Thursday, November 27, 2014

Bacalah


Selasa baru-baru ini saya ke HUSM untuk temujanji dengan doktor pakar. Seperti biasa kami akan keluar awal, sekitar 12.30 tengah hari walaupun temujanji itu akan berlangsung pada jam 2.00 petang.

Kami tidak terus ke HUSM tetapi singgah makan tengah hari dahulu di gerai berdekatan. Selepas itu suami saya akan tinggalkan saya di HUSM dan dia pulang menunggu di rumah. Bukan apa, menunggu di HUSM sangat lama dan tentu membuang masa. Lagi pun, saya selesa sendirian. Saya resah kalau ada yang menunggu saya dalam tempoh lama.

Si HUSM, solat zohor boleh sahaja di surau yang sangat dekat dengan klinik pakar sakit puan saya itu. Kemudian menantilah saya untuk dirawat.

Kebetulan saya tiba awal maka saya yang pertama dipanggil. Rawatan masih yang sama. Saya diimbas dan disuntik. Selesai.

Jam baru ke angka 3. Selalunya sekitar jam empat baru selesai. Saya mengambil peluang ini untuk meninjau-ninjau gerai di sekitar situ.

Dan hasilnya, saya berbelanja sebanyak RM130 untuk lima buah buku baru, seperti gambar di atas.

Saya bakal mencari masa untuk membaca buku-buku tersebut. 

Sent from Samsung Mobile

Selamat Bersara

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku.

Berdiri melihat denai-denai kenangan,
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan,
Barangkali terdengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam anak-anak remaja,
Tegur sapa, senyum tawa, rakan sekerja.

Tiba waktunya untuk menyusun jemari,
Membuang segala kerikil bersalut di hati,
Yang terkhilaf dimaafi,
Yang sesal diinsafi,
Yang lebih dibahagi,
Yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang yang bercanggah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka titik berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu rindu,
Selamanya pun bergelar guru

Selamat tinggal suara-suara ceria,
Padang perhimpunan dan dewan perkasa
Bilik darjah dan anak-anak keletah
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas
Bilik guru dan timbunan buku
Ruang kantin tempat mesra terjalin

Selamat tinggal seribu kerenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah
Bercampur gembira bersisip gundah
Bergema didikan beralas madah
Selamat tinggal sebuat tempat bernama sekolah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu
Di sini kami pasti merindu
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu.

Selamat tinggal dalam doa berkat
Senyumlah seindah suria
Setelah mencurahkan segala-galanya
Pasti beroleh keredaanNya

Bak air yang mengalir
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir! 

(Ghazali Lateh)

Selamat bersara buat dua orang guru yang sangat memberi makna kepada SMK Kampong Chengal.

Tuan Pengetua - Tuan Haji Sudin bin Harun yang bersara wajib, genap 60 tahun pada 2 Januari 2015 nanti. Pun kerana tarikh itu tidak memungkinkan sebuah sambutan disebabkan sesi persekolahan 2015 belum bermula maka kami sepakat meraikan beliau pada hari terakhir persekolahan baru-baru ini. Ia meriah sekali. Bermula dengan perarakan guru mengiringi Tuan Pengetua yang segak berbaju melayu songket lengkap bertanjak dan berkeris, dipersembahkan pula acara silat dan seterusnya Tuan Pengetua dibawa bersemayam di singgahsana.

Acara seterusnya tentulah ucapan-ucapan, bacaan biodata, tayangan slaid, penyampaian hadiah dan akhir sekali kami berarak lagi dengan sepuluh buah kereta antik menuju ke rumah beliau dan dihidangkan makan tengah hari di sana.

Semuanya berjalan seperti dirancang, Alhamdulillah.

Empat hari sebelum itu, kami telah pun meraikan persaraan Tuan Haji Mohd Salleh bin Yaacob, seorang guru Fizik yang kami kasihi. Biar cuma sebentar di sini, namun kehadirannya pada tahun 2012 memberi sesuatu yang bersinar indah. Sejak beliau menjadi tenaga pengajar Fizik, pencapaian Fizik SPM sekolah kami meningkat dengan ketara sekali. Begitulah penangan insan berpengalaman ini dalam mendidik anak-anak Kampong Chengal. Terima kasih daripada kami, seikhlas hati.

Selamat bersara buat kedua-dua insan berjasa ini. Semoga hari-hari mendatang memberi kerehatan yang tiada tandingnya.

Segak sekali Tuan Haji Sudin bin Harun




Tuan Haji Salleh tenang memberi ucapan

Wednesday, November 26, 2014

Penilaian Darjah Lima

1983.

Penilaian darjah 5.

Waktu itu, ia tidak segah sekarang. Bukan semua ibu bapa cakna dengan peperiksaan ini. Jika di bandar, mungkin wujud juga kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke tuisyen tetapi di kampung-kampung kecil seperti kampung saya, kelas tuisyen bagai ada dalam tiada.

Arwah ayah menghantar saya ke kelas tuisyen cikgu Zakaria, dengan bayaran cuma RM20 sebulan untuk enam subjek. Waktu itu kami belajar enam subjek untuk lima kertas kerana Sejarah dan Geografi digabungkan.

Saya masih ingat kelas tuisyen itu berlangsung dia sebuah rumah kayu sahaja. Pelajar pun tidak ramai. Kami sebenarnya lebih kepada bermain, bukannya belajar sangat. Tetapi ia seronok. Cikgu-cikgu yang mengajar pun cuma dua tiga orang dan mereka merupakan jiran-jiran kami juga.

