Monday, January 29, 2018

Swafoto

Saya ini memang gila selfie. Bukan baru sehari dua ini, tetapi sejak bertahun-tahun lalu. Sejak belum wujud lagi kamera telefon, sayasudah berswafoto dengan kamera biasa. Tetapi tahu sajalah, apabila gambar itu dicuci, ada yang menjadi ada yang tidak. ada yang cuma nampak dahi, ada yang cuma nampak hidung ke bawah dan ada juga yang kelabu asap! Tetapi saya tidak serik, setiap kali ada kamera di tangan, saya akan berswafoto.

Sehingga kini, begitulah saya.

Ini koleksi terbaru swafoto 2018.



















Sunday, January 28, 2018

Berkira

"Lapan ringgit dua puluh sen, cikgu." 

Peniaga kantin itu menyatakan harga makanan yang saya beli. Saya hulurkan not sepuluh ringgit kepadanya.

"Kejap kak, saya ambil syiling dua puluh sen." Saya mencelah.

Peniaga itu tidak berkata apa-apa, hanya menanti huluran syiling itu daripada saya. Dan itulah yang saya harapkan.

Ada teman saya yang berbisik dan berkata, dua puluh sen pun ambil juga. Berkira betul! Sedangkan saya, rasa tidak enak pula jika dua puluh sen itu dihalalkan. Bukan apa, dia berniaga untuk memudahkan kita, takkanlah dua puluh sen pun kita berkira?

Bab berkira, kita selalu nampak pada diri orang lain. Jarang kita mahu pulangkan pada diri kita. Pada hal bagi peniaga kecil-kecilan, untung mereka bukanlah besar. Hanya beberapa sen untuk satu barang. Jika kita masih mahu mereka memberi diskaun sebegitu, sedangkan kita mampu untuk membayarnya, tentu kitalah manusia yang berkira. 

Begitu juga halnya dalam tawar menawar semasa membeli belah. Itu memang bukan kegemaran saya. Sekali sahaja saya akan bertanya, "berapa boleh kurang ni?" dan saya akan menerima sahaja berapa yang diberi. Walaupun akan ada yang berkata "mahalnya awak beli!" Saya tidak kisah.  

Biarlah saya tidak berkira dalam hal begini. Saya ada banyak lagi perkara lain yang perlu diberi perhatian.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, January 26, 2018

Masa Depan

Terkenang saya kisah tiga puluh empat tahun yang lalu. Saya salah seorang daripada lima orang murid SK Mulong yang berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan penilaian darjah lima. Tentunya impian saya dan keluarga saya yang seterusnya ialah menyambung pengajian menengah di sekolah berasrama penuh.

Tetapi saya tidaklah menaruh harapan yang terlalu tinggi. Walaupun hakikatnya saya begitu mengimpikan MRSM Kuala Terengganu (kerana terpesona dengan cerita seorang guru saya yang pernah melawat MRSM itu) tetapi saya sedar ia bukanlah sesuatu yang boleh saya capai semudah itu. Saya lebih memegang kata-kata guru saya, Allahyarham Wan Yusoff, "apa yang penting ialah kerajinan dan usaha kamu, bukan sekolah. Jika kamu rajin, belajar di sekolah kampung pun kamu akan berjaya. Tetapi jika kamu malas, sekolah asrama penuh pun akan tendang kamu."

Apabila surat tawaran ke SBP diterima oleh kawan-kawan saya pada pertengahan November 1984 dan saya tidak, saya biasa sahaja. Saya tidak tahu yang surat tawaran ke MRSM sedikit lewat. Sangka saya, saya sudah tidak terpilih ke mana-mana. Ayah pula sudah mendaftar nama saya ke Sekolah Agama Maahad Muhammadi. Saya akur dan sedikit pun tiada rasa untuk membantah.

Waktu itu, saya seronok memberitahu kawan-kawan dan jiran yang saya akan bersekolah di sekolah Maahad. Saya tidak memilih sekolah, kerana saya tahu kecemerlangan itu berada dalam diri saya, bukan kerana sekolah. Saya tidak kecewa sedikit pun tidak terpilih ke sekolah berasrama penuh.

Pada 4 Disember 1984, saya menerima surat tawaran ke MRSM Kuala Terengganu. Kali ini gembira saya bukan kepalang! Apa tidaknya, saya langsung tidak mengharap apa-apa pun tetapi tiba-tiba ia menjadi nyata. MRSM Kuala Terengganu ialah MRSM impian saya, tentunya saya tidak mampu menolak! Walaupun saya sudah memberi persetujuan kepada ayah dan emak untuk bersekolah di Maahad, tetapi saya mohon agar persetujuan itu dibatalkan. Saya mahu ke MRSM Kuala Terengganu.

Ayah tidak menghalang. Dia memberi saya kebebasan memilih. Emak bertanya juga, sudah fikir banyak kalikah? Ya. Saya muktamad.

