Tuesday, February 05, 2013

Ujian itu anugerah, sahabatku!

Kita pun maklum, dunia ini medan ujian. Akhirat nantilah ganjarannya. Janganlah bersedih sahabatku, kerana hidup ini tidak pernah menjanjikan jalanan yang sama buat semua. Segalanya berbeza, dan perbezaan itulah warna-warni dunia.

Apalah indahnya kehidupan jika segalanya sama setiap masa, bukan?

Benar, bukan mudah mendidik hati menerima pasrah segala ketentuan. Amat sukar memujuk diri untuk akur dan redha pada segala ketetapan. Sememangnya Allah mencipta manusia memiliki jiwa bersulam emosi dan perasaan yang dalam. Yang tidak terjangkau oleh akal dan fikiran.

Namun, sepedih mana pun laluan kita, tabahlah. Sebesar pun sengsara kita, harunglah. Sabar itu tidak tergambar manfaat dan ganjarannya. Allah memilih kita menerima ujian sebegini kerana Allah tahu kita mampu. Itu anugerah, sahabatku! Bersyukurlah!

Ingat janji Allah. Dia tidak akan memungkiri. Pegang erat segala ajaran-Nya, pasti kita tidak tersungkur. Apabila ujian itu kita terima sebagai anugerah, tentu kita akan redha melaluinya. Biar seperit mana sekali pun, kita pahatkan keyakinan di lubuk hati yang paling dalam, bahawa Allah itu ada. 

Allah itu dekat. 

Sangat dekat. 

Mohonlah. 

Berserahlah, sahabatku. Kerana engkau dan aku adalah hamba-Nya yang satu.

No comments:

Post a Comment