Apabila peperiksaan berlangsung, kami jujur menjawab. Cikgu tidak mengajar kami meniru atau memberi tiru. Apa pun keputusan kami, sememangnya itulah keupayaan kami. Ia benar-benar tulen.

Hari keputusan diumumkan, ada sedikit debar dalam dada. Saya ke sekolah berjalan kaki berdua dengan kawan saya yang juga jiran saya. Ayah dan emak tidak ikut serta. Masih saya ingat lagi pakaian saya waktu itu. Baju kurung dan kain sarung tanpa tudung.

Saya menuju ke pejabat dan Cikgu Wan Yusoff mengusik saya. "Noorhayati, kenapa result awak macam ni?"

Entah kenapa, saya cuma tersenyum. Saya harap dia bergurau. Dan benarlah. Alhamdulillah saya mendapat 5A. Saya tidak lama di sekolah kerana tidak sabar-sabar untuk pulang memberitahu emak.

Di sekolah saya, lima orang berjaya mendapat 5A dan semuanya mendapat tawaran asrama penuh atau MRSM. Cuma, ada yang menerima dan ada yang menolak.

Yang mendapat 4A dan 3A pun ada yang layak ke asrama penuh.

Kini, ia tinggal kenangan. Saya tidak nampak keseronokan saya belajar pada 1983 itu dalam diri pelajar-pelajar UPSR sekarang. Persaingan yang semakin tinggi sebenarnya bukanlah memberi kesan yang positif. Ramai benar yang kecewa dan menangis beria-ia apabila tidak mendapat 5A kerana tidak setimpal dengan usaha yang dilakukan. Kasihan mereka. Ibu bapa, berilah semangat, bukan tekanan kepada anak-anak anda. Ini baru UPSR. Perjalanan mereka masih sangat jauh.

Tahniah kepada semua yang berjaya. Ingatlah, ini baru pembukaan. Pastikan langkah anda selepas ini tidak melencong.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, November 23, 2014

Empat Puluh Lima Hari

Bermula Jumaat 21hb November 2014 dan berakhir pada Ahad 4hb Januari 2015. Empat puluh lima hari. 

Kami para guru yang berkhidmat di seluruh negara diizin bercuti selama empat puluh lima hari termasuk hari minggu. Jika ditolak hari kelepasan am dan hujung minggu, jumlah cuti kami yang sebenarnya hanyalah dua puluh sembilan hari. Dan apabila ditolak dengan jumlah hari yang kami perlu ke sekolah dalam cuti itu, ia berkurang kepada cuma lebih kurang dua puluh hari. Tidak panjang pun, tetapi syukurlah.

Waktu inilah peluang buat kami para guru untuk bercuti sesungguhnya. Biarpun tidak akan mungkin ia berlaku begitu. Esok, Isnin saya perlu ke sekolah juga. Rabu nanti pun. Kemudian mesyuarat setiap unit bersusun-susun dalam cuti. Belum lagi dikira hari pendaftaran pelajar. Begitulah cuti kami yang tidak serupa cuti ini, tetapi syukurlah.

Selamat bercuti semua. Bersyukurlah kerana dalam tekanan kerja yang tidak pernah mahu luak ini, kita masih mampu mengisi masa cuti kita dengan apa yang kita suka. Ikhlaskanlah segalanya. Moga Allah redha.

Tuesday, November 18, 2014

Di Rumah Ma

Apabila suami saya memberitahu dia diarahkan berkursus di Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands dari 15hb November (Sabtu) hingga 17hb November (Isnin), saya tahu saya bakal berada di rumah ma selama tempoh itu.

Saya tidak mahu bersendirian di rumah saya. Bukan takut atau bosan, tetapi saya tidak akan mampu bergerak ke mana-mana kerana kegagalan saya memberanikan diri memandu kereta. Akhir-akhir ini, saya jadi jemu dan malas memikirkan kekurangan saya yang satu ini. Sejujurnya, saya menyerah. Bukan menyerah kalah, tetapi menyerah segalanya kepada takdir. Jika tiba waktu yang dikira terdesak, saya berharap saya mampu membina kekuatan itu.

Di rumah ma, saya tentu sekali akan menyusahkan pemandu wanita kesayangan saya, adinda Ismah untuk menghantar saya ke sekolah. Jika suami saya mendapat arahan itu lebih awal, rasanya saya akan mengisi borang cuti dan berehat sahaja selama dua hari ketiadaan suami itu. Apakan daya, surat arahan hanya tiba pada Khamis, dan saya hanya diberitahu sebaik pulang dari sekolah.

Sememangnya, berada di rumah ma adalah peluang untuk saya mencari kerehatan. Kebetulan, minggu terakhir persekolahan ini menghadirkan situasi yang berbeza untuk saya lalui. Majlis persaraan, kelas tambahan SPM, menanda kertas, menyediakan slideshow, menyiapkan buku rekod dan buku kedatangan, adalah perkara-perkara yang perlu saya lalui pada minggu ini.

Dua hari di rumah ma, saya lapang sekali. Ada anak-anak saudara yang memberi keriuhan, juga makanan-makanan kegemaran yang lama tidak ditemui. Ma memasak putu halba dan kuih poli, yang sesungguhnya sangat saya gemari.

