guru yang akan mengawas, jika di dalamnya terselit nama kita maka hadirlah. Itu tanggungjawab. Amanah. 

Saya sudah penat untuk berasa hairan. Bukanlah saya guru yang sempurna tetapi saya tidak tergamak mengotori profesion yang saya kasihi ini.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, August 26, 2015

Kereta

Ketiadaan air di sekolah sudah masuk hari ketiga. Kering. Kontang. Amat menyukarkan.

Seperti selalu, usai pengajaran pada hari Selasa, semua guru akan berkumpul di bilik mesyuarat untuk satu perjumpaan rasmi yang kami namakan Dialog Prestasi. Dek ketiadaan air, kami berharap Dialog ini dibatalkan tetapi ia tidak begitu.

Tuhan tahu susahnya saya mencari air. Seperti berada di gurun sahara lagaknya. Mujur kantin kami menggunakan enjin untuk mendapatkan air jadi mereka tidak terkesan dengan kemelut begini. Saya menumpang bilik air mereka untuk membersih diri sekadar mampu. Untuk berwuduk, saya menggunakan air mineral sahaja. Alhamdulillah, saya mampu menyelesaikan fardu Zohor sebelum Dialog Prestasi bermula pada jam 2.15.

Entah kerana apa, jam 2.45 baharulah Pengetua tiba. Banyak sungguh masa dibazirkan untuk menunggu, sedang banyak lagi agenda yang perlu saya lunaskan untuk hari ini.

Jam menghampiri 4 petang barulah selesai Dialog kami. Saya bergegas turun kerana suami sudah menanti saya di luar pagar. Kami merancang untuk menyelesaikan segala berkaitan pembelian Hilux pada hari ini juga. Suami saya sudah pun selesai membuat Banker's Cheque di Bank Muamalat Kok Lanas untuk membayar wang pendahuluan Hilux itu. Kami terus sahaja menuju ke Maybank Kota Bharu untuk menandatangani perjanjian sewabeli kereta.

Jam 5.25 petang barulah selesai segalanya. Penat juga, tetapi puas kerana tiada yang terbengkalai. Wang pendahuluan sudah diserahkan kepada Saudara Faisal wakil jualan Toyota itu, perjanjian juga sudah ditandantangani dan urusan insurans juga sudah dibereskan. Kini kami hanya menanti ketibaan kereta itu yang katanya sehari dua lagi.

Tuhan, berkati kami. Kereta ini akan kami gunakan untuk tujuan berbakti kepada-Mu.

Tuesday, August 25, 2015

PAP Smear

Sebagai wanita yang sudah berkahwin - suka atau tidak - ujian PAP Smear bagaikan wajib. Sejak tahun lepas apabila saya ke temujanji pakar sakit puan saya di Klinik O&G HUSM, mereka sentiasa mahu lakukan ujian ini pada saya. Malangnya, bukan saya yang menolak tetapi situasi sentiasa tidak mengizinkan.

Pada temujanji saya di HUSM pada 30 September tahun lepas, doktor yang merawat saya waktu itu tetap mahu melakukan ujian ini ke atas saya walaupun dia tahu situasi saya tidak sesuai. Saya pelik juga, tetapi saya hanyalah pesakit sedang dia seorang doktor. Saya merelakan sahaja, dalam keterpaksaan. Ada rasa malu, ada rasa tidak selesa dan yang paling tidak tahan ialah sakit kerana doktor itu sedikit kasar tindakannya. Dia menjolok-jolok, menekan-nekan perut saya. Sakit!

Pada temujanji seterusnya, saya bertanyakan keputusan ujian PAP Smear saya. Kata doktor (yang lain pula) tiada bacaan boleh dibuat kerana faktor pendarahan saya yang banyak waktu itu. Oh! Sakit saya sia-sia....

Sehinggalah ke temujanji saya pada Jun lalu, saya masih gagal untuk di PAP Smearkan. Setiapkali bertemu doktor, saya mengalami pendarahan. 

Memikirkan situasi saya yang tidak menentu ini, saya memutuskan untuk melakukan ujian ini di klinik swasta sahaja pada waktu saya tiada mengalami pendarahan.

Pada 30 Julai 2015 yang lalu, saya ke klinik O&G di Pusat Perubatan Annisa' dan bertemu doktor pakar di sana. Alhamdulillah, semuanya dapat dilakukan dengan baik seperti yang saya harapkan. Selain PAP Smear, ujian Pipple juga dilakukan.

Janji doktor itu, keputusan akan diberitahu melalui telefon pada 13 Ogos nanti.

Saya menanti dalam debar.

Pun, apabila tarikhnya tiba, tiada panggilan telefon pun yang saya terima. Menjelang petang, saya menelefon Annisa'. Kata stafnya, keputusan sudah ada cuma perlu direview oleh doktor dahulu sebelum disampaikan kepada saya. 

Lama juga menanti, hanya pada Selasa 18 Ogos barulah doktor itu menghubungi saya. Katanya, semuanya normal.

Alhamdulillah.

Monday, August 24, 2015

Kenapa?

Kerana saya manusia biasa.

Ada rasa tidak senang dalam hati saya dengan persekitaran begini. Apabila kami diarahkan menyelesaikan banyak perkara secara atas talian, saya mula nampak bagaimana mereka menanganinya.

Perkara semudah ini pun menjadi payah jika semua mengharap bantuan. Saya tidak tahu mengapa saya sangat tidak senang dengan manusia yang cuma tahu meminta. Hiduplah untuk memberi wahai sahabat-sahabatku! Allah kurniakan kita akal dan kemampuan, janganlah meletak diri dalam kategori kurang upaya!

Semoga Allah mengampuni kita semua.

Friday, August 21, 2015

Tugas

Apabila saya bertukar ke sekolah ini pada Februari 2009, PKP waktu itu, Pn. Hjh. Maizan melantik saya sebagai Setiausaha Unit Peperiksaan bahagian Headcount. Katanya, dia telah menghubungi sekolah lama saya dan PKP di sana memaklumkan yang kemahiran saya adalah dalam Headcount. 

Tanpa prejudis, saya menerima dengan rela. Saya berpindah dari bilik guru ke bilik peperiksaan atas arahan PKP juga. Saya bersedia melaksanakan tanggungjawab itu kerana bidang Headcount bukanlah asing bagi saya.

Melangkah ke 2010, saya diberi dua lagi tugas besar. Setiausaha Kecemerlangan SPM dan Ketua Panitia Matematik. Gabra juga saya melihat tugasan sebegitu apatah lagi kedua-duanya belum pernah saya jawat.

Pun saya bertuah kerana dibantu rakan-rakan dan pentadbir yang prihatin.

Dan sehingga ke tahun ini, saya masih diberi kepercayaan meneruskan tugas sebagai Setiausaha Headcount dan Setiausaha Kecemerlangan SPM. Cuma jawatan Ketua Panitia sudah digugurkan pada 2012 atas permintaan saya.

Kedua-dua tugas yang saya pegang ini sangat memerlukan konsentrasi dan masa. Saya tidak punya banyak ruang santai kerana tugas-tugas ini. Rupa-rupanya, di sekolah lain jawatan ini dipegang oleh orang yang berbeza dek bebannya yang berat.

Rasa saya, sudah sampai masanya saya mohon untuk menyerahkan satu daripada jawatan ini kepada guru lain. Saya sudah penat. Usia yang meningkat ini turut menjadi faktor juga.

Penghujung tahun nanti, saya mahu puan PKP menimbangkan untuk memberi jawatan Setiausaha Kecemerlangan SPM kepada guru lain yang lebih muda dan bertenaga. Saya mahu meneruskan tugas di bahagian Headcount sahaja kerana ia lebih memberi kepuasan.

Semoga begitulah nanti.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, August 20, 2015

Baik

Menjadi baik, itulah matlamat saya. Baik dengan semua. Dengan manusia. Dengan haiwan. Dengan alam. Malah mungkin dengan kayu, batu, yang tidak punya rasa itu. Saya tidak mahu ada musuh. Saya mahu damai. Aman. Tenteram. 

Manalah saya tahu, ada tindakan saya yang menyalahi rasa baik yang saya mahu itu. Saya tidak tahu. Sungguh. 

Di kantin.

Kisah 1.

Apabila seekor ikan cencaru sumbat yang saya cubit itu disuap ke mulut, rasanya sedikit busuk. Saya langsung tidak lalu untuk menelannya. Lalu saya memberitahu adik pekerja kantin itu, "Dik, ikan ni berbaulah. Saya nak ambil lauk lain ya."

Dia lantas membawa ikan itu ke dapur dan saya mengganti lauk saya dengan ayam goreng.

Usai makan, saya ke kaunter untuk membayar. 

"Cikgu ke tadi yang kata ikan tu berbau?" Tanya tauke kantin pada saya.

"Ya."

"Kami rasa tadi ok je. Tak bau pun. Habis pun kami makan."

"Ya ke? Entahlah, saya cubit sekali je. Rasa macam ada bau, terus saya tak nak makan. Saya memang sensitif dengan ikan berbau."

"Tu la cikgu. Kami makan ok je. Cikgu selalunya tak pernah buat hal. Tiba-tiba je hari ni.."

"Oh.. saya memang rasa sikit je ikan tu."

"Tu yang saya pelik, cikgu kan tak pernah buat hal.."

Dua tiga kali dia menyebut begitu. Buat hal. Saya rasa sedikit tidak selesa.

"Kak, saya bukan buat hal, saya memang rasa ikan tu berbau! Tak apalah, kak nak saya bayar ke?"

Nada saya tiba-tiba berubah.

"Oh.. tak. Tak.."

Rupa-rupanya apabila kita memberitahu apa yang kita rasa tentang masakannya, atau menegur, atau mengomen, kita dicop buat hal. Begitu mentaliti peniaga ini. Saya tidak tahu dia boleh maju sampai mana.

Kisah 2.

Saya nampak kerut di wajah kakak tauke kantin ini sewaktu saya berdiri di kaunter untuk membayar. Dia sedang berbincang sesuatu dengan salah seorang pekerjanya waktu itu. Saya bertanya sekadar membuka ruang bicara. Dia pun bercerita, mungkin mahu mengongsi apa yang dirasa.

Katanya, sudah banyak kali PKP  menempah makanan untuk majlis anjuran sekolah tetapi tidak membayar. Dia pula tidak tergamak mahu meminta.

Saya bertanya lagi, memohon kepastian. "Untuk program apa tu kak?"

"Minggu lepas program pelajar SPM. Lepas tu pelajar PT3 pula.."

"Oh, itu bawah unit kecemerlangan. Saya boleh tolong. Kak buat resit dulu. Nanti saya claim dengan unit kecemerlangan. Rasanya dapat. In shaa Allah minggu depan kak."

Janji saya dengan kakak tauke itu, kerana saya tahu dia perlu dibantu.

Alhamdulillah, saya berjaya dapatkan wang untuk menjelaskan bayaran makanan itu seperti yang dia mahu, RM450.

Pagi tadi, saya menyerahkan duit itu kepadanya.

Dia mengambil dengan hanya berkata "hmm" tanpa sepatah ucap terima kasih pun.

Apalah yang boleh saya harapkan dari seorang peniaga sepertinya. Bukanlah saya ini lapar ucapan terima kasih itu, tetapi cerminan watak peribadi seorang peniaga melayu islam yang dia bawa sangat tidak cantik.

Itu hanya dua kisah kecil yang berlaku pada saya. Saya tahu ada banyak lagu kisah antara dia dan guru-guru lain di sekolah ini, tetapi cukuplah. Ini cuma satu catatan tentang kisah yang mahu saya jadikan sempadan. Mungkin ia kecil,  tetapi budi bahasa bukankah budaya kita?


Sent from Samsung Mobile

Sunday, August 16, 2015

Hari Keluarga

Saya tahu, tujuan hari keluarga diadakan adalah untuk merapatkan silaturrahim antara kakitangan dan keluarga masing-masing. Ia juga turut menjadi ruang bersantai bagi ahli keluarga, beriang-ria dan bergembira terutama pada kanak-kanak.Tetapi, saya tidak menggemarinya. Sungguh!

Sudah lama suami saya memaklumkan tentang program Hari Keluarga sekolahnya, dan saya tahu saya tidak akan mampu mengelak. Suka atau tidak, saya mesti mengikut. Dan semalam, ia berlangsung di Putra Valley, Tanah Merah. Acara bermula jam 9.00 pagi dan dijangka tamat pada 4.00 petang.

Saya akur sahaja menurut suami saya ke sana. Pada hal, siapalah sahaja keluarga kami. Hanya saya dan dia. Jam 11.19 pagi baru kami bergerak dan saya tidaklah teruja pun. Malah, sudah boleh merasa kebosanan yang akan saya lalui.

Jam 12.02 tengah hari kami tiba. Guru-guru lain sudah ramai yang ada. Seperti biasa, saya kaku dalam keriuhan. Kekok sebenarnya apabila berada dalam kumpulan manusia yang bukan kenalan kita. Adalah seorang dua yang saya kenali, tetapi mereka sibuk dengan tugasan masing-masing.

Saya mengambil tempat di bahagian belakang, berbual-bual dengan seorang dua yang ada. Itu pun tidak sebanyak mana. Tiada isu, kerana saya bukanlah peramah pun. Lalu saya diserang kebosanan. Tidak tahu apa perlu dilakukan. Suami saya sudah tenggelam dalam lautan guru-guru lelaki, berbual dan bergelak ketawa tentang entah apa-apa.

Lambat benar masa berlalu. Skrin telefon sudah jemu saya tatap. Makanan pun sudah habis saya makan. Apa lagi perlu dibuat?

Saya melontar pandangan ke kolam. Kanak-kanak ini memang tidak tahu panas atau hujan. Semua ceria terjun dan berenang tanpa khuatir apa-apa pun. Tahukah mereka kemelut negara kita sekarang?

Hampir jam dua, bosan saya sudah tiba ke kemuncak. Saya mencari-cari di mana suami saya. Oh! Dia sedang menyertai acara menembak pula. Senang sahaja, dia mencapai mata tertinggi dan dinobatkan johan. Maklumlah, askar.

Saya mengajaknya pulang. Kita belum Zohor lagi ni bang oi!

Alhamdulillah, jam 1.54 tengah hari, dia memandu keretanya keluar dari Putra Valley itu. Dapatlah saya pulang dan berehat di rumah pula, yang nikmatnya berganda-ganda daripada program Hari Keluarga itu.

Halalkan Ilmu?

Sudah menjadi budaya para pelajar, apabila menjelang waktu peperiksaan, mereka akan memohon para guru menghalalkan  ilmu yang telah diajar. Para guru juga sama, seolah-olah ilmu itu milik mereka. Entah siapa yang membudayakan amalan ini, tidak pula saya ketahui. Setiap tahun majlis Restu Ilmu tidak pernah gagal dilaksanakan yang mana salah satu tujuannya ialah untuk guru-guru menghalalkan ilmu kepada anak-anak muridnya.

Apa yang saya tahu, tidak pernah diajar dalam agama kita, sesuatu ilmu itu perlu dihalalkan atau diharamkan. Ilmu itu cahaya petunjuk, yang pemiliknya ialah Allah Ta'ala, sesiapa pun yang mengaku sebagai hamba Tuhan berhak untuk mengambil manfaat daripada ilmu yang ada. Guru-guru hanyalah penyampai, tidak lebih daripada itu.

Seharusnya, apa yang diminta ialah doa daripada guru-guru ini untuk kejayaan dan kesejahteraan murid-muridnya, supaya menjadi insan berguna yang dikasihi Allah dan sekalian umat.

Sedih jika ada guru yang dalam tidak sedar bagai bernada angkuh mengucapkan kata "jika beginilah perangai anak muridku, aku tak halalkan ilmuku!" apabila merujuk kepada murid yang nakal atau jahat.

Mana doamu wahai guru? Jahat mereka tidak semestinya membawa ke mati. Kesudahan mereka kita belum tahu. Dan ilmumu itu guru, milik mutlakmu kah?

Semoga tiada guru yang begitu.

Wednesday, August 12, 2015

Bengkel

Jam 2.20 petang, hari Selasa 11 Ogos 2015.

Saya tiba di perkarangan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu untuk menyertai Bengkel Peningkatan Prestasi Matematik SPM peringkat PPD sebagaimana diarahkan. Waktu saya tiba itu, Dewan Utama PPD sudah hampir penuh, dan kebanyakan peserta (guru-guru Matematik SPM) sudah pun selesai menikmati sebungkus bihun goreng yang dibekalkan penganjur.

Saya masuk, mengambil tempat di meja paling tepi berhampiran dinding kerana saya mahu berdekatan dengan plug. Senang untuk menggunakan laptop nanti. Begitu saya diarahkan, membawa laptop, wayar penyambung dan thumb drive.

Perut saya lapar sebenarnya kerana tidak sempat makan sebelum hadir ke sini tadi. Janji saya dengan Kak Zakiah tadi, kami mahu makan di mana-mana restoran berdekatan sebelum masuk ke Dewan tetapi dek kerana tiba lewat, kami tidak sempat. Kak Zakiah dan saya sama-sama diarahkan ke PPD hari ini tetapi untuk dua tugasan berlainan.

Bungkusan bihun itu saya buka, dan sempat saya santap beberapa suap sahaja, kerana tepat 2.30 tengah hari, majlis bermula.

Majlis dibuka oleh Pegawai PPD yang sangat berpengalaman.

Kami guru-guru ini, waktu pagi tadi sudah bertugas berhempas pulas di sekolah. Apabila diarah berbengkel pada petang-petang begini, mood sudah hampir sifar tetapi kami tetap patuh. Ikhlas. Sabar. Sangka saya perjalanan bengkel akan memberi keceriaan dan banyak input baharu untuk kami aplikasikan di sekolah nanti.

Pun, ia tidak berlaku begitu.

Awal-awal lagi kami diherdik.

"Cikgu, boleh tak cikgu beritahu ada berapa aspirasi murid yang digaris dalam PPPM 2013 - 2025?"

Pegawai itu dengan nada tidak manis memulakan bicara. Benar, kami terkial-kial. Saya mencapai telefon untuk meng'google'. Nama seorang guru dipanggil untuk memberi jawapan tetapi guru itu tidak dapat menjawab.

"Cikgu, cikgu tak boleh macam ni...." dan berterusanlah dia berceramah yang nadanya bagai leteran yang tidak sedap didengar. Kami adalah guru-guru yang penuh dengan kesalahan.

Tamat bicara pembuka pegawai itu, barulah mikrofon beralih tangan kepada pegawai SISC+ Matematik untuk memulakan bengkel. Sebelum berbengkel, kami diberi penerangan tentang pencapaian Matematik yang masih tidak memberangsangkan pada pertengahan tahun baru-baru ini. Masih ramai pelajar yang gagal dan kami diminta memberi cadangan program-program yang sesuai dijalankan dalam tempoh seratus hari berbaki ini sebelum SPM berlangsung.

Sama sahaja.

Setiap tahun pun beginilah. Tiada apa yang berbeza yang diberi kepada kami. Selepas kami diherdik, kami dibahagi kepada beberapa kumpulan dan diminta mencari idea. Kemudian setiap kumpulan diarahkan membentangkan idea mereka. Sama dan serupa setiap tahun.

Saya tidak menyukainya. Sangat-sangat.

Ia bagai cerita basi yang diulang-ulang. Tiada kesan langsung kepada pelajar-pelajar kami. Kami mengharapkan sesuatu yang berbeza, yang baharu. Yang tidak klise begini.

Mereka di PPD seronok menghentam kami pada hal mereka tidak tahu apa-apa tentang penat lelah kami di sekolah. Tentang kesukaran kami berdepan dengan pelbagai karenah dan sikap pelajar yang kurang motivasi. Mereka tidak berada di tempat kami. Pun masih mahu kami berterima kasih kerana mereka bersusah payah menyediakan modul yang entah apa-apa itu kepada pelajar kami. Modul yang sangat jauh daripada sempurna.

Jam sudah ke angka 5.35 petang tetapi pegawai itu masih meneruskan celoteh yang tidak berapa sedap didengar.  Dalam surat, dinyatakan cuma setakat jam 5 sahaja tetapi dek celotehnya itu masa kami terheret lebih setengah jam! Perut saya lapar, hati saya sakit.

Maafkan saya, ada kalanya isi hati perlu diluah.

Friday, August 07, 2015

Aura

Untuk kali ketiga tahun berturut-turut, saya menyertai mereka lagi.

Pelajar-pelajar tingkatan lima sekolah saya dibawa ke Aura Training Centre ini untuk Kem Kecemerlangan SPM. Ada seminar teknik menjawab dan sentuhan kerohanian buat mereka sepanjang tiga hari dua malam bermukim di sini.

Saya tiba sekitar jam 12 tengah hari Khamis, menaiki kereta ustazah Wan Noraini ditemani juga ustazah Siti Meriam. Cuaca redup, diiringi hujan renyai-renyai menyambut ketibaan kami bertiga.

Saya diberi bilik Aura 02 untuk menginap. Beradalah saya di situ sehingga ke pagi ini, Jumaat. Saya berada bersendirian kerana guru-guru lain diberi bilik berasingan kerana mereka datang sekeluarga. Dan saya seronok.

Jadual yang diatur berjalan seperti yang diharapkan. Guru-guru tidaklah terbeban dengan karenah pelajar kerana mereka semua baik lakunya. 

Jam 10.15 pagi ini suami saya tiba untuk menjemput saya pulang. 

Sent from Samsung Mobile

Tuesday, August 04, 2015

Ogos..

Hadirlah membawa ketenangan yang lama nian enggan singgah di pelantar hati aku!

Menyaksikan segala rentetan peristiwa yang begitu pesat diulas di sekeliling aku, tenang dalam diri aku bertukar menjadi ngeri. Aku ngeri dengan semua ini. Tidak mampu aku membawa tenang itu kembali jika beginilah gelombang yang memukul pantai rasa dan jiwa aku!

Tuhan. Lindungi kami rakyat jelata dari sebarang mala petaka.


Sent from Samsung Mobile