Saya tidak tahu, bila saya akan berani melakukannya.
Banyak perkara dalam hidup ini, memerlukan keazaman sebelum kita mampu melakukannya kerana ketakutan yang ada dalam diri. Kita pun tahu, ramai orang dalam dunia ini mempunyai ketakutan tersendiri, yang tidak serupa. Ada orang takut dengan ketinggian, ada orang takut dengan binatang, ada orang takut dengan kegelapan, ada orang takut dengan matematik, ada orang takut dengan orang besar, dan macam-macam lagi.
Saya mahu kata yang saya takut dengan memandu, tetapi saya bimbang ia bakal menyusahkan saya nanti. Jadi, saya kata saya bukan takut, cuma saya belum berani mencuba.
"Apalah engkau ni, bukan susah pun memandu!"
"Kereta automatik apa, orang ada sebelah kaki pun boleh bawak!"
"Nanti susah kalau kecemasan, baik engkau belajar memandu dari sekarang"
"Hei! Bila nak bawak kereta ni? Senang tau nak ke mana-mana, tak menyusahkan orang"
Ya, benar. Semua kenyataan itu benar belaka dan saya tidak pernah menafikan. Apabila suara-suara sebegitu menerobos pendengaran saya, jawapan saya hanyalah, "nantilah dulu, aku nak drive juga tapi bukan sekarang" dengan nada selembut sutera dan bersulam senyum semanis madu.
Entah. Saya pun buntu. Bila agaknya keberanian itu akan tiba. Saya tahu teorinya, teknik dan caranya. Saya yakin saya masih belum lupa segala ilmu yang saya peroleh sewaktu lulus ujian memandu empat belas tahun lalu. Cuma, selain keberanian, saya juga memerlukan kesempatan.
Malangnya, kesempatan itu tidak pernah saya temui!
No comments:
Post a Comment