Tuesday, February 19, 2013

Tarikh Lahir

Tidak pernah ada ucapan selamat hari jadi daripada saya kepada emak atau arwah ayah. Kami tidak diajar untuk menyambut tarikh itu, walaupun kami masing-masing maklum betapa emak dan arwah ayah tidak pernah melupai tarikh lahir kami berlapan. Mereka hafal semuanya kerana tarikh-tarikh itu sangat indah untuk mereka ingati.

Sayangnya,kami tidak tahu tarikh lahir sebenar emak dan arwah ayah. Ironi, bukan?

Menurut ayah, dia lahir pada Februari 1944 walaupun dalam kad pengenalannya tertera September 1946. Saya lupa haribulannya, tetapi dalam minda saya mengatakan tujuh kerana saya pernah mendengar ayah menyebut tarikh itu. Ya, ingat-ingat lupa.

Emak pula, katanya lahir pada hari 'buat ketupat' tetapi tidak pasti Aidilfitri atau Aidiladha. Ayah pernah mengira tarikh tersebut, dan katanya mungkin 28 Ogos 1952. Dalam kad pengenalan, emak lahir pada 30 Mac 1955. Hampir tiga tahun lebih muda daripada usia sebenar.

Walaupun tiada kepastian, saya sentiasa mengingati tarikh-tarikh itu. Walaupun tiada ucapan, saya sentiasa menyedari kehadiran hari-hari itu. Mereka insan istimewa dalam hati saya, tentu sekali apa sahaja berkaitan mereka, menjadi istimewa juga pada saya.

Tahun ini, emak bakal meniti usia enam puluh satu tahun. Alhamdulillah kesihatan emak masih terkawal walaupun kudrat emak semakin mengurang. Ayah pula, melangkah ke usia enam puluh sembilan tahun. Biarpun telah tiada, saya tidak pernah lupa menghitungnya. Mereka sentiasa ada dalam doa saya sepanjang masa.

Semoga Allah merahmati mereka berdua.


No comments:

Post a Comment