Saturday, July 18, 2009

Kenangan bersama ayah


Semasa saya kecil dulu, ayah selalu mengambil upah menaip. Sebagai kerani, ayah memang cekap menaip. Ada saja cikgu-cikgu dan ustaz-ustaz di tempat kerjanya yang mengupah ayah menaip soalan atau apa-apa bahan bertulis. Ayah terima semua, kerana ayah cekap menaip tak kira menaip rumi atau jawi. Lagi pun, inilah cara ayah menambah pendapatan untuk menyara keluarga yang saban tahun bertambah..

Saya pula, gemar sangat melihat ayah menaip. Saya seronok mendengar irama mesin taip dan sentiasa ralit melihat jari jemari ayah mengetuk mesin taip. Saya selalu berada dekat ayah untuk melihat dia menaip dan dia suka meletak saya di ribaannya sewaktu dia menaip. Dia akan berkata, "Mari duduk atas riba ayah, tapi Yati kena duduk diam-diam, jangan kacau ayah ya!" Saya seronok sangat dapat duduk atas riba ayah. Dan saya memang duduk diam-diam, sebab tak nak kacau ayah. Saya hanya tengok ayah menaip saja.

Bila saya besar sikit, ayah sudah tidak meriba saya lagi sebab adik saya pula mengambil giliran. Tetapi saya tetap seronok meneman ayah menaip. Saya akan pergi dekat ayah, dan ayah akan minta saya tolong bacakan teks untuk dia menaip. Kadang-kadang saya usik juga mesin taip ayah, bila ayah keluar ke surau atau ke kedai. Saya taip macam-macam dan seingat saya ayah tak pernah marah.

Bila saya remaja, ayah menjadi penasihat yang tidak jemu-jemu. Mungkin kerana saya belajar di asrama, jauh dari pandangannya maka dia menitipkan nasihat dalam setiap suratnya. Surat-suratnya itu saya baca berkali-kali, terutama bila saya rindukan keluarga. Surat ayah unik, kerana dia menulis jawi. Bukan dia tidak pandai menulis rumi tetapi itulah cara dia menjadikan anak-anaknya celik jawi. Tetapi saya membalas surat-suratnya dengan tulisan rumi kerana tulisan jawi saya tidak cantik...

Ayah seorang yang begitu menitikberatkan pendidikan - agama dan akademik. Alhamdulillah, keprihatinan ayah berbaloi kerana kami lapan beradik semuanya menjejakkan kaki ke menara gading. Abang Saya Lutfi belajar di UiTM dalam bidang Sains Komputer. Saya pula memegang ijazah sarjana muda Matematik dari UKM. Adik saya Aziah lulusan Pendidikan Islam, UM. Tiga orang yang seterusnya - Rifqi, Muhammad dan Husna - ialah lulusan Akademi Islam UM dan masing-masing memegang ijazah sarjana muda Syariah. Sekarang Rifqi dan Muhammad sedang dalam proses mendapatkan Masters pula. Kini tinggal dua orang lagi adik saya yang masih belajar, iaitu Ismah di Fakulti Sains dan Teknologi UM dan adik bongsu saya Zahidah di Fakulti Pendidikan USM.

Walaupun ayah saya cuma seorang kerani, tetapi kesedaran akademiknya sangat tinggi. Hobi ayah yang turut menjadi hobi kesemua anaknya ialah membaca. Ayah sangat gemar membaca tak kira waktu. Dia memiliki koleksi buku yang agak banyak, sehinggakan kadang-kadang tetamu yang datang bertandang ke rumah kami menyangka ayah seorang ustaz! Begitu juga disiplinnya dalam mengaji Quran, turut melekat di hati-hati kami anaknya.

Hakikatnya, saya bangga menjadi anak ayah. Dia ayah yang sempurna di hati saya. Kenangan bersama ayah akan tetap tersimpan kukuh dan tidak akan terlupakan biarpun masa berlalu. Setiap kali kenangan itu berputar dan diulang tayang dalam fikiran, saya menjadi semakin rindu pada ayah. Setiap kali rindu itu datang, saya akan sedekahkan doa dan alfatihah buat ayah. Saya selalu berharap agar ayah akan datang ke dalam mimpi saya setiap malam. Mungkin itu akan dapat mengubati hati yang rindu. Sungguh, saya amat terasa kehilangan ayah, tapi saya redha dengan takdir Tuhan. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Semoga Allah menempatkan ayah di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.


No comments:

Post a Comment