Sunday, December 01, 2013

Hujung

Disember.

Kita kini sudah berada di penghujungnya. Musim yang menjanjikan seribu kedinginan dan sejuta keasyikan tiba lagi, menandakan hujung sebuah tahun, menuju satu dasawarsa, yang bakal menjadi satu abad.

Tiada apa yang perlu disedihkan. Walaupun dingin ini mengheret sepi bermukim di sudut hati, tetapi kesepian itu teman yang tidak pernah jauh. Malah ia mendakap erat seluruh tubuh sehingga tiada lagi rasa rindu pada sebuah keriuhan.

Apalah sepi. Apalah sunyi. Apalah sendiri. Saya sudah sangat betah.

Dalam mengisi perjalanan menuju masa depan, saya tidak lagi mencari harga sebuah dunia. Terasa janggal sudah untuk memburu dan terus memburu sesuatu yang tidak mampu saya bawa ke sana. Cukuplah sekadar ini.

Jika nanti saya tiada, tiada apa yang akan saya risaukan tentang dunia yang saya tinggalkan. Saya tidak perlu risau tentang anak-anak tidak beribu kerana saya tidak memiliki anak-anak itu. Saya tidak perlu risau tentang harta benda yang akan jadi rebutan kerana saya tidak memiliki harta benda itu. Saya tidak perlu risau suami saya tidak berteman kerana saya tahu penyelesaiannya akan bertamu. Saya tidak risau apa-apa pun tentang itu. Tentang dunia yang ditinggalkan.

Apa yang saya perlu risau, ialah jika gagal menjawab segala persoalan daripada Tuhan. Jika amal tidak kecukupan. Jika persemadian saya tidak tenang. Jika lambaian syurga Tuhan tidak kedapatan. Astaghfirullahalazim!

Kata ustaz, bila kita mati hanya tiga perkara yang tidak akan putus. Doa anak soleh saya tidak punya. Sedekah jariah saya tidak sebanyak mana. Ilmu yang memberi manfaat pun tidak sempurna.

Lalu layakkah saya menjadi tetamu-Nya?

Saya kini menjangkau empat puluh dua tahun. Keluarga sebelah ayah, ramai yang mati muda. Paling awal, arwah pakcik Mat yang meninggal pada usia 43 tahun. Arwah Pakda Mud pula pada usia 45 tahun. Kedua-dua mereka mati mengejut. Dan arwah Mok Ma' meninggal pada usia 47 tahun kerana barah. Adakah saya yang akan menjadi pemula sebuah cerita tentang mati dalam keluarga saya?

Saya mahu bersedia. Tetapi saya sering alpa.

Astaghfirullah.

No comments:

Post a Comment