Monday, February 04, 2013

Mencari Ikhlas

Sungguh ia amat sukar.

Ikhlas itu tidak mengharap apa-apa, malah tidak juga terucap di bibir. Ia menjadi rahsia yang hanya Allah tahu. Sukar. Sangat sukar.

Bayangkan, berasa diri tidak dihargai juga sudah memusnahkan nilai ikhlas yang ada. Contoh, seorang isteri yang sentiasa membantu dan menyokong suami dalam segenap segi, berkorban segala-gala tanpa mengharap sebarang ganjaran daripada suaminya, tiba-tiba si suami berubah hati dan mencari insan kedua. Si isteri tersentuh hati dan berasa pengorbanannya selama ini sia-sia. Berasa diri tidak dihargai. Berasa tidak berguna.

Logiknya, isteri tadi tidak ikhlas berkorban kerana dia mengharap balasan penghargaan daripada suaminya. Maka segalanya menjadi debu, tiada nilai di sisi Allah. Begitulah.

Sukar! Sungguh sukar mendidik hati untuk sentiasa ikhlas.

Menjadi ibu dan bapa pun sama. Jika segala jasa dan pengorbanan membesar dan mendidik anak-anak dibajai dengan harapan agar anak-anak tidak melupai mereka bila tua nanti, dengan sendirinya ikhlas itu telah musnah. Didiklah anak kita kerana mereka amanah dan tanggungjawab kita, dan berdoalah agar dewasa mereka menjadi insan soleh dan solehah yang patuh pada ajaran Allah. Anak-anak yang soleh tidak akan mungkin mengecewakan ibu dan bapanya. Walaupun tidak diminta, mereka tetap sedia membalas budi. Insya Allah.

Semoga kita sentiasa sedar, ikhlas itu sangat rapuh. Mudah sahaja ia dikoyak rabak oleh kesilapan kita sendiri.

No comments:

Post a Comment