Kenapa saya menulis kisah ini? Kerana saya terbaca rintihan seorang ibu yang mempunyai anak cemerlang tetapi gagal mendapat tempat di sekolah idaman Begitu keras anaknya berusaha, dalam akademik dan dalam kokurikulum supaya seimbang pencapaian dan diterima ke sekolah impiannya. Malangnya permohonannya tidak diterima dan anak itu sungguh kecewa hingga berkata, dia tidak akan bersungguh-sungguh lagi dalamP PT3 nanti.
Saya simpati dengan ibu dan anak itu. Tetapi kesilapannya ialah apabila menjadikan sebuah sekolah sebagai sasaran dan berusaha keras demi sekolah itu. Dia lupa yang segalanya bukan dalam genggaman kita.Sepatutnya, ibu bapa menanamkan rasa ingin cemerlang dan berjaya dalam peperiksaan bukan kerana mengejar tempat di mana-mana sekolah, tetapi untuk sebuah masa depan yang boleh dibina biar di sekolah mana pun dia berada. Pengajian menengah masih terlalu awal untuk dibezakan tempat. Biar di ceruk mana pun sekolah itu berada, laluan tetap sama iaitu SPM. Seleaps itu barulah boleh ditentukan hala dan tuju seterusnya mengikut bidang yang ada di universiti pula.

Saya sudah mengajar di empat buah sekolah menengah biasa dan ramai anak murid saya yang cemerlang melebihi murid-murid di sekolah berasrama penuh. Ada antara mereka yang menolak tawaran ke SBP atas sebab-sebab tertentu dan meneruskan pengajian di sekolah kampung ini tetapi tetap cemerlang dalam peperiksaan kerana kami guru memberi tunjuk ajar yang sama tanpa mengira sekolah mana mereka berada.

Berbalik kepada kisah saya, jika tiada tawaran ke MRSM Kuala Terengganu pun, saya tidak kecewa. Cuma apabila ia tiba, saya begitu bahagia.

Thursday, January 25, 2018

Indah


Alhamdulillah, syukur emak masih sihat pada usia enam puluh enam tahun ini. Raut wajah emak masih berseri-seri meski disulam ketuaan yang pasti. Semoga Allah merahmati emak dan memberi sepenuh perlindungan dan keselamatan sepanjang hidup emak.

Emak akan bertolak ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan Air Asia pada jam 3.45 petang Sabtu 27 Januari ini. Lusa. Emak mahu menziarah anak-anak emak yang berada di luar Kelantan. Ismah di Putrajaya, Abang Lutfi di Shah Alam, Rifqi dan Zahidah di Johor Bahru dan Muhammad di Teluk Intan. Kami di Kelantan sudah selalu-selalu emak jumpa, tentu emak rindu pada yang jauh.

Saya akan menghantar emak ke lapangan terbang, dan emak akan diberi kerusi roda. Emak bersendirian kali ini, tanpa ditemani anak-anaknya walaupun emak ada anak lapan orang. Terfikir juga saya, sibuk benar kami hingga membiarkan emak berpergian sendiri.

Awalnya saya mahu cuba mencari ruang meneman emak ke sana. Mungkin saya boleh turun pada malam Jumaat bersama-sama dan saya pulang sendirian pada petang Sabtu. Tetapi belum sempat perancangan saya selesai, adinda saya di Putrajaya itu telah sedia menempah tiket untuk emak bersama-sama khidmat kerusi roda. Emak pula dengan penuh keyakinan, menerima dan bersedia untuk ke KL bersendirian.

Cekal dan berani sungguh emak saya. Semoga Allah melindunginya.

Selamat bercuti emak. Saya akan merindui emak, dan sungguh saya sentiasa merindui emak. Setiap hari. Walaupun ketika bersama-sama emak, rindu itu tetap ada. Saya sayang emak saya lebih daripada segalanya, kerana dia anugerah Allah paling indah buat saya.

Indah. Sungguh indah.

 
Saya dan emak di Perbukitan Uhud, Madinah pada Jun 2013.

Semoga ada peluang untuk bersama-sama emak ke sini lagi nanti. Amin.

Saturday, January 20, 2018

Sajat

Benar saya enggan peduli perkara sebegini. Buat apa? Bukan penting pun. Langsung tidak menjana minda.

Tiba-tiba ia sudah sampai pada JAKIM.

Aduh! JAKIM sudah habis kerja-kerja lain yang lebih pentingkah? Apa urusan kita dengan jantina Nur Sajat? Kenapa sibuk?

Kadang-kadang rasa mahu menangis melihat bagaimana Melayu Muslim beria-ia mahu Sajat dikenakan tindakan. Takut bala, kata mereka.

Begitu ajaran dakwah pak-pak lebai kita rupanya. Cari sahaja salah orang sampai dalam kain! Selagi tuan diri tidak mengaku, selagi itu dikutuk dikeji. Untung jiwa Sajat itu kuat. Kalau dia depresi dan bunuh diri? Tentu Melayu Muslim ini lepas tangan sahaja!