Alhamdulillah, dua hari sudah mencukupi. Terima kasih ma dan Ismah atas bantuan dan kesediaan memberi apa yang saya perlu.


Friday, November 14, 2014

Nasi Goreng

Pagi ini hujan mencurah-curah lagi. Kedinginan mencengkam hingga ke tulang hitam, sejuk menikam-nikam dan selimut saya yang nipis itu tidak mampu menghalang tubuh saya daripada digigit kesejukan itu.

Suami saya bangun sebaik azan berkumandang. Dia bersiap untuk berjemaah Subuh di surau. Saya pula, rasa mahu menyambung lena tetapi apakan daya, waktu untuk berbakti kepada-Nya sudah tiba. 

Sebaik suami saya turun ke surau, saya menyuci diri dan bersedia mengadap Ilahi. Sempat saya mengaji beberapa muka surat Al Quran sebelum suami saya pulang.

Rupanya dia dijemput ke majlis cukur jambul pagi ini. Mulanya dia mahu keluar membeli sarapan dahulu buat saya dan mek sebelum dia ke majlis itu, tetapi hujan renyai-renyai yang belum mahu berhenti itu membataskannya.

Saya tidak kisah. Memasak untuk diri sendiri sebenarnya sangat mudah. Saya menyediakan nasi goreng daging pagi ini.

Saya jerang nasi dengan air yang kurang dari biasa supaya nasi itu tidak lembik. Nasi lembik apabila digoreng rasanya kurang sedap.

Sementara menunggu nasi masak, saya mencuci pinggan mangkuk yang memenuhi sinki itu sambil menanti daging yang saya rendam itu lembut.

Saya kupas bawang merah dan bawang putih, dan menumbuknya bersama-sama serbuk cili Baba's. Daging pula dipotong kecil, dan sedikit sayur sawi sebagai pelengkap hidangan.

Saya panaskan minyak dan menumis bahan tumbuk tadi. Wanginya! Apabila garing sedikit saya masukkan daging, dan kacau hingga empuk. Tak lama pun sebab daging itu dipotong kecil-kecil.

Nasi pun sudah masak. Saya masukkan sayur sawi dahulu, sedikit garam dan sos ikan. Seterusnya saya sendukkan nasi yang masih panas itu ke dalam kuali. 

Sekejap sahaja, tidak sampai sejam, nasi goreng daging saya siap untuk dinikmati bersama teh o panas.

Biar sendirian, lazatnya tiada berbeza.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 13, 2014

Sunyi

Yang ingin saya ceritakan, tentang sebuah kesunyian. 

Hujan sudah mula mencurah menandakan tengkujuh kian menghampiri. Sejuk dan nyaman adalah suasana yang saya nanti-nantikan. Sentiasa saya menggemari suasana sebegini kerana ada ketenangan di sisinya.

Sendirian lagi saya malam ini. Selalunya begitulah. Apabila malam Jumaat terisi dengan majlis tahlil, suami saya akan bersama-sama menyertainya. Hakikatnya, saya tidak apa-apa ditinggal sendiri malah terasa lebih relaks. Tenang. Bebas. Walaupun sunyi.

Kesunyian bagi kebanyakan orang adalah satu penyeksaan tetapi tidak pada saya. Saya tenang menyendiri dan harapnya akan sentiasa tenang begini.

Biar sunyi, saya tidak sepi.


Sent from Samsung Mobile

Monday, November 10, 2014

Emosional

"Saya hairan mengapa orang kita suka pergi umrah berkali-kali. Yang wajib cuma sekali saja."

Setiap kali lelaki ini bersuara, saya sentiasa tidak sudi menyampuk. Saya biarkan dia berkata-kata. Memandang wajahnya pun saya enggan.

"Di luar sana, berapa ramai orang miskin yang nak beli baju anak pun tak mampu. Bersedekah kepada mereka itu pahalanya lebih besar. Orang kita silap, tak tahu cara nak dapat pahala yang banyak. "

Sambungnya lagi, tetapi saya masih diam. 

Sahabat di sebelah saya menjawab acuh tak acuh  "sedekah kita sedekah juga.." Ringkas.

"Ya lah." Katanya, dan berlalu.

Begitu manusia. Mudah benar menjatuh hukum. Pada hal perkara sebegini pada saya tidak perlu digegerkan. Islam itu kan luas, mengapa nampak yang sempit sahaja?

Jika dia mahu panjangkan lagi syarahannya tadi, tentu saya akan angkat punggung dan berlalu pergi. Saya tidak teruja pun untuk mendengar, apatah lagu berbahas dengannya. Sejak dulu, saya cukup pantang dengan manusia yang gemar menilai orang lain tetapi diri sendiri hancur. Saya sedikit emosional, maafkanlah.

Saya tidak pernah mahu menilai dia. Walaupun saya nampak cara dia bekerja bagaimana, tetap saya tidak mahu menilai. Itu kerja Tuhan, bukan kerja saya memberi dosa atau pahala. Dan dia pula lebih alim tentang ini kerana status yang dipegangnya bukan calang-calang.

Cuma, apabila dia berkata begitu saya jadi semakin enggan mendekatinya. 

Saya emosional, ya.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, October 26, 2014

Mr Istikharah


Lamanya saya tak tengok cerekarama atau mana-mana cerita Melayu. Selalunya kerana saya tak punya kesempatan atau asyik-asyik cerita yang klise. Bosan juga.

Malam tadi tanpa sengaja tertonton TV3. Masa tu dah 9.15 dan cerita dah start hampir 15 minit. Nampak kelibat Amyra Rosli bertudung, nampak cantik. Pelakon lelakinya saya tak cam tapi nampak menarik orangnya. Saya teruskan menonton.

Kisahnya tentang Aisyah yang minat gila dengan Ustaz Kamal Shah yang popular dan selalu keluar kat TV. Aisyah memang jatuh hati dengan ustaz ni sampai dia tolak semua pinangan semata-mata nak tunggu ustaz. Dalam Istikharah nya pun dia nampak ustaz!

Rupa-rupanya teman sepejabat dan serumah Aisyah, Mastura pun menyimpan perasaan yang sama. Memang kelakarlah sebab masing-masing begitu bersungguh nakkan ustaz tu pada hal ustaz tu tak tau apa-apa pun.

Kat pejabat, boss mereka Hj. Aliff ni berkenan dengan Aisyah. Dia sudah pun meminta emaknya meminang Aisyah tapi Aisyah menolak tanpa mengetahui yang meminangnya itu ialah bossnya.

Punyalah best cerita ni, ada part saya tergelak, ada part saya tersentuh. Penyudahnya, kedua-dua Aisyah dan Mastura tak dapat ustaz tu. Mastura bertunang dengan abang ustaz, dan Aisyah bertunang dengan bossnya.

Pengajarannya ada, dan lakonan semua pelakon sangat bagus. Mulanya saya cuma kenal Amyra Rosli je sebagai Aisyah. Yang jadi Mastura tu saya tak tau pun siapa. Jarang tengok dia berlakon, tapi best lakonannya. Rupanya dialah Cristina Suzanne Stockstill.

Yang jadi ustaz ialah Ammar Asyraf.  Abang ustaz pula Ashraff Muslim. Boss yang macho tu Fikhree Bakar.

Produksi drama ni milik Ashraff Muslim. Patutlah semua pelakon menutup aurat. Drama patuh syariah rupanya. 

Saya suka drama ini. Lain daripada lain. Siapa yang tak sempat menonton boleh ke www.tonton.com.my


Sent from Samsung Mobile

Thursday, October 23, 2014

Melenting

Membaca komen-komen daripada manusia rakyat Malaysia berbangsa Melayu tentang isu semasa di ruang maya, sangat membakar hati saya. Bukan sahaja bahasa mereka yang tidak mencerminkan hati budi seorang Muslim, juga cara mereka yang seolah-olah akulah penentu dosa pahalamu wahai manusia, tetapi juga sifat enggan mengakui kesilapan dan sentiasa berasa mereka itu benar dan tidak akan pernah tidak benar melainkan benar belaka!

Pada masa yang sama, mereka mengakui mereka mencintai Islam!

Saya geram, menyampah, dan malu.

Inilah suara-suara manusia yang akan lebih memburukkan keadaan. Tiada hemah, hanya menampakkan kebodohan tetapi berkata-kata atas nama Islam.

Cukuplah. Saya bagai mahu sekali menyeru, pergilah belajar. Kalau malas sangat pun, cuba-cubalah menggunakan Mr. Google dan Uncle Youtube.

Saya bukan cendekiawan, kerana itu saya cukup tidak suka mereka yang berlagak sedemikian.

Thursday, October 16, 2014

Kesyukuran Ini

Biar getir sekali saya melaluinya, saya tahu ada lagi yang berdepan ujian lebih getir daripada saya. Biar pedih kesakitan yang melanda, saya tahu itu baru sekuman cuma. Selagi hidup, selagi itulah saya wajib bersedia menerima segala kemungkinan. Bila mati nanti, barulah semuanya selesai dan bakal saya berdepan dengan perhitungan pula.

Tuhan, saya mahu menjadi hamba-Mu yang tahu bersyukur, saat menerima nikmat-Mu ataupun mendepani ujian-Mu. Bukan sekadar sabar, tetapi syukur dan redha.

Alhamdulillah, sejak beberapa hari yang lalu saya mendapat kembali apa yang saya hilang sejak dua bulan. Saya menikmati semula kenyamanan rasa kurniaan Allah dan mampu tidur dengan lena setiap malam. Sirna sudah kesakitan dan ketidakselesaan yang saya rasai sebelum ini.

Alhamdulillah.

Pun, saya tahu segalanya masih belum pulih sepenuhnya. Akan ada nanti waktunya saya akan berdepan semula kegetiran ini. Saya bersedia kerana itu juga menjadi penawar buat saya. Penawar segala dosa yang ada.

Untuk hari ini, saya hadapi dengan bahagia. Hari esok yang akan tiba, biarlah menjadi rahsia.

Saturday, October 11, 2014

Kisah

Dahulu, dia pernah merintih sedih. Katanya, usianya sudah semakin menua tetapi masih bersendirian. Apakah masa depannya akan terus begitu?

Saya berkata, jangan diratapi nasib diri. Apa yang Allah beri pada kita adalah yang terbaik. Berfikir biarlah positif. Lihat segala yang indah kurniaan-Nya, dan ketepikan yang sedih-sedih. Kadang-kadang, kita nampak yang buruk sahaja pada diri kita dan yang indah semua pada orang lain sedangkan, kesedihan orang mungkin lebih daripada apa yang kita rasa.

