Sunday, July 19, 2009

Cerita tentang emak















Saya dan emak di Reinassance Hotel pada 23/12/07

Sewaktu saya di tingkatan lima di MRSM, emak, ayah dan adik-adik datang melawat saya. Ketika ayah dan adik lelaki saya bersolat Jumaat, saya membawa emak masuk ke asrama untuk melihat-lihat bilik saya, juga berbual-bual dengan kawan-kawan saya. Ramai juga kawan-kawan saya yang ada di asrama ketika itu.

Selepas Asar, keluarga saya pun bertolak balik ke Kelantan. Apabila saya balik ke asrama, saya mengajak kawan-kawan makan makanan yang emak saya bawakan. Saya ingat lagi, mak saya bawakan nasi dengan gulai ayam resepi thai (kami menyebutnya "kem ped"). Berselera kami semua makan masa tu. Salah seorang kawan saya berkata, "Nayan (nama panggilan saya di asrama), emak kau tu cantiklah!" Saya pun menjawab, "Macam aku, kan?"
"Eh, rupa kau lain. Mak kau tu macam pelakon aku tengok."

Saya rasa bangga juga dengan kata-katanya itu (walaupun dia menafikan saya secantik emak saya!).

Waktu saya di tingkatan lima emak berumur 37 tahun - iaitu seusia saya sekarang - tetapi waktu itu dia sudah mempunyai 7 orang anak berusia antara 19 tahun dan 2 tahun. Emak melahirkan abang saya pada usia 18 tahun dan saya pula lahir pada ketika usianya 20 tahun.

Hakikatnya, bukan saya bangga dengan kecantikan emak semata-mata. Apa yang paling saya kagum, emak berjiwa kental dan penuh semangat "juang". Kerana kekentalannya itulah kami semua berada pada posisi kami sekarang. Emak sangat berhemah dalam berbelanja. Beruntung arwah ayah memiliki isteri seperti emak, yang tidak suka meminta-minta, sebaliknya membantu ayah mengurus kewangan keluarga dengan jaya. Bayangkan, dengan gaji ayah yang boleh dikatakan 'cukup-cukup makan' itu, dapat juga ayah membeli sekeping tanah dan membina sebuah rumah yang sederhana tanpa sebarang pinjaman. Hebat bukan? Saya sendiri tidak mampu begitu. Ini tidak lain kerana emak. Emak yang bijak mengurus kewangan keluarga.

Emak tidak memiliki pakaian mahal dan barang kemas seperti wanita lain. Emak menjahit sendiri pakaiannya, dan pakaian kami juga. Emak suka memasak dan membuat kuih dari air tangannya sendiri untuk kami adik beradik. Tidak pernah kami makan di luar walaupun pada hari-hari istimewa, melainkan emak memasak menu istimewa yang keenakannya tiada di mana-mana restoran pun!

Saya bersyukur sangat memiliki ibu seperti emak, dan bapa seperti ayah. Alhamdulillah!!

No comments:

Post a Comment