Bayangkan keluarganya. Ibu dan ayahnya. Sudah habis segala perasaan mereka rasa. Anaknya begitu, mereka sudah redha. Kenapa orang lain pula sibuk-sibuk? Apa pentingnya Sajat dalam hidup orang lain?

Saya tak rasa Sajat akan beria-ia membuktikan keperempuanannya jika tiada tekanan daripada persekitaran. Jika kita tidak kisahkan dia, tidaklah dia masyhur seperti ini. Dia boleh sahaja jalani hidupnya tanpa menyusahkan siapa-siapa. Apa masalahnya dengan kita?

Saya penat dengan mentaliti Melayu Muslim Malaysia. Sungguh!





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, January 18, 2018

Makan

Pagi ini bacaan gula darah (random blood sugar) saya tinggi. Selalunya hanya sekitar 5.5 hingga 7.0 tetapi menjadi 7.9 pada jam 6.25 pagi tadi. Terkejut sebentar, dan rasa mahu insaf.

Tetapi sungguhlah susah untuk saya mengawal pengambilan gula harian saya. Nasi sudah menjadi menu yang wajib dengan kadar yang bukan sedikit. Untuk semalam sahaja, saya sarapan pagi dengan sepinggan nasi berlaukkan seketul ayam masak sup dan telur dadar, bertemankan teh tarik.

Di bilik saya, sewaktu tiada kelas, saya mengunyah juga biskut dan minum air kotak Marigold Blackcurrant.

Jam satu tengah hari, saya ke kantin lagi. Kali ini nasi goreng cina dan teh o ais. Juga sekeping sandwich.

Bila pulang ke rumah, jam empat saya kembali lapar. Aiskrim magnum dan keropok keping pula saya hadap. Jam 6.30 petang, saya masak mihun goreng dan saya makan bertambah-tambah.

Jam 8.00 malam saya berhenti makan. Jam 10.15 saya sudah tidur.

Dan itulah, pagi ini bacaan gula saya tinggi dan amat menakutkan. Saya berazam untuk mengurangkan pengambilan nasi dan minuman manis bermula hari ini supaya kekal sihat tanpa gangguan diabetes. Semoga Allah memberi kekuatan itu. Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, January 15, 2018

Musim Sejuk

Januari tiba bersama kesejukan. Dan saya amat menyukainya.

Terjaga pagi ini, sejuk mencengkam tubuh badan. Suhu tercatat 21°C, air di pili tidak sanggup saya sentuh. Pun saya tiada pilihan, terpaksa menggagahkan diri menyiram juga air itu ke badan, kerana perlu bersiap-siap seawal pagi untuk ke sekolah.

Kecil dahulu, sewaktu saya masih bersekolah rendah, arwah ayah akan siapkan air panas untuk saya mandi jika pagi sejuk begini. Saya seorang sahaja bersekolah pagi sewaktu darjah empat itu. Abang saya Lutfi dan adik saya Aziah masing-masing darjah enam dan darjah dua, bersekolah sesi petang. Ayah memang terbaik. Semoga Allah merahmati ayah.

Di sekolah, pelajar-pelajar mengadu kesejukan.

"Cikgu, sejuknya!!"

Saya mengusik, "ni mesti tak pernah pergi London ni.."

Mereka tergelak.

Kesejukan berterusan sehingga saya pulang ke rumah. Saya berselimut di katil dan tidur dengan enaknya dari 3.30 petang membawa ke Asar. Jika boleh, mahu sahaja menyambung lagi tidur tetapi apa daya, banyak lagi tugasan rumah tangga yang perlu diselesaikan.

Sejuk begini tentunya tidak selama mana. Tiba Februari nanti, cuaca pasti akan beransur-ansur panas kembali. Begitu aturan Tuhan. Asal sahaja kita mensyukurinya.







Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, January 14, 2018

Proud

Well, at least this kind of thing did not happen to all of us. I was the chosen one when I managed to arrive at school at the same time everyday, last week. Accurate time, 6.46. 

I didn't plan it. It happened naturally. 

So guys, do you want to challenge me?

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, January 13, 2018

Cerita Emak

Baru sahaja saya pulang dari rumah emak tadi. Hujung minggu, walaupun sekejap saya akan pergi juga ke rumah emak. Ikutkan hati saya memang mahu lama-lama dengan emak, mendengar emak bercerita macam-macam amat menyeronokkan dan sangat memberi inspirasi tetapi suami saya pula selalu mahu cepat pulang. Jadi masa saya di rumah emak saya selalunya singkat sahaja kecuali jika saya berjaya meminta suami pulang dahulu dan datang mengambil saya kemudian.

Tadi, sempatlah lebih kurang dua puluh minit saya bersembang dengan emak. Hanya saya dan emak, berdua. Dan cerita emak sentiasa ada dan seronok didengari.

