Seharian hari ini saya habiskan dengan berbaring-baring di rumah sahaja, kerana perut amat tidak selesa. Selesai sarapan nasi kerabu yang suami belikan di kedai, saya berehat serehat-rehatnya di bilik. Tiada keinginan langsung untuk ke mana-mana.
Tengah hari, saya masak ikan tenggiri goreng. Kebetulan malam tadi suami saya merajinkan diri mencari belalang di sekitar rumah, maka saya goreng belalang itu untuk hidangan tengah hari, selain petai dan budu. Hm, berselera juga bila sesekali makan nasi lauik belalang goreng!
Selepas Zohor, saya ajak suami ke klinik beli ubat. Mula-mula kami ke Klinik Sayyida di Wakaf Che Yeh. Saya minta pil Synflex tetapi Synflex tiada di klinik itu, hanya Ponstan sahaja yang ada. Saya ke Klinik Ikhtiar di sebelah, dan mujurlah ada di situ. Dapatlah saya sepuluh biji pil Synflex berjenama Sonap, dengan harga RM5.00 sahaja.
Suami belikan pisang goreng di gerai di hadapan klinik itu, dan santaplah saya akan pisang goreng itu dengan berseleranya. Memang saya gemar pisang goreng, apatah lagi kalau panas-panas!
Pulang ke rumah, saya teruskan rehat saya. Kebetulan cuaca mendung dan hujan sekali-sekala, memberikan suasana yang amat kondusif untuk saya berkurung di bilik. Hajat di hati mahu tidur, tetapi mata enggan lena. Saya berehat bertemankan majalah dan buku-buku kesayangan saya, sambil sesekali memetik juga papan kunci di komputer riba, sekadar membaca status di facebook.
Lepas Asar, adik Ismah saya menghantar mesej, katanya ingin datang ke rumah. Oh, silakan!! Saya seronok saja walaupun masih sakit perut. Lebih kurang 6 petang mereka tiba - Husna, Ismah, Zahidah, Sufi, Anis dan Ain. Saya cuma hidangkan aiskrim dan susu nutrigen sahaja kerana tiada makanan lain di rumah saya. Kasihan...
Malam, suami kata dia tidak mahu makan nasi. Jadi saya cuma goreng keropok lekor yang abang Pi bagi semalam dan kami santap sebagai makan malam kami.
Sekian.
No comments:
Post a Comment