Monday, July 27, 2009

Al fatihah















Al fatihah buat arwah Yasmin Ahmad yang kembali ke rahmatullah pada dua hari lepas.

Menerima berita kematian adalah sesuatu yang amat menyentak perasaan. Apatah lagi jika kematian itu ialah kematian ahli keluarga yang amat kita sayangi.

Ketika saya berusia empat tahun, saya menonton upacara pengebumian Allahyarham Tun Abdul Razak secara langsung di TV. Itulah kali pertama saya melihat upacara sedemikian. Waktu itu saya masih tidak faham apa itu MATI. Saya tidak rasa apa-apa, kerana saya hanya seorang kanak-kanak.

Pada usia saya enam tahun, bapa saudara saya (abang ayah saya yang kedua, saya memanggilnya Pak Da) meninggal dunia. Ayah membawa kami sekeluarga pulang ke kampung melawat jenazah abangnya itu. Saya yang naif ini bertanya, "Ayah, siapa yang lebih tua, Pak Da ke Ayah Mat?" Saya merujuk kepada Ayah Mat, iaitu abang ayah saya yang sulung. Jawab ayah, "Ayah Mat." Saya rasa pelik, lalu bertanya lagi, "Kenapa Pak Da mati dulu?" Ayah tersenyum, dan menjawab, "Mati itu tak kira umur. Kita tak tau siapa akan mati dulu. Itu semua Allah tentukan." Saya tidak pasti sama ada saya faham atau tidak penjelasan ayah itu.

Seterusnya, datuk sebelah emak meninggal pada tahun yang sama. Saya masih seperti itu, tidak rasa apa-apa. Apabila datuk sebelah ayah meninggal tiga tahun kemudian, saya sudah pun berusia sembilan tahun. Tetapi saya masih begitu, tidak pandai bersedih. Mungkin hubungan dengan arwah datuk yang tidak terlalu rapat, atau mungkin kerana jiwa kanak-kanak saya belum pandai berduka.

Sewaktu dalam darjah enam, seorang lagi bapa saudara saya meninggal dunia. Kali ini ia agak menyentak perasaan saya kerana kematiannya mengejut. Mungkin kerana saya sudah berusia dua belas tahun dan faham erti kematian maka saya turut berasa sedih, tetapi tidaklah sampai menangis walaupun saya nampak emak menangis sewaktu ayah menyampaikan berita itu.

Selepas dari itu, lama saya tidak menerima apa-apa berita kematian ahli keluarga rapat saya. Ini membuatkan saya rasa semakin jauh dan jauh dari mati. Memang saya akui saya teruk sangat, saya anggap saya akan mati lambat lagi. Saya tak rasa pun kematian itu sesuatu yang hampir, sama ada pada saya atau pada keluarga saya. Yang mati ialah orang lain, bukan saya dan bukan orang yang saya sayang.

Sehinggalah ayah saya meninggal dunia pada 27 Mac 2000. Itulah kali pertama saya kehilangan seorang manusia yang saya sayang sepenuh hati. Seorang manusia yang tiada gantinya di dunia ini. Segala persepsi saya tentang mati berubah sejak itu.

Sebenarnya, sewaktu ayah disahkan mengidap kanser, saya biasa saja. Bagi saya, ayah tentu sembuh. Kanser ayah bukan teruk sangat, lepas pembedahan tentu ayah kembali sihat seperti sediakala. Saya sangat yakin dengan apa yang saya rasa. Sungguh!! Ayah tidak boleh mati. Ayah mesti sihat kembali. Begitulah optimisnya saya, sehingga terlalu yakin dengan sesuatu yang tidak pasti...

Tetapi ia tidak begitu. Ayah terlantar dan kesakitan ayah merobek hati saya. Hanya Tuhan yang tahu betapa siksanya jiwa saya melihat penderitaan ayah. Setiap hari saya berdoa agar satu keajaiban terjadi, dan ayah sembuh kembali.

Apalah daya yang ada, bila Allah telah tetapkan hayat ayah cuma sekadar 56 tahun sahaja.

Sejak itu, saya dapat rasakan betapa nipisnya tabir antara hidup dan mati.
Sejak itu, saya mula rasakan betapa dekatnya saya dengan mati.
Sejak itu, saya mula sedar betapa salahnya saya selama ini.
Sejak itu, saya berdoa setiap hari, ampuni kami Ya Allah, dan tempatkan ayah di kalangan orang yang engkau kasihi.
Sejak itu, saya ingin berubah menjadi manusia yang bersedia untuk mati, walaupun hakikatnya saya pohon setiap hari agar Allah panjangkan umur saya...

Sesungguhnya, kematian ayah banyak memberi kesedaran kepada saya. Al fatihah buat ayah.

No comments:

Post a Comment