Emak kata, makanan di rumah emak banyak. Penuh peti ais. Abang Lutfi pulang dua hari lepas, beli macam-macam. Jering rebus pun dia beli. Husna pun sama, selalu belikan emak lauk. Aziah pun selalu bawa makanan ke rumah emak.

Alah emak, saya tak bawa apa-apa!

Tak, tak payah. Rumah emak tiada orang. Tak habis pun makanan itu semua. 

Emak pun mula mengenang kisah lama.

Dulu, emak tak mampu nak beli makanan banyak-banyak. Peti ais emak selalu kosong. Lauk pun berkira, biar cukup dimakan semua. Tambah-tambah lagi, selalu sahaja ada orang yang menumpang rumah emak. Dua tahun pertama perkahwinan sahaja yang emak tidak ditumpang orang. Apabila saya lahir, berganti-ganti orang datang menumpang. Bukan orang lain, adik-beradik dan anak saudara emak dan ayah juga. Tetapi tetap memerlukan makanan. 

Bergenang air mata emak bercerita. Tersentuh hati saya mendengarnya.

Ya, saya pun ingat sewaktu kecil dahulu selalu ada yang datang tinggal dengan emak. Mereka mahu bersekolah di sini, tetapi keluarga mereka tinggal di Selatan Thailand. Pilihan yang ada cumalah rumah emak untuk tumpang berteduh. 

Emak bukan mengungkit, jauh sekali menyesal. Emak cuma terkenang betapa kisah hidup lalunya begitu menekan walaupun tidaklah keterlaluan. Di mata orang, kerja ayah sebagai kerani terlihat mewah kerana punya gaji bulan-bulan pada hal realitinya tidaklah sesenang mana. Cukuplah makan pakai, tetapi untuk bermewah, jauh sekali.

Emak selalu mencari jalan berjimat cermat dan membantu ayah seboleh mungkin. Saya ke sekolah menjual roti canai yang emak buat sewaktu darjah enam (1984). Laku juga dan saya seronok. Saya akan mengambil pesanan dahulu dari kawan-kawan dan maklumkan kepada emak berapa orang mahu roti canai kosong berharga dua puluh sen dan berapa orang pula mahu roti canai telur berharga empat puluh sen. Malamnya emak akan menguli roti mengikut jumlah tempahan, dan seawal pagi emak membakar roti-roti itu dan dibungkus cantik dalam plastik beralas surat khabar. Saya masukkan semua tempahan dalam satu beg plastik besar dan membimbitnya ke sekolah.

Waktu itu, tiada perasaan malu pun menjual begitu kerana rakan-rakan saya yang lain pun turut menjual juga. Liza menjual bihun, Fairoz menjual barang runcit dari kedai ayahnya. Semua pun mendapat sambutan.

Emak pula di rumah menjual minyak masak kepada jiran. Emak beli satu tong besar, dan jiran yang kehabisan minyak masak akan datang membawa botol kosong dan mak mengisi penuh botol itu. Walaupun untung tidak seberapa, sekurang-kurangnya emak berusaha.

Di rumah sewa kami di Mulong itu, emak tiada dapur gas. Selain dapur minyak, emak beli juga dapur arang. Kata emak, boleh berjimat sebab arang murah. Bila rumah kami di Batu 8 dibina, emak masih mahukan ruang dapur kayu dibuat untuk memasak. Sampai begitu sekali emak berhemah.

Emak bagi saya ialah isteri yang sangat bijak. Dia tahu kewangan ayah terhad, lalu dia mencari peluang membantu. Tuhan saja yang mampu membalas setiap pengorbanan emak selama membesarkan kami.

Saya memberitahu emak, kesusahan lampau emak itu sudah berlalu. Allah sudah memberi ruang untuk emak berehat dan berbahagia dengan kesihatan yang baik menjelang usia tua emak. Emak sudah lapang sekarang. Alhamdulillah. 

Emak masih merenung masa lalu, sambil mengiakan kata-kata saya. Benar, semua itu sudah berlalu. Indah aturan Tuhan. Kata emak, ada yang meniti hari tua dalam sedih dan sukar pada hal sewaktu mudanya senang dalam kemewahan. Mungkin itu bahagian mereka atas segala kemungkinan yang Allah jua lebih tahu. Siapalah kita, hanya hamba.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, January 12, 2018

Sambutan

Ulam saya. Ikan belum siap. Ulam suami belum ambil.
Selasa lepas, iaitu pada hari jadi saya, saya sangaja mengunci mulut daripada menyebutnya di hadapan suami saya. Saya mahu dia sendiri menyedari tarikh 9 Januari ini. Malangnya dia lupa. Dan saya tidak apa-apa.

Saya bukan isteri tipikal yang mahu merajuk dek perkara sekecil ini. Ish!

Sepulang dari sekolah, saya sebut juga tentang hari jadi kepadanya. Saja. Ada sesuatu saya nak minta sebenarnya. 

Dia kelihatan terkejut kerana dia lupa. Saya tidak kisah pun. Tetapi saya minta dia bawa saya makan besar malam ini. Saya malas masak. Itu sahaja pun.

