Tuesday, July 27, 2010

Nasi Lemak Saya

Rutin saya apabila tiba hujung minggu ialah menyediakan sarapan nasi lemak buat suami tercinta. Dia memang gemar nasi lemak, tetapi ada syarat-syaratnya. Pertama, sambal tumis ikan bilis mesti pekat dan kuah sedikit sahaja. Rasanya tak boleh masam, kena manis-manis sikit. Nasi pula tak mau yang lembik. Timun tak ada pun tak apa, cukup nasi dengan sambal tumis ikan bilis sahaja. Pernah sekali saya buat sambal tumis udang, dia makan juga tetapi dia kata tak sesedap sambal tumis ikan bilis.

Masak nasi lemak ini memang cerewet. Kena sediakan santan dulu. Lepas tu kisar cili pula. Makan masa, kan? Hmm, cara saya sangat mudah dan ringkas. Tak sampai setengah jam saya masak, nasi lemak saya sudah siap dihidang. Macam mana tu?

Saya memang sentiasa memiliki stok santan segera Adabi. Santan serbuk, dalam peket berharga RM1.50. Santan ini mudah disimpan dan pada saya, rasanya hampir menyamai santan asli. Saya hanya menggunakan setengah peket santan ini untuk satu pot beras. Lebihannya saya simpan dalam peti ais dan ia tahan lama. Berbeza dengan santan cecair yang dijual dalam kotak atau santan segera dari pasar, yang mesti disimpan di bahagian sejuk beku dan rasanya akan berubah jika disimpan terlalu lama.

Jadi saya tidak memerlukan masa yang lama untuk menyediakan santan kerana saya cuma perlu basuh beras seperti biasa, masukkan air secukupnya, masukkan pula serbuk santan Adabi itu dan kacau rata. Saya jerang nasi lemak saya atas dapur gas sahaja, sebab ia lebih cepat berbanding menggunakan periuk nasi elektrik. Sementara menunggu nasi masak, saya kupas bawang dan tumbuk lumat menggunakan lesung batu. Tak perlu blender, sebab kuantitinya sedikit sahaja. Apabila dah lumat saya gaulkan dengan serbuk cili Baba's. Kemudian saya panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan tadi. Sementara tumisan saya garing, saya bersihkan ikan bilis. Tak perlu asam jawa untuk tumisan saya kerana suami saya tak gemar, juga tak perlu garam kerana ikan bilis itu sudah masin. Saya cuma masukkan sedikit gula sahaja. Sebaik nasi lemak saya masak, sambal tumis saya juga siap. Cepat, bukan? Oh ya, saya sediakan telur rebus juga bersama-sama nasi lemak saya itu. Jadi tidaklah nampak ringkas sangat.

Saya rasa gembira melihat suami saya makan dengan berselera sambil memuji kesedapan nasi lemak itu. Apa lagi yang dimahukan oleh seorang isteri bukan?

No comments:

Post a Comment