Sunday, February 10, 2013

Musim Kenduri Lagi


Tujuh kenduri dalam satu hari.

Perut manusia manakah yang mampu makan tujuh pinggan nasi untuk hidangan tengah hari? Suka atau tidak, terpaksalah saya mengorbankan kehadiran saya di beberapa tempat kenduri yang menjemput kami. Tidak tercapai akal saya untuk memenuhi ketujuh-tujuh undangan serentak ini, ditambah pula dengan kesesakan jalan raya yang luar biasa!

Hanya empat yang saya mampu.

Jam dua petang, jelajah kami bermula. Rumah jiran terdekat menjadi singgahan pertama meraikan perkahwinan anak perempuannya. Seterusnya kami ke Kampung Patek, Kadok untuk memenuhi pula undangan rakan guru suami saya yang mengadakan jamuan maulud.

Usai di sana, kami singgah di Kampung Talang pula. Seorang lagi rakan guru suami mengadakan jamuan sempena maulud. Kali ini saya hanya mengisi perut dengan kuih dan air sahaja. Tak perlu nasi lagi.

Jam 3.30 petang, kami sampai di rumah. Berehatlah saya dahulu sementara menanti waktu Asar. Rancangan kami, selesai solat nanti, kami akan menuju ke Batu 8 pula, menyempurnakan jemputan jiran di sana yang mengadakan kenduri aqiqah.

Tetapi rasanya, cukuplah suami saya sahaja yang pergi. Biarkan sahaja saya menyendiri di rumah ini.

No comments:

Post a Comment