Dia meminta saya memilih restoran. Saya mahu Restoran KST. Ok.

Jam 7.30 malam, kami bergerak ke sana. Saya cuma mahu ikan siakap goreng kunyit dan ulam-ulaman sahaja. Dia pun sama.

Wah.. berselera sekali saya malam ini. Ikan siakap seekor itu rasa macam tak cukup!

Harganya cuma empat puluh lima ringgit untuk satu hidangan malam ini.

Alhamdulillah. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, January 09, 2018

Hari Lahir


Genap empat puluh enam tahun usia saya hari ini. Indah sekali apabila terjaga pagi, masih diberi nafas untuk terus dihembus di bumi fana ini. Indah sekali kerana peluang hidup masih Allah beri.

Ya, indah sekali.

Tiada ucapan pun tidak mengapa. Ini cuma hari lahir yang semua orang ada. Istimewanya cuma dirasa dalam hati sendiri. Tidak perlu ditunjuk-tunjuk.

Terima kasih ma, berperang dengan kesakitan melahirkan saya empat puluh enam tahun yang lalu. Ma cuma seorang wanita muda yang baru berusia dua puluh tahun waktu itu, tetapi cekal dan tabah membesarkan kami penuh kasih.

Terima kasih ayah, menjadi pelindung yang baik untuk seorang anak sunti yang serba tidak tahu. Hanya Allah mampu memberi ganjaran.

Alhamdulillah untuk segala kurnia.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, January 02, 2018

0201

2 Januari 2018.

Hari ini Selasa, hari kedua bekerja pada tahun baru 2018 ini. Alhamdulillah, kesihatan saya  semakin baik walaupun batuk masih ada lagi. Sekurang-kurangnya, tidur malam tadi lebih lena daripada malam sebelumnya.

Selamat ulangtahun yang pertama buat Huda Hana, dan kelima buat Amal. Semoga kalian dewasa dalam kasih sayang yang mendamaikan.

Dua puluh tahun lalu, pada tarikh ini saya bernikah. Biar pun dia lelaki yang tidak saya kenali, tetapi atas dasar percaya dan yakin kepada pilihan ibu dan ayah, juga menerima dia sebagai jawapan Allah kepada doa-doa saya bertahun lamanya, saya menerima penuh redha. Sungguh.

Mencecah dua puluh tahun usia pernikahan ini, saya tetap dan terus mengaguminya sebagai lelaki terbaik untuk saya. Mungkin jika lelaki lain, sudah lama menduakan saya atas kekurangan saya ini, tetapi dia masih setia menjaga saya tanpa pernah mahu menoleh kepada pilihan lain yang ada. Biar pun saya tidak sempurna, dia masih ada di sisi memberi segala yang saya mahu. Untuk itu, syukur saya melimpah ruah. Terima kasih, Tuhan!

Saya bahagia, sesungguhnya.

Terima kasih ibu dan ayah. Terima kasih saudara sedarah daging. Terima kasih teman dan sahabat. Terima kasih yang sungguh-sungguh kerana mewarnai dunia saya hingga saya lupa segala kekurangan diri.

Entah berapa lama lagi saya diberi ruang menghuni dunia, saya tidak pernah mahu kisah. Saya mahu mengisi ruang itu dengan damai dan bahagia seadanya, tanpa secalit benci atau dengki. Jika saya berpulang pada-Nya nanti, saya mahu sejahtera di sisi-Nya jua.

Amin.

Sunday, December 31, 2017

Warna Warni 2017

2017 - tahun keempat puluh lima saya menghuni dunia - berakhir hari ini. Esok, menjelmalah 2018 yang masih misteri tetapi penuh dengan pengharapan. Pengharapan yang indah-indah tentunya. Agar warna dunia kembali ceria.

Bermula 2017 dengan kehadiran Huda Hana, si kembar comel anugerah terindah buat Ismah dan Ridhwan. 
Huda Hana pada 3 Januari 2017
Huda Hana pada 21 Disember 2017
Pahit manis 2017 berterusan dan kami menempuhnya dengan kuat dan tabah, dengan hati penuh redha.

Pada 20 Februari 2017, sepupu kami Rosdi b Lodin meninggal dunia secara mengejut di kediamannya di Panji.

Kami juga kehilangan bapa saudara yang amat dikasihi, Dr Jusoh Kadir yang meninggal di rumahnya di Kajang pada 18 Mac 2017. Semoga Allah merahmati roh mereka berdua.

Pada 8 November 2017, saya diwadkan selama tiga malam kerana hempedu bengkak. Alhamdulillah tiada apa-apa yang membimbangkan dan saya kembali pulih selepas diberi antibiotik.

Di wad kecemasan
Suami setia menemani di wad 3 Utara katil 4


















Pada tahun ini juga, saya ke luar negara sebanyak tiga kali. Dua kali ke Thailand dan sekali ke Arab Saudi.






