Alhamdulillah, rezeki saya kali ini. Bukanlah bermakna saya ini yang terbaik dalam kalangan guru-guru sekolah saya, cuma mungkin khidmat saya pada tahun lalu diberi perhatian. Untuk kali kedua dalam tempoh enam belas tahun bergelar guru, saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2012, setelah menerimanya untuk kali pertama pada tahun 2004 sewaktu berkhidmat di SMK Kuala Krai. Bersama-sama saya, empat orang lagi penerima yang terpilih iaitu Cikgu Wan Noraini, Cikgu Normawati, Cikgu Suhaide Asmade dan Pn. Roslina (PAR). Beberapa bulan lalu, APC untuk kategori DG48 telah dilangsungkan juga dan tiga orang guru terpilih iaitu Cikgu Hashimah, Cikgu Adnan dan Cikgu Zawawi. Bermakna, lapan orang kakitangan SMK Kampong Chengal diberi peluang menikmati anugerah ini.
Sebenarnya, apa yang kami terima hanyalah sekeping sijil dan wang saguhati sejumlah RM1000. Pun ia menjadi satu kenangan indah kerana membuktikan penat lelah dan komitmen kami para guru dihargai.
Lalu, apa yang mahu saya lakukan dengan wang itu? Simpan sahajakah?
Kali ini saya berasa ingin mengabadikannya dalam bentuk barangan berharga. Anugerah ini amat saya syukuri jadi saya mahu ia ada bersama-sama saya setiap masa. Jika pada 2004 dulu wang RM1000 itu saya laburkan dengan membeli set meja makan kerana kami baru sahaja berpindah ke rumah sendiri, kali ini saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan.
APC itu saya terma pada bulan September lalu. Rabu lepas baru saya mengeluarkan wang itu dan menuju ke kedai emas di Ketereh. Sebentuk cincin belah rotan seberat 4.4 gram menjadi pilihan saya, berharga RM645. Masih berbