Wednesday, February 27, 2013

Luar Duga

Tiba-tiba, di luar kebiasaan yang biasa, hujan mencurah-curah turun dengan lebatnya selama tiga hari tiga malam bermula Ahad lalu. Bukanlah ia terlalu pelik, tetapi bulan Februari yang lepas-lepas jarang menerima curahan hujan seperti ini. Maha Suci Allah, memberi rasa senyaman ini pada musim yang selalunya sangat panas. Khabarnya, beberapa tempat telah pun dilanda banjir. Semoga rahmat Allah turut mencurah-curah kepada seluruh umat dunia laksana lebatnya hujan itu.

Acara Merentas Desa yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ini di SMK Kampong Chengal, terpaksa ditunda ke Khamis minggu hadapan dek cuaca yang tidak begitu sesuai ini. Molek juga, kerana ada banyak agenda yang belum selesai dalam tugasan harian saya, dapatlah saya selesaikan tanpa penangguhan. Ya, apa yang berlaku sentiasa sahaja ada nilai positif. Saya kesampingkan sahaja yang negatif-negatif itu kerana saya membina hidup di dunia ini untuk kebahagiaan berpanjangan. Saya mahu meminimumkan segala bentuk tekanan hidup. Insya Allah.

Tinggal tiga minggu lagi persekolahan sebelum cuti pertengahan penggal pada 22 Mac ini. Banyak benar perkara yang perlu saya teliti sebelum menjelang cuti itu. Ada juga rasa tertekan dengan beberapa perkara yang tiba tanpa disangka, tetapi saya terima dengan redha. Menjadi guru seperti saya ini, perlu sentiasa bersedia menerima pelbagai arahan dan perintah, biar pun kadang-kadang ia bukan berkaitan bidang tugas yang telah diamanahkan. Enggan meletakkan diri dalam tekanan, itulah saya. Lalu segalanya saya galas selagi saya mampu meski pun ia langsung tidak tertulis sebagai tanggungjawab saya. Saya terima, dengan senyuman jua. Kerana saya tahu, sisi positifnya sentiasa menyala-nyala dan memberi saya sejuta pengalaman. Alhamdulillah.

Maaf juga saya pinta kepada yang berkenaan, kerana ada ketikanya tatkala beban itu terasa sangat berat, saya tega membiarkan ia tidak terpikul. Bukanlah saya makhluk yang penuh dengan kekuatan, melainkan kelemahan jua yang ada. Saya tahu, ketidakmampuan saya melangsaikan sesetengah perintah adalah kerana saya ini tidak begitu arif dengan tugasan itu. Tentunya, akan ada sahabat lain yang lebih mampu menggalasnya.

Aduhai, jauh sudah saya merapu. Cuaca hari ini sedang-sedang saja. Nyaman, tiada hujan.

No comments:

Post a Comment