Menaiki bot di Krabi, 30 Januari 2017





Di rumah Ayah Mat di Kampung tualang, 15 April 2017


Menunaikan umrah dari 4 hingga 14 Disember 2017


Sempat bertemu Ustaz Rifqi, Zahidah, Amin dan keluarga di Masjid Nabawi pada pagi 7 Disember 2017


















































Percutian dalam negara juga tidak terkecuali. Bersama teman-teman sekerja juga keluarga.

Di Villa Daniella, bersama rakan guru berkursus dan bersantai-santai, 4-5 Ogos 2017
Di Cameron Highland, 13-14 Oktober 2017

Bercuti bersama suami tersayang di Terengganu, 15 September 2017
Begitu catatan hidup. Semoga dalam redha Allah selalu.


Friday, December 29, 2017

Sakan

Empat hari tiga malam suami saya bercuti ke Bangkok maka tiga hari empat malam jugalah saya berada di rumah emak.

Ya, saya balik kampung. Bukan mudah nak dapat peluang macam ni!

Bermula Isnin 25 Disember, jam 6.45 pagi suami saya menghantar saya ke rumah emak sebelum dia bergerak ke Bangkok pada jam 8.00 pagi dari YKK Padang Kala menaiki bas ke Sungai Golok. Kak Nurul Afiqah, anak saudara kami yang comel itu ditemani adiknya Husna Adilah bermurah hati menghantar suami saya.

Di rumah emak, saya melayan jiwa yang tenteram. Walaupun batuk saya masih amat mengganggu terutama waktu tidur malam, saya tetap ceria dan bahagia di sisi emak dan adik-adik dan anak-anak saudara. Tentu kebahagiaan akan berganda jika adik-adik yang berada di perantauan ada bersama. Apa kan daya, mereka sudah pulang ke tempat masing-masing demi tugas. Semoga Allah memberkati.

Isnin itu, hanya Aziah dan Muiz yang ada bersama. Kami ke G-Orange Mall pada tengah hari untuk KFC dan Pizza Hut. Malamnya, Muiz bermalam di sini.

Selasa barulah keluarga Husna memeriahi. Sekali lagi kami ke G-Orange Mall untuk KFC dan Pizza Hut. Tetapi malamnya, semua pulang ke rumah masing-masing tinggalkan umi ti sahaja menemani tok ma.

Rabu, paginya kami ke Jelawat menziarah dan selepas Zohor saya keluar dengan Elyn dan kawan-kawan untuk melawat kematian ayahanda Yana di Selising. Jam 6.10 petang baru saya tiba di rumah ma semula.

Khamis, palinglah meriah. Aziah dan Husna kedua-duanya ke sekolah dan anak-anak ditinggal di rumah ma. Alah, bukan ganas sangat pun mereka ini. Umi ti masih sempat lena lagi dalam kebisingan mereka.

Sebenarnya hari ini saya sendiri pun diarahkan ke sekolah untuk pendaftaran. Tetapi saya malas. Saya kecualikan diri sendiri dan bersantaian sahaja di rumah ma. 

Jam 10 malam barulah suami saya sampai dan saya pun pulanglah ke rumah kami di Chenok.

Sekian.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, December 21, 2017

Ujian Ini

Demam dan batuk yang teruk begini, sungguh menguji. Mujur juga ia berlaku sepulang dari umrah, sesudah berada di rumah. Tidaklah terganggu ibadah saya di sana. Alhamdulillah. 

Sebelum berangkat ke tanah suci, saya diuji dengan pendarahan yang tidak mahu berhenti. Tidaklah banyak tetapi sentiasa ada dan saya gusar sungguh. Temujanji di klinik O&G saya mohon percepatkan tarikh tetapi mereka tidak melayan juga. Geram berbaur sedih, memberi saya kekuatan untuk bertindak sendiri. 

Asalnya, saya mengambil Visanne tetapi baru-baru ini doktor menukar kepada Provera kerana pendarahan yang tidak mahu berhenti itu. Lama-lama tidak menjadi juga, saya putuskan untuk kembali kepada Visanne walaupun tanpa nasihat doktor. Kebetulan masih ada bekalan Visanne dalam simpanan saya.

Bermula 29 November, saya hentikan Provera dan mulakan Visanne. Alhamdulillah Allah mengizinkan pendarahan saya berkurang walaupun tidak berhenti sepenuhnya. Selama di tanah suci, saya dapat bersolat dan berumrah dengan selesa kerana pendarahan berlaku sekali sekala sahaja. Ya Allah, syukur pada-Mu!

Bermula Rabu 14 Disember, iaitu hari perjalanan pulang ke Malaysia, saya diserang batuk dan sakit tekak. Tiba di Malaysia, saya demam.

Sungguh teruji lagi tetapi saya mahu redha sentiasa. Apalah ujian ini selain untuk menyucikan dosa. Demam mujurlah tidak melarat, cuma batuk yang menjadi-jadi sampai tidak lena tidur malam. Sakitnya batuk hingga ke kepala dan perut. 

