Hari ini sudah tiga puluh empat hari saya bercuti hujung tahun. Terasa sangat bahagia dan saya menikmati rehat yang berbeza kali ini. Apa tidaknya, saya tidak perlu lagi bergelumang dengan beratus-ratus keping skrip jawapan yang memerlukan sejuta kesungguhan dan perlu dilangsaikan dalam masa dua puluh hari cuma. Ia sungguh memenatkan dan membebankan. Tahun ini, saya dapat merasai kenikmatan cuti selepas lima tahun kehilangan rasa itu.
Beginilah realitinya. Menjadi guru, cuti-cuti begini amat dihargai. Inilah sahaja masa yang ada untuk segala urusan yang perlu. Waktu bekerja, jangan haraplah boleh ke mana-mana. Mahu ke bank dan tabung haji pun sukar mencari masa. Jangankan mahu melancong! Cuti rehat kami cuma tujuh hari setahun, itu pun susahnya untuk diluluskan, hanya Tuhan Maha Tahu. Senang cerita, kalau tidak terdesak benar, saya tak rela mengadap Pengetua memohon cuti itu. Karenahnya memang menyakitkan hati!
Pun, walaupun bercuti, sekolah tetap saya kunjungi. Dalam seminggu sekurang-kurangnya sehari saya akan berada di sekolah. Banyak juga kerja yang perlu dibereskan walaupun bercuti. Cuma tidak terikat dengan waktu kerja sahaja, saya boleh pergi dan pulang pada waktu yang saya suka.
Ajaibnya, masih ada makhluk-makhluk yang sesedap rasa menuduh para guru 'makan gaji buta' pada hujung tahun ini. Sedih juga, walaupun saya sedar sangat kata-kata itu keluar dari mulut orang-orang yang tak berapa nak sekolah. Kasihan kami, waktu kerja tak boleh nak cuti, bila diberi cuti dianggap begitu pula. Mungkin bagi mereka, guru-guru ini tiada perasaan. Boleh sahaja dikata sesuka hati. Tak mengapalah. Kami redha saja.
Baki tiga belas hari lagi cuti yang ada ini, akan saya manfaatkan sebaiknya. Jumaat ini kami akan bergerak ke Cameron Highlands (lagi?) secara rombongan untuk berehat semalaman di sana. Sabtu kami ke Simpang Pulai untuk kenduri dan akan bermalam di Taiping sebelum bertolak pulang pada pagi Ahad. Doakanlah kami selamat. Ini kali pertama kami bercuti beramai-ramai - bersama keluarga sebelah suami.
No comments:
Post a Comment