Entah mengapa ramai yang berkata aku ini punya duit yang banyak. Malah kata mereka, duit aku dan suami "tak habis dimakan". Hmmm, aku ini kategori tak pandai guna duit barangkali. Atau mungkinkah kedekut? Oh.. tidak!!
Aku ini guru. Suamiku pun guru. Ya, kami cuma guru, bukan ahli perniagaan. Kami cuma menerima gaji sebulan sekali seperti orang lain juga. Kami punya hutang rumah dan hutang kereta seperti orang lain juga. Kami makan tiga kali sehari seperti orang lain juga. Apa yang berbeza? Hmm, baru kuingat. Kami tiada anak. Sebab itukah kami dikatakan banyak duit?
Benar, kami tiada anak. Tetapi aku masih memperuntukkan sejumlah wang untuk ibu, ibu mentua dan dua orang adikku yang masih belajar itu. Anggaran seribu sebulan dikhususkan untuk mereka. Rasanya ini sama dengan keluarga yang memiliki dua atau tiga orang anak berusia sekitar 1 - 12 tahun bukan? (Betulkan aku jika silap!)
Lalu apa bezanya aku dengan rakan guru lain yang bergaji sama dengan aku? Apa halnya aku dianggap punya wang yang banyak dan tidak habis dimakan?
Mungkin kerana tahun ini aku dan suami bergaya dengan Camry baru, dan terpilih pula untuk menunaikan Fardhu haji ke Mekah. Alhamdulillah. Lalu tiba-tiba mereka nampak kami ini mewah.
Sebenarnya, kami bukan kaya. Bukan mewah. Kami sama seperti orang lain tetapi yang membezakan mungkin cuma kami punya perancangan. Kami merancang untuk semua yang kami miliki, dan alhamdulillah Allah mengizinkannya.
Aku masih ingat pada awal perkahwinan dahulu. Kami tidak terus membeli kereta baru seperti orang lain walaupun kami mampu kerana kami ingin menyimpan. Kami menyewa rumah teres yang murah sahaja kerana target kami ialah rumah sendiri dalam masa 5 tahun. Kami menabung, tetapi tidaklah sampai mengikat perut. Kami disiplinkan diri supaya tabungan kami tidak berusik sehingga kami bersedia membina rumah.
Pada 2001, kami berkira-kira untuk menambun tanah sawah mek di Chenok itu. Pada masa yang sama, kami perlu membayar harga jalan kepada tuan tanah di hadapan tanah kami, juga bayaran kepada kakak suamiku kerana tanah itu milik mereka berdua. Bila kami hitung, kami perlukan sekitar RM24,000.00 untuk tujuan itu. Simpanan kami masih belum cukup, lalu aku menyudikan diriku membuat pinjaman bank rakyat sebanyak RM15000.00 dengan bayaran balik sebanyak RM407 sebulan selama 4 tahun. Maka dapatlah segala kerja yang kami rancang itu disempurnakan seadanya.
Pada 2003, kami mulakan misi membina rumah. Sementara menunggu wang pinjaman kerajaan diluluskan, kami keluarkan semua tabungan yang ada bagi proses pembinaan rumah hingga tabungan kami itu habis licin! Apabila wang pinjaman kami terima, kami menabung semula dengan penuh berdisiplin.
Alhamdulillah selepas setahun, rumah kami siap dan sedia diduduki. Kali ini kami merancang untuk ke Mekah pula. Kami mendaftar di Tabung Haji dan mereka menjangkakan nama kami akan dipanggil pada musim Haji 1430 H (2009). Kami sabar menunggu.
Tahun 2009 tiba dan kami ke Tabung Haji untuk bertanyakan status kami. Kata mereka, giliran kami tahun depan. Tidak mengapa, kami akan tunggu lagi.
Maka tahun ini, nama kami telah tersenarai sebagai calon terpilih dan kami menyediakan diri mental dan fizikal untuk ke sana. Semoga Allah mempermudah urusan kami berdua.
Apa yang aku ingin tekankan di sini, kami bukan kaya. Kami cuma mengikut perancangan kerana tanpa perancangan rapi, wang atau duit atau pitih itu akan berlalu begitu sahaja. Sasarkanlah tujuan kita, kerana sebagai manusia kita tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi acapkali kita gagal untuk merancang. Duit jika tidak disimpan, akan habis dan pergi begitu sahaja tanpa dapat kita menjejakinya semula.
Satu perkara lagi, jangan lupa menghulur pada ibu bapa dan keluarga di kampung. Mereka tidak meminta, tetapi akan terharu dan teruja dengan pemberian daripada anaknya, yang pastinya seiring dengan doa yang tidak putus-putus. Tidak perlu banyak, cukup sekadar untuk menggembirakan hati orang tua. Benar, ia amat berkat. Percayalah!

No comments:
Post a Comment