Semalam saya bermesyuarat guru di Hotel Reinassance dalam keadaan yang sangat tidak stabil kerana semalaman tidur terganggu dek batuk yang teruk. Pulang sahaja ke rumah, saya tidur sahaja walaupun tidak berapa lena.

Kawan-kawan menegur badan saya kelihatan kurus. Ya, saya kehilangan berat badan sebanyak 4 kg sejak pulang dari tanah suci. Harap-harap akan berkurang lagu sehingga 10 kg!

Semoga selepas ini saya kembali sihat untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, December 17, 2017

Berbeza

Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya dan suami berumrah lagi. Kali ini bersembilan, dan masih memilih Al-Quds sebagai agensi kami.

Panjang dan meletihkan, perjalanan kami kali ini nian berbeza berbanding sebelum ini. Terpaksa bermalam di lapangan terbang pergi dan pulang, memakan banyak tenaga dan masa. Begitu pun, Alhamdulillah tiada sebarang rungutan yang kedengaran dari kalangan 41 orang ahli rombongan kami.

Mutawwif kami kali ini ialah Ustaz Adni, seorang yang sangat lembut dan berhati-hati. Segalanya berlangsung baik dan lancar dengan kerjasama erat setiap ahli jemaah umrah ini.

4 Disember 2017
Kami tiba di lapangan terbang Madinah pada jam sekitar 12.00 tengah hari waktu Arab Saudi. Selesai urusan, kami bersolat Zohor di surau di situ. Kami seterusnya dibawa ke hotel menaiki bas dan selamat tiba pada jam 3.00 petang di Hotel Al-Salihiyya yang cuma 100 meter dari masjid Nabawi.

Sempatlah ahli rombongan menunaikan solat Asar di Masjid Nabawi.

Hotel ini sangat bagus dari segi bilik dan jarak ke masjid, tetapi bersesak-sesak pula di lif dan di restoran. Itu cabaran yang terpaksa kami akur dan sabar. Alhamdulillah kami mampu melaluinya dengan baik.

7 Disember 2017
Kami bergerak ke Mekah pada jam 2.45 petang. Seperti selalu, singgah di Bir Ali untuk berniat dan singgah pula di RnR untuk solat dan makan. Jam menghampiri 10 malam barulah kami tiba di hotel Anjum, tempat penginapan kami kali ini.

Hotel Anjum cukup indah dan selesa, tetapi berjalan kaki ke Masjidilharam dari sini memakan masa 10-12 minit. Urusan umrah pertama kami selesaikan hari ini dengan lancar dan siap pada jam 3.30 pagi. Saya gagahkan diri untuk bersolat Subuh di Masjidilharam pada pagi itu walaupun mata mengantuk dan kaki sakit. Selesai sarapan barulah saya melayan tidur hingga tengah hari.

Sabtu 9 Disember, lawatan ke Taif saya tidak turut serta kerana mahu berehat. 

Ahad 10 Disember kami dibawa ke Tanaim untuk umrah kedua.

Isnin 11 Disember lawatan ke Jabal Rahmah dan manasik haji.

Selasa 12 Disember lawatan ke Hudaibiyah dan saya tidal menyertai.

Rabu 13 Disember kami bersedia untuk pulang.

Semoga ada lagi ruang untuk kami kembali.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, December 15, 2017

Kami Pulang

Perjalanan yang sangat panjang, dan meletihkan. Dihitung-hitung, ia berlangsung hampir 30 jam. Bermula 2.00 petang waktu Mekah dan tamat pada 1.30 pagi esoknya waktu Malaysia.

Mutawif kami meminta kami melakukan tawaf wadak selepas usai makan tengah hari. Dia mahu kami selesaikan enam pusingan dahulu, kemudian berhenti untuk bersolat Asar dan menyambung kembali pusingan terakhir selepas itu. Dan kami tidak lagi dibenarkan naik ke bilik hotel tetapi perlu menunggu di lobi untuk menaiki bas ke Jeddah.

Jam 5.20 petang, bas kami tiba. Bertolaklah kami ke Jeddah dan saya sudah mula tidak selesa. Tekak sakit dan batuk pun mula menyapa.

Jam 6.30, kami berhenti di Masjid Qisas untuk solat Maghrib dan Isyak secara jamak qasar. Lama juga di sini kerana mutawif kami mahu berjemaah Isyak. Kami yang perempuan ini hanya berlegar-legar di sekitar melihat keindahan latar belakang masjid ini. Menurut mutawif kami, di sinilah jasad Hawa dipercayai dikebumikan.

Seterusnya kami dibawa ke restoran untuk makan malam. Mata saya terlalu mengantuk kerana menelan ubat selesema di atas bas tadi. Makan pun tidak sebanyak mana kerana selera merudum.

