Thursday, July 22, 2010

Sekadar renungan

Petikan daripada akhbar Berita Harian semalam (dalam ruangan RakanBH, muka surat 41):

“Setiap guru patut diberi komputer dan broadband percuma. Guru terpaksa guna wang sendiri beli komputer dan bayar bil broadband. Fikir-fikirkanlah rasionalnya.”

Tiba-tiba, sebagai seorang guru saya berasa malu dengan komen ini. Entahlah, saya memang sejak azali lagi sangat tidak gemar dengan minda subsidi. Semua benda kalau boleh, mahu diminta percuma. Apalah nikmatnya menggunakan barang percuma ini? Sungguh saya tidak faham. Yang saya faham, erti hidup pada memberi - seperti kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Mungkin pengomen ini berfikir betapa tugas guru sekarang tidak dapat dipisahkan dengan dunia ICT. Soalan ujian, lembaran markah, data pelajar, aktiviti kokurikulum dan banyak lagilah, telah diICTkan dengan jayanya. Pendek kata, tanpa komputer guru itu bukan seorang guru.

Benarlah itu. Bukan guru sahaja yang demikian adanya. Kerani, doktor, peguam, jururawat, pensyarah, arkitek, akauntan, malah juruwang di pasar raya pun menggunakan komputer. Adakah mereka bersuara meminta komputer dan broadband percuma? Guru, jika dikatakan mengada-ngada mereka akan marah. Tetapi kenyataan begini amat buruk bagi saya, dan saya memang malu.

Sudah-sudahlah meminta. Belajarlah memberi. Setakat komputer riba, pelajar universiti yang belum bergaji itu pun mampu beli, takkan guru nak yang subsidi? Bil broadband pula cuma RM50 sebulan. Mahal sangatkah? Janganlah membutakan mata pada ganjaran yang Allah janjikan.

Lagipun, jika kementerian bekalkan komputer untuk setiap guru, terjaminkah komputer itu hanya diguna untuk kegunaan pengajaran di sekolah? Pastinya tidak. Komputer PPSMI yang dibekalkan pada 2003 – 2009 dahulu pun dibuat bak harta sendiri oleh sesetengah guru (hinggakan guru yang bukan PPSMI ingin guna pun susah) inikan pula apabila diberi secara individu! Tentu sekali anak-anak akan menggunakan komputer itu untuk bermain “computer games”, suami pula tekun melayari internet.

Bagi saya, benda-benda yang umum seperti ini tidak payahlah diminta percuma. Miskin benar bunyinya. Kedekut pun ya juga. Seolah-olah tiada yang ikhlas dalam diri. Saya takut nanti akan ada yang meminta pen percuma, buku nota percuma, air mineral percuma (cikgu kan banyak bercakap, kering tekak tau!!) dan entah apa-apa lagi yang percuma.

Jagalah maruah guru wahai guru!!

No comments:

Post a Comment