November 2013, dia bertemu jodohnya. Dalam usia 41 tahun akhirnya dia dimiliki jua oleh seorang jejaka berusia yang berstatus duda. Saya menghadiri kendurinya dan bahagia terserlah di wajah putih bersihnya.

Beberapa hari lepas dia memaklumkan yang dia sudah selamat bersalin dan dianugerah cahaya mata perempuan yang comel. Walaupun laluan semasa mengandung amat berliku kerana pelbagai komplikasi penyakit dan terpaksa bersalin awal melalui proses pembedahan, dia tabah sekali.

Kini, dia bahagia bersama permata hatinya, dan itulah anugerah paling bernilai sepanjang hidupnya.

Tahniah, sahabat. Siapa pun tidak menyangka akan ada sinar buatmu pada waktu-waktu sebegini getir. Aku yakin ketabahanmu dan keyakinanmu pada Allah memberimu kekuatan yang berganda. Aku tidak sempat mengunjungimu tetapi dari jauh, aku sentiasa mengirim doa agar bahagia milikmu ini berkekalan hingga ke jannah.

Amin.

Wednesday, October 08, 2014

Aidil Adha

5 Oktober 2014 / 10 Zulhijjah 1435H / Ahad

Seawal 5.30 pagi saya bangun untuk menyediakan sarapan pagi. Nasi lemak sambal sotong, sambal bilis, telur rebus dan ulam timun. Lama benar rasanya saya tidak memasak sarapan begini. Selasa minggu lepas saya berjanji pada suami untuk memasak nasi lemak sebagai sarapan tetapi tiba-tiba pagi itu perut saya tidak selesa. Jadi hari ini, ada kesempatan begini, saya luangkan masa untuk memasak.

Sakit seperti saya ini nampaknya tidak, tetapi berdiri lama di dapur menyediakan bahan-bahan sangat meletihkan. Sesekali saya merebahkan diri di atas sofa untuk memulihkan tenaga. Sungguh, apabila bacaan hemoglobin darah menjadi rendah, oksigen tidak mampu deibekal sempurna ke jantung. Kerja sedikit sahaja, mengahnya berganda.

Tetapi semangat saya pagi ini berbeza. Alhamdulillah, nasi lemak saya siap juga walaupun tidak sesempurna mana. Saya bekalkan sedikit untuk dibawa ke rumah ma dan mek.

Solat Aidil Adha berlangsung 8.30 pagi. Saya tidak ke masjid, hanya berdua dengan Afnan di rumah ma. 

Jam 11.45 pagi, daging korban ma siap dibawa ke rumah. Kami bersama-sama menyiapkan makan tengah hari berupa daging goreng dan daging rebus air asam. Jam 1.30 tengah hari sudah selesai semuanya.

Saya pulang bersolat Zohor di rumah dan mencuri sedikit ruang untuk lena.

Jam 5.30 petang, sepupu suami saya, Mazlan dan isterinya kak Anita datang berkunjung. Dia membawa sedikit daging korban buat kami. Terima kasih.

Menjelang malam, saya cuma menyediakan nasi putih berlaukkan ikan goreng dan telur cecah kicap. Sedap juga.

Seterusnya, saya melayari mimpi di peraduan saya.

Saturday, October 04, 2014

Muzdalifah dan Mina

Dari Arafah ke Muzdalifah tidaklah sejauh mana, tetapi entah mengapa saya kepeningan di atas bas. Seperti mabuk kenderaan waktu kecil-kecil dulu.

Sebaik tiba di kawasan kami, saya mencari ruang untuk membentang tikar. Beg pakaian saya jadikan bantal. Berbaringlah saya buat menghilangkan rasa yang tidak selesa itu. Jemaah lain sibuk mencari anak-anak batu sebagai bekal ke Mina nanti tetapi saya tidak upaya. Mujur ada suami di sisi, yang sudi mencari anak-anak batu itu buat saya.

Mata saya tidak juga mahu lena. Beratapkan langit, saya melihat bintang-bintang dan bulan. Berdoa dan berzikir tetap diteruskan walau sekadar dalam hati cuma. Kak Zaiha juga tidak berapa sihat, sakit kepala katanya. Dia mengambil panadol dan kelihatan terlena di sebelah saya. Kak Zan dan abang Man berada sedikit ke hadapan dari tempat kami. Suami saya pun cuma berbaring, tidak mampu lena juga dalam suasana sebegini. Mujur tidak sesejuk mana. Saya terasa ingin ke bilik air tetapi jauh sungguh tempatnya. Saya bertahan sahaja.

Jam 1.45 pagi, bas kami tiba untuk ke Mina pula.

Sekitar 3.45 pagi, kami tiba di khemah Mina. Saya bergegas ke bilik air, dan mujur masih lengang. Sebentar kemudian kami dibawa ke Jamrah untuk melontar. Jauh sungguh perjalanan. Hampir 7 km pergi dan balik. Sekitar 6.00 pagi baru kami tiba di khemah semula. Usai solat Subuh, terus saya tidur. Malam tadi memang tidak mampu lena sepicing pun, jadi inilah waktunya untuk saya mencari kerehatan itu. 



Tiada apa-apa aktiviti lain di Mina selain melontar. Untuk hari ini saya sudah pun selesai, dan sudah pun betahallul awal. Sementara menanti esok, saya hanya berehat. Badan saya sudah mula berasa lemah. Hidung tersumbat dan batuk makin menjadi-jadi. Khemah di sinni lebih padat dari di Arafah. Kami berkongsi 14 orang satu khemah. Tetapi begitulah, kesabaran dalam menempuh setiap ketetapan itulah yang utama.

Makanan tidak menjadi masalah di sini. Selain sarapan, lunch dan dinner, banyak sekali makanan lain yang dihantar. Berbungkus-bungkus mi segera, buah-buahan, biskut, roti, air kotak dan air mineral diterima tanpa putus-putus. Air panas pula disediakan di luar khemah. Pendek kata, tidak langsung sempat berasa lapar. Cuma masalah bilik air yang agak kritikal. Tempoh masa beratur tidak akan kurang dari sejam jika menjelang waktu solat. Pandai-pandailah mengurus masa jika tidak mahu terluput waktu, terutama Subuh.

Friday, October 03, 2014

Hari Wukuf

Subuh pagi Isnin, 15hb November 2010. Saya terjaga sekitar jam 4 pagi dengan rasa yang tidak selesa. Selalunya, rasa begini adalah petunjuk badan saya kekurangan air. Selesai solat, saya minum air mineral hampir dua botol dan menyambung tidur kembali.

Jam menghampiri 8 pagi, saya terjaga kerana pundi kencing saya sudah penuh! Alhamdulillah, rasa yang tidak selesa pagi tadi sudah hilang. Selesai ke tandas, saya menikmati sarapan pagi pula dan kali ini nasi goreng dan telur rebus yang boleh tahan rasanya.

Sementara menanti masuknya waktu wukuf, saya mengaji, berzikir dan tidur juga. Sungguh aman sekali perasaan di sini. Tiada apa yang perlu difikir selain memenuhi masa dengan aktiviti untuk diri sendiri. Tidak perlu memikirkan kerja, tidak perlu memikirkan rumah tangga, keluarga, apa sahaja malah keadaan suami sendiri di khemah sebelah pun tidak saya ambil tahu! Semuanya saya serah pada Allah, dan hari ini saya mahu menjadi diri saya sahaja.

Menjelang zohor, maka menjelanglah wukuf. Kami berjemaah zohor dan asar secara jamak tamam, mendengar khutbah Arafah dan berdoa dengan penuh kekhusyukan. Inilah waktu yang dinanti-nantikan, dan saya cuba memanfaatkan ia sepenuhnya. Tuhan! Terimalah!

Sehingga petang, pelbagai cara para jemaah lakukan dalam memanfaat waktu ini. Ada yang bersama-sama suami berdoa di luar khemah, ada yang cuma setia berada di dalam khemah (seperti saya) dan tak kurang juga yang cuma berbual-bual dan tidur. Masing-masing sudah diberitahu kelebihan hari ini, maka terpulanglah cara yang bagaimana mereka mahu lakukan.


Ya, saya cuma berada di dalam khemah. Saya membaca buku doa yang diberi, membaca doa yang saya tulis sendiri, juga memohon segala apa yang saya terlintas di fikiran dengan penuh perasaan. Saya juga mengaji dan berzikir tanpa menghiraukan sesiapa lagi. Entah bila pula saya akan berpeluang berada di sini, hanya Allah tahu.

Sejurus sebelum maghrib, barulah saya mengambil peluang keluar dari khemah sebentar untuk mengambil angin. Seperti biasa, saya ditemani Kak Zaiha.

Malam tiba, tamatlah waktu wukuf kami. Usai solat maghrib dan Isyak, kami makan malam dan bersedia menaiki bas untuk ke Muzdalifah pula.

Kenangan Arafah

Kami dijadualkan bergerak ke Arafah pada jam 11 pagi Ahad, 14 November 2010.

Seperti biasa, jam 3.30 pagi itu saya dan Kak Zaiha menuju ke Masjidilharam  untuk menunaikan fardu Subuh. Sebenarnya, petugas Tabung Haji berpesan, jika boleh berehat sahaja untuk hari ini dan tidak perlu ke masjid kerana jemaah perlu menyimpan tenaga untuk urusan Masha'er yang akan berlangsung selama enam hari berturut-turut. Pun, saya yang baru suci dari haid terasa sangat rindu untuk berjemaah dan memandang baitullah. Kak Zaiha juga kelihatannya bersemangat. 

Di masjid, memang jemaah kurang daripada biasa. Ada yang sudah sampai di Arafah agaknya. Lengang begini memberi ruang untuk kami berlama-lama di masjid. Hampir jam 7 pagi baru kami pulang ke hotel.

Segala persiapan telah pun selesai. Dengan hati tenang dan penuh pengharapan, kami berihram dan bersedia untuk bergerak ke Arafah. Jam 11 pagi kami berkumpul di lobi menuggu bas yang hanya tiba pada jam 12.15 tengah hari.

Alhamdulillah perjalanan kami sungguh lancar. Saya selesa sekali di atas bas kerana ada tempat duduk walaupun ramai juga yang berdiri, kebanyakannya jemaah lelaki. Sempat pun saya lena sebentar sebelum tiba di khemah maktab 78 sekitar jam 1.45 tengah hari.

Kami antara yang terawal tiba.

