Hidup bermasyarakatkan Melayu, banyak kekangan dan sekatan yang seakan mengongkong. Segala-galanya bersendikan pandangan orang, walaupun perkara itu langsung tidak menyalahi perintah Tuhan.
Jika perempuan, lagilah terseksa.
Mengambil contoh diri sendiri, lama saya memikir yang satu ini. Ya, pandangan orang.
Kenapa mesti pandangan orang menjadi faktor pertama dalam melakukan semua perkara? Belajarlah untuk tahu keutamaan, kerana pandangan orang tidak semestinya betul. Ia cuma kuasa majoriti yang sesungguhnya bukan satu perintah.
Bayangkan, betapa terseksanya perasaan seorang sahabat saya yang berusia lima puluh satu tahun apabila pilihannya untuk membujang dipersoal. Banyak benar andaian diberi. Terlalu memilih, gaji besar hingga lelaki takut mendekat, juga yang paling klise, tidak laku! Pada hal, dia memilih untuk tidak menikah. Salahkah dia?
Masyarakat kita masih gagal memahami erti kebebasan memilih. Pada saya, selagi ia tidak menyalahi syariat, teruskanlah. Mengapa kita mempersoal pilihan seseorang? Tentu dia ada sebab musabab yang kita tidak tahu. Hormatilah pilihannya, jangan disakiti hatinya. Tak perlu menakut-nakutkannya dengan masa depan yang belum tentu hitam putihnya. Kita yang berkahwin ini pun, tahukah apa kesudahan kita nanti? Di sisi keluargakah, atau terlantar di rumah orang-orang tua?
Berkatalah sesuatu yang menggembirakan untuk semua orang. Hormatilah segala pilihan orang lain, kerana citarasa manusia berbeza-beza.
No comments:
Post a Comment