Selepas tamat peperiksaan SPM 1989, saya berehat panjang di rumah. Dari November hingga Jun, saya betul-betul bercuti. Peluang yang jarang-jarang diperoleh, bukan? Emak pula masa itu mula demam, sering tidak sihat dan asyik muntah-muntah. Rupa-rupanya emak hamil lagi, anak yang kelapan. Murah sungguh rezeki emak dan ayah, alhamdulillah.
Kehamilan emak kali ini membuka mata saya tentang betapa payahnya saat-saat awal emak mengandung. Emak langsung tidak boleh makan, bau makanan pun emak sudah loya. Saya rasa sedih sangat tengok emak ketika itu. Mujur juga saya bercuti panjang, boleh tengok-tengokkan apa yang patut. Saya tolong emak memasak dan menjaga adik Ismah yang waktu itu berusia belum sampai tiga tahun. Abang saya, Lutfi ketika itu sedang belajar di UiTM Kuantan. Aziah dalam tingkatan tiga di Maahad (P), Rifqi tingkatan dua di Maahad (L). Muhammad masih di SK Mulong dalam darjah lima dan Husna di SK Kor dalam darjah tiga.
Mabuk emak tidak lama, emak kembali normal apabila kandungan emak mencapai empat bulan iaitu sekitar bulan Mac 1990. Pada masa itu juga keputusan SPM saya diumumkan dan saya masih ingat lagi betapa gembiranya ayah dan emak dengan keputusan SPM saya. Mungkin di luar dugaan mereka agaknya!
Saya mula mengisi borang permohonan universiti. Ayah banyak membantu, dan terlalu banyak membantu hingga saya tidak perlu berbuat apa-apa, hanya mengisi borang sahaja. Perkara lain semua ayah uruskan – dari fotostat sijil, pengesahan sijil, hinggalah ke urusan pos. Mudah sungguh saya waktu itu hingga kawan saya berkata, “Eh, engkau ke ayah engkau yang nak masuk universiti?”. Apa-apa je lah, saya tak kisah…
Awal April 1990 saya mendapat surat untuk hadir temuduga dan ujian untuk ke universiti luar negara di bawah program Rancangan Bersama (RB), bertempat di Kuala Terengganu. Entah kenapa saya tidak berminat langsung. Saya beritahu ayah saya tidak mahu hadir temuduga itu. Mulanya ayah terkejut juga, maklumlah bukan semua orang dapat peluang seperti ini. Tetapi saya beritahu ayah saya mahu belajar dalam negara. Saya tak fikir saya sesuai berada jauh dari keluarga kerana sifat saya yang “perumah”. Mujur ayah faham.
Jun 1990, tawaran yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Saya mendapat tempat di Pusat Matrikulasi UKM, MRSM Kulim. Syukur benar rasanya kerana pilihan pertama saya diterima. Ayah dan emak mengadakan sedikit jamuan kesyukuran atas kejayaan saya. Waktu itu kandungan emak sudah besar. Emak selalu meletakkan tangan saya di perutnya dan menyuruh saya merasa gerakan bayi. Selepas majlis jamuan tamat, emak terbaring kepenatan. Emak kata, “kesian adik, mesti dia penat jugak” sambil mengusap-usap perutnya. Saya mendekati emak dan emak berkata lagi, “ Adik penat ni, sebab tu kuat bergerak…”
Ayah menghantar saya ke Kulim dengan menaiki teksi. Kami berdua sahaja, kerana emak tidak larat berjalan jauh. Kami bermalam di Butterworth sebelum bertolak ke Kulim pada pagi esoknya. Selesai pendaftaran, ayah terus pulang ke Kota Bharu.
Selepas tiga minggu, peperiksaan pertengahan semester pertama menjelma. Sukar juga kerana ini pengalaman pertama menjawab soalan sedemikian rupa! Selesai peperiksaan, kami bercuti seminggu iaitu bermula 4 Ogos 1990. Rumah saya masih belum ada telefon waktu itu, jadi saya tidak tahu emak sudah selamat melahirkan adik saya pada 1 Ogos. Apabila saya tiba di rumah, saya terus ke bilik emak. Emak tersenyum dan menyapa saya, “tengoklah adik ni…”. Saya teruja sangat waktu itu, hendak tahu adik lelakikah atau adik perempuan. Sebenarnya saya berhajatkan adik lelaki, supaya cukup pasangan empat lelaki dan empat perempuan. Tetapi bila tengok adik saya itu perempuan saya tidak kecewa pun. Saya rasa gembira sangat dapat adik dalam usia 18 tahun. Apabila saya meriba adik saya itu, emak berkata, “ Ma dulu masa sebaya Yati dah dapat anak sulung. Kiranya dah taraf anak lah tu…” Malu-malu saya dibuatnya. Yalah, tak pernah sekali pun terfikir tentang berkahwin, apatah lagi mempunyai anak!
Apabila adik berusia tujuh hari, ayah mengadakan majlis aqiqah. Bila saya dan adik-adik yang lain berbincang tentang nama, saya katakan saya berkenan dengan nama Noor Syamimi, tapi tak berani beritahu ayah. Akhirnya ayah yang memilih nama untuk adik – Noor Zahidah. Sedap juga.
Menurut emak, sepanjang tempoh berpantang, Aziahlah yang banyak membantu emak. Apabila orang datang berkunjung, Aziah yang buatkan air. Apabila emak mandikan adik, Aziah juga yang jerang air dan sediakan peralatan. Pendek kata, Aziah banyak memainkan peranan sepanjang tempoh emak berpantang. Kesian Aziah. Tidak pula dia merungut walaupun bakal menduduki peperiksaan SRP yang cuma tinggal sebulan lebih sahaja lagi. Apapun, Aziah mendapat keputusan yang cemerlang dalam SRPnya iaitu 7A1 dan 1A2. Alhamdulillah.
Dua hari lagi, pada 1 Ogos 2009 akan genaplah 19 tahun usia adik saya Noor Zahidah. Sudah dewasa, sudah matang dan sudah pandai berdikari. Semoga adik Zahidah akan sentiasa cemerlang di dunia dan di akhirat.