Pertama kali memasuki khemah, terasa bahang yang amat menyengat. Panas. Saya mencari-cari nama saya yang ditampal di dinding khemah, dan kelihatannya tempat saya agak strategik. Saya mendapat khemah di bahagian tepi dan hampir dengan pintu. Kami bersepuluh ditempatkan di situ. Tandas cuma berhadapan dengan khemah kami, sangat dekat.

Segera saya meninjau-ninjau tandas, tetapi air masih belum ada. Kembali ke khemah, saya berehat. Bekalan air mineral yang ada di dalam tong di luar khemah hampir habis. Sempat saya mengabil sebotol dua untuk menjadi santapan tengah hari. Hanya epal dan biskut saya jamah tengah hari ini.

Menjelang petang, air di tandas sudah tersedia. Jemaah juga sudah semakin ramai tiba. Walaupun di dalam khemah agak panas, tetapi angin di luar sungguh nyaman. Saya seronok sekali berada di luar khemah menikmati sejuknya angin yang berhembus.

Tiba malam, usai solat maghrib dan isyak secara jamak tamam, saya menanti ketibaan nasi. Perut saya lapar sungguh. Tapi entah mengapa nasi ke khemah kami lambat sekali. Saya keluar bertemu suami di luar khemah, katanya dia sudah selesai makan. Oh!

Jam 8.45 baru saya menerima sebungkus nasi berlauk daging. Walaupun lapar, saya gagal menghabiskannya.

Saya bersedia untuk tidur tetapi sedikit tidak selesa kerana beberapa orang jemaah lelaki bagai bebas sekali memasuki khemah kami untuk menemui isteri mereka. Budaya di kampung halaman mereka dibawa hingga ke mari! Tolonglah pakcik, panggil sahaja isteri pakcik keluar ya, kami mahu tidur....

Alhamdulillah, saya lena juga menanti ketibaan hari wukuf keesokannya. Saya benar-benar tidak sabar. Saya mahu menikmati sendiri pengalaman berwukuf yang selama ini hanya dibaca dan didengar sahaja.


Saturday, September 27, 2014

Khamis Cuti

Berharga sekali cuti hari ini. Ia menjadi penawar pada segala keserabutan yang membelenggu. Terima kasih Dato' MB Kelantan kerana memberi kami hadiah sebegini.

Pilihanraya Kecil Pengkalan Kubor N01 menjadi sebab cuti ini. Siapa menang, siapa kalah, jujur saya akui saya tidak mengambil tahu. Entah mengapa kali ini mood untuk berpolitik tidak hadir dalam jiwa. Mungkin kerana kesihatan saya yang tidak begitu indah suasananya, menyuramkan rasa dalam mengikuti perkembangan. Surat khabar pun tidak ditatap, begitu jualah berita tv dan radio.

Apa yang menjadi kesukaan saya ialah menonton Salam Baitullah, Khabar Haji dan Labbaikallah. Di situ ada semangat yang membara jiwa. Di situ ada rindu yang meruntun rasa.

Pertengahan Disember ini kami akan ke sana lagi, Insya Allah. Tetapi entah mengapa saya bagai terasa-rasa entah sempat entah tidak. Bagai terasa-rasa yang waktu saya seperti di penghujung. Bagai terasa-rasa yang saya bakal pergi jauh. Lebih jauh daripada itu.

Apa pun, saya tetap mahu redha. Redha dengan setiap kemungkinan. Semoga Allah juga redha pada saya.

Kecemasan

Pagi Sabtu itu, saya mencari penyelesaian. Entah mengapa kesakitan kali ini sengatnya begitu berbisa, dan bisanya menular ke serata tubuh saya, bagai tiada simpati!

Kami akhirnya menuju ke Wad Kecemasan di HUSM pada jam 10 pagi, 20hb September itu.

Nyatanya, wad itu dipenuhi pesakit yang sungguh ramai. Saya tidak mahu berkira banyak, saya tetap mahu berjumpa doktor biar pun harus menunggu berjam-jam.

Sekitar jam 12 tengah hari, nama saya dipanggil. Saya dikategorikan sebagai pesakit separa kritikal maka penantian saya lebih pendek daripada pesakit lain. Alhamdulillah.

Seorang doktor wanita yang saya kira berusia sekitar awal 30-an, bertubuh kurus tinggi, berkulit hitam manis dan berkaca mata menyapa saya. Dia meminta saya bercerita tentang sakit saya. Seterusnya, saya dibawa ke katil untuk diimbas.

Rupanya, dia meminta saya menanti di situ, di atas katil, sambil berbaring. Dia mahu menelefon doktor pakar untuk memastikan apakah saya perlu diwadkan. Lama benar dia mencari jawapan.

Tiba-tiba peluh sejuk dan peluh panas mula memercik. Memikirkan suasana wad, dan perasaan yang akan saya alami apabila berada di situ, saya mula seram sejuk. Tidak, saya enggan masuk wad!

Seorang pembantu perubatan lelaki datang menghampiri. Setelah mengesahkan nama saya, dia mula mencucuk tangan saya dengan drip seperti mahu ke wad layaknya!

"Encik, saya kena masuk wad ke?"

"Belum tahu lagi, kak." Jawabnya ramah. "Kita ambil darah dulu."

Lamanya!

Beberapa minit kemudian, seorang jururawat pula datang mengambil tekanan darah saya."

"Saya kena masuk wad ke?"

"Belum tahu kak. Kak tunggu ya, nanti doktor akan cakap."

