Bayangkan kita berada pada tahun 1923, iaitu sembilan puluh tahun yang lalu. Latar tempatnya ialah Batu 8, Jalan Kuala Krai, tempat saya berada kini.
Tentunya, rumah kami hanyalah sebuah rumah papan dan ibu bapa saya tentunya bekerja sebagai petani, atau lebih tepat penanam padi. Suasana kampung pada waktu itu sangat tenang. Tiada elektrik, tiada talian telefon. Tiada kereta yang banyak, juga tiada kes-kes jenayah yang menakutkan. Yang ada, hanya ketenangan.
Seawal pagi, anak-anak kecil akan berebut-rebut mandi air perigi di tepi rumah yang airnya sesejuk air batu. Menggigil-gigil mereka berlari ke atas rumah untuk bersolat Subuh dan seterusnya menanti sarapan. Si ibu tidak punya banyak pilihan. Sarapan selalunya cuma pulut gaul kelapa berlauk ikan masin ditemani kopi o. Atau mungkin nasi putih berteman gulai ikan tongkol yang dikenali nasi berlauk. Mungkin ada sepiring pisang rebus sebagai hidangan tambahan.
Selesai sarapan, anak-anak akan berjalan beramai-ramai ke sekolah. Sekolah atap yang tiada dinding pun. Guru-guru cuma mengajar sukatan pelajaran biasa-biasa sahaja kerana belum lagi diperkenalkan sukatan yang rasmi.
Kaum bapa seterusnya akan turun ke kebun untuk bercucuk tanam dan bertani. Kaum ibu pula, meneruskan tanggungjawab di rumah. Mengangkut air untuk membasuh kain baju, mengemas rumah dan memasak. Menjelang tengah hari, apabila semua pulang, mereka akan sama-sama menikmati makan tengah hari yang selalunya berlaukkan ikan goreng, masak lemak pucuk paku dan sambal belacan serta ulam-ulaman. Ayam dan daging menjadi makanan mewah yang hanya mampu mereka nikmati kala hari raya atau kenduri kendara.
Petang tiba, masing-masing keluar bersantai di pondok-pondok atau bangsal-bangsal yang dibina berhampiran. Bertukar-tukar cerita, berbual-bual santai sambil mengeratkan silaturrahim menjadi agenda yang sangat menyeronokkan. Anak-anak kecil akan bermain dan berlari-lari di sekitar sambil dipantau kaum ibu. Anak-anak dara pula tentunya seronok bersembang sesama mereka sambil mencari idea untuk menjahit dan mengait, mungkin juga belajar memasak menu baru sesama sendiri.
Waktu itu, kala usia dara menjengah 16 tahun, dan teruna 20 tahun, mereka sudah sesuai untuk berkahwin. Tiada masalah sosial yang berlaku kerana mereka sudah punya tanggungjawab seawal usia itu.
Usai Maghrib, makan malam dan solat Isya', tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Suasana gelap yang cuma berteman cahaya pelita menimbulkan kantuk yang cepat. Rasanya, jam sembilan malam semua sudah hanyut dibuai mimpi. Bukan ada televisyen untuk ditonton. Radio pun jarang-jarang yang mampu memiliki.
Indah rasanya jika waktu itu dapat dikembalikan. Waktu yang tidak dikotori dengan segala noda dan dosa dunia. Tiada kes ragut, tiada kes rogol, tiada kes bunuh. Semua aman dan tenang kerana kehidupan dilandaskan sepenuhnya pada ajaran agama. Mungkin tidak sempurna, tetapi lebih baik dari setiap gejala yang merisaukan pada masa kini.
Apa pun, sejarah tidak mungkin berulang. Apa yang dilalui pada hari ini, itulah kenyataan. Suka atau tidak, itulah dunia kita. Sama-sama kita mengusahakan dunia yang aman dan tenteram.
No comments:
Post a Comment