Usia sering dijadikan penghalang.
"Dah tua-tua ni, mana boleh nak belajar dah. Dah berkarat!"
Pada hal, Islam mengajar kita menuntut ilmu dari semenjak dalam buaian hingga ke liang lahad. Kenapa memberi alasan otak berkarat, kalau kita sendiri merelakan ia berkarat? Otak yang sering belajar, akan terhindar daripada segala macam karat barat itu. Sungguh!
Saya amat tidak menggemari minda seperti ini kerana pada saya, otak saya bukan bahan yang ada tarikh luput. Hanya mati sahaja yang bakal menghentikan minda saya daripada terus menimba segala ilmu. Saya yakin itu. Kerana itu, dari hari ke hari saya menambah segala bacaan, tontonan dan pengalaman. Saya mahu saya yang lebih baik daripada masa lalu. Yang ada peningkatan dalam segala segi. Bukan membiarkan diri statik, begitu-begitu juga sampai bila-bila.
Sebenarnya, hati saya sedikit tercalar apabila minda rakan guru disaluti pemikiran sedangkal itu. Sedangkan, mereka itu guru. Sangat tidak molek, dan amat tidak sesuai. Tiada motivasi dalam diri sendiri, bagaimana mahu memotivasi orang lain?
Doa saya, semoga terbit kesedaran dalam hati-hati mereka sebelum nyawa dibawa pergi.
No comments:
Post a Comment