Tuhan! Mengapa lama sungguh mereka mencari jawapan? Saya tidak berhenti-henti berdoa agar saya boleh saja pulang ke rumah dan tidak perlu masuk wad. Dapat saya bayangkan betapa seksanya hari-hari saya di wad nanti. Betapa ramainya orang yang akan saya susahkan jika saya berada di wad. Sungguh saya tidak mahu masuk wad!

"Kak, doktor pakar kata ambil ubat dahulu, dan temujanji akak di klinik OnG akan dipercepatkan."

Tiba-tiba suara doktor wanita itu menyapa telinga saya.

"Saya tak perlu masuk wad?"

"Tak."

"Alhamdulillah!"

Saya rasa sihat serta merta. Terus saya turun dari katil dan menuju ke kerusi di meja doktor. Saya minta jarum drip saya dibuka. Jururawat mencatat tarikh temujanji baru saya pada kad saya dan saya boleh saja beredar. Alhamdulillah! Entah berapa kali saya melafazkannya dan saya benar-benar lega!

Pulang ke rumah, saya cuak juga kalau-kalau sakit itu menyerang lagi. Alhamdulillah petang ini segalanya berlangsung nyaman. Tiada kesakitan yang keterlaluan dan saya mampu berehat seperti yang saya mahu.

Kini saya menanti 30hb September untuk menuju ke klinik Pakar OnG HUSM pula.

Friday, September 19, 2014

Aku begini 2

Sesungguhnya ia masih bersisa.

Khamis pagi itu, saya terjaga dengan rasa yang lega. Kesakitan semalam hilang sudah. Sangka saya ia benar-benar hilang tetapi tidak. Menjelang tengah hari ia kembali. Sama seperti semalam.

Perut rasa membengkak, urat saraf menegang. Kesakitan menjangkau ke serata tubuh. Saya kembali bergelumang dengannya.

Lama benar menanti suami saya sampai. Tidak sanggup rasanya menghadapi kesakitan ini dalam keadaan begini. Saya mahu pulang. Saya mahu bergolek di atas katil saya sendiri!

Jam 6.15 petang akhirnya suami saya tiba membawa saya pulang. Benarlah, bergolek di atas katil sendiri lebih melegakan walaupun tidak juga mampu menghilangkan kesakitan.

Usai solat maghrib, suami saya keluar membeli ubat dan makanan. Arcoxia dan Buscopan serta nasi goreng cina menjadi santapan saya malam ini.

Tetapi mengapa sakit ini masih enggan pergi? Hingga jam 11 malam saya masih menderitainya!

Akhirnya, saat jam menghampiri 12 tengah malam barulah sakit ini beransur-ansur hilang. 

Pagi ini saya berasa lega. Harapnya ia tidak kembali berulang sekurang-kurangnya untuk bulan ini.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, September 17, 2014

Aku Begini

Sungguh ia tiada gambaran. Mungkin inilah kesakitan yang menjadi penebus segala dosa saya pada Tuhan.

Tuhan, saya ini banyak dosa. Jika Engkau hadirkan rasa yang begini mencengkam demi sebuah kesucian, saya amat redha. Sucikanlah diri ini, ya Allah!

Sejak semalam saya menempuhinya. Tiada kata dapat saya suarakan, tiada siapa dapat saya kongsikan. Sakit. Sungguh sakit!

Terpaksa saya batalkan hasrat untuk menemani suami berehat di Tanah Tinggi Cameron yang telah kami rancang berbulan lalu. Saya tidak meminta begitu, tetapi saya terima sebagai satu kurnia.

Alternatifnya, suami saya ke sana bersama-sama tiga orang anak saudaranya. Mulanya dia bagai bersalah kerana meninggalkan saya yang kesakitan, tetapi saya yakinkan dia saya tidak akan apa-apa. Saya pun kasihan padanya. Jika perancangan ini tidak melibatkan orang lain tidak mengapa, tetapi segala acara telah diatur rapi oleh sahabat-sahabatnya dan saya tidak tergamak membuatkan mereka di sana hampa.

Pergilah. Bawalah budak-budak itu kerana mereka pun sedang bercuti sekolah. Saya tidak apa-apa. Insya Allah.

Pagi ini, sekitar jam 9.00 mereka bergerak menuju ke Tanah Tinggi itu. Saya pula, menuju ke rumah ma.

Sehingga tengah hari, sakit tidaklah terlalu menyengat. Sempat saya lena beberapa minit di ruang tamu rumah ma.

Tetapi menjelang petang, kesakitan itu datang lagi. Kali ini lebih teruk daripada semalam. Pil diclofenac 100mg saya telan, tetapi tiada perubahan. Saya mencuba untuk tidur, tetapi gagal.

Ma memberi saya tungku panas untuk membantu melegakan saya. Selesa sedikit rasanya tetapi sakit tetap enggan hilang.

Melihat gelagat anak-anak saudara yang mengujakan - Muiz, Areef, Amal, Nasih, Wajih, Iman, Awwahah dan Imtinan sedikit menghiburkan tetapi sungguh ia tidak mengubah apa-apa!

Sekali lagi macmemanaskan tungku untuk saya. Terima kasih ma. Saya mencuba lagi menekan-nekan perut dan pinggang dengan tungku panas itu.

Alhamdulillah, sekarang saya rasa lega sedikit. Harapnya saya mampu lena malam ini.

Sent from Samsung Mobile