Ingin juga saya berkongsi tentang apa yang saya peroleh daripada bacaan saya.
Seringkali, kita melihat kekayaan manusia pada zahirnya sahaja. Apabila kita nampak seseorang yang berkereta besar, memiliki rumah besar, memakai pakaian berjenama, beg dan kasut berjenama, maka kita pun berkata, "Oh! Kayanya dia!"
Ramailah antara kita yang seronok digelar kaya. Sibuklah kita membeli segala yang besar dan berjenama, walaupun terpaksa berhutang piutang.
Menurut Pn. Hjh Rohani Datuk Mohd Shahir dalam bukunya "Bijak Mengurus Wang", ukuran kekayaan seseorang itu di dunia bukan dengan melihat penampilan luaran sahaja tetapi ada sifirnya.
Jumlahkan semua wang simpanan yang ada dan bahagikan dengan perbelanjaan yang perlu untuk menampung keperluan keluarga dalam sebulan. Contohnya, Encik Harun memiliki simpanan sebanyak RM35000 dan keperluannya untuk sebulan ialah RM7000. Maka nisbah kekayaannya ialah 5. Maksudnya di sini, jika apa-apa terjadi kepada Encik Harun yang menyebabkan beliau tidak mampu bekerja dan memperoleh pendapatan, keluarganya hanya boleh bertahan dengan gaya hidup yang sama selama lima bulan sahaja.
Nampak seperti RM35000 itu sudah banyak, tetapi rupa-rupanya belum mampu menampung keperluan keluarganya untuk tempoh yang lama.
Julat yang sihat mestilah lebih besar daripada sebelas bulan. Dalam tempoh sebelas bulan itu, ruang untuk mencari penyelesaian kewangan dalam keluarga yang ditinggalkan lebih luas dan terbuka. Sekurang-kurangnya, Encik Harun akan berasa lega biarpun musibah menimpanya kerana persediaannya mencukupi.
Banyak lagi yang menarik saya temui dalam buku ini. Sama-samalah kita mengiktibari.
No comments:
Post a Comment