Kami tiba di lapangan terbang Jeddah sekitar 11.00 malam. Penerbangan kami ialah pada jam 5 pagi. Lapangan terbang ini sangat sesak dan kekurangan tempat duduk. Bayangkan bagaimana sukarnya kami mencari ruang untuk melenakan diri sementara waktu berlepas tiba. Di KLIA mungkin lebih selesa.

Alhamdulillah, walaupun penat dan kurang sihat, kumpulan kami kuat menempuh perjalanan ini.

Sepanjang penerbangan, saya hanya tidur. Tekak saya perit dan berkahak, dan batuk semakin menjadi-jadi.

Jam 6.45 petang waktu Malaysia, kami selamat mendarat di KLIA. Menunggu beg sahaja makan masa berjam-jam dan kami bergerak untuk check in pada jam 9.10 malam.

Jam 10.30, kami terbang pulang ke Kota Bharu dan tiba pada 11.25 malam. Kami bersolat jamak di surau di situ dan pulang menaiki 4 buah kereta yang setia menanti kami.

Tiba di rumah kak Zan, kami dijamu dengan mihun goreng dan sate. Saya memang lapar kerana tidak lalu makan di atas kapal terbang tadi. Mihun sedap, tetapi saya tidak mampu makan banyak kerana selera kurang.

Jam 2.00 pagi barulah saya tiba di teratak Chenok dan merebahkan badan untuk tidur. Jam digera pada 5.45 pagi, dan kali ini saya perlu berhati-hati agar tidak terbabas. 

Alhamdulillah, demi mendengar deringan jam saya terus mengejut suami untuk ke masjid. Saya sendiri bergegas bangun walaupun beratnya mata mahu celik.

Usai Subuh, saya menyambung kembali tidur sehingga 11.00 pagi.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, December 03, 2017

Airport

Nampaknya, termangu kami di sini malam ini. Di KLIA menantikan penerbangan KUL-MED jam lapan pagi esok. Mahu tidur, tetapi mencari keselesaan agak sukar di sini. 

Jam 1.25 tengah hari tadi, perjalanan saya dan suami bermula. Kami turun dari rumah kami di Chenok menuju ke kampung kami di Batu 8. Di sana, tujuh orang lagi ahli rombongan umrah kami menunggu. Jam 2.15 petang, kami bergerak ke airport KB. Memang awal, tetapi begitu yang suami saya mahu. Penerbangan kami jam 6.35 petang dan kami tiba jam 3.00 petang.

Ikutkan saya, saya mahu tiba sekitar 4 petang, tetapi suami saya risau kalau-kalau sesak jalan raya menyebabkan kami tiba lebih lewat. Pada hal, mutawwif kami dan petugas Al-Quds hanya tiba pada jam 5 petang.

Penerbangan kami baik-baik sahaja. Jam 7.50 sudah tiba di KLIA2. Menaiki transit, kami menuju ke KLIA untuk menanti di sana pula.

Jam 9.00 malam baru kami tiba di Anjung Tinjau aras 5 KLIA. Surau ada berdekatan, luas dan selesa tetapi ditutup pada jam 10.00. Terpaksalah kami melepak di kerusi-kerusi di sekitar situ untuk mencari lena.

Cabaran kali ini kelihatan berbeza daripada tiga kali yang pernah saya lalui sebelum ini. Haji 2010, saya menanti di airport Kuala Terengganu dari jam 11.30 pagi hingga 4.00 petang untuk pendaftaran. Penerbangan KT-MED yang kami naiki berlepas pada jam 9.45 malam.

Umrah Jun 2013 bersama emak, lebih pantas. Kami turun sebelum Subuh ke airport KB untuk penerbangan 6.35 pagi ke KL. Dan sebentar sahaja di KL, kami terbang ke Madinah pada jam 10.00 pagi.

Disember 2014, kami bertolak jam 12 tengah hari dari KB ke KL dan terbang ke Jeddah pada jam 6.00 petang.

Semuanya memberi rasa yang berlainan, dan jujurnya saya menyukai rasa yang begini. Walaupun di sini malam ini tiada keselesaan, tetap saya mampu mencari ketenangan.

Alhamdulillah. 





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Kembara

Lagi
Kembara ini berulang

Dan lagi 
Akan terus berulang

Sampai matiku datang
Aku ingin mengulang-ulang

Mencari yang hilang
Memburu yang enggan pulang

Kembara ini
Biar berulang-ulang
Aku tidak pernah mahu membilang

Nanti bila pulang
Akan aku ulang setiap kenangan
Dalam kembara panjang
Di medan juang
Sebuah perjalanan kehidupan



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, December 01, 2017

Tiba Disember

Tiba Disember
Masih di sisi sebuah perjalanan
Belum mahu berhenti

Tiba Disember
Masih menghitung sejuta perasaan
Belum mahu mengerti

Sungguh perjalanan ini
Anugerah yang tidak tersia

Juga perasaan ini
Peneman nurani yang setia

Nanti
Akan berakhir jua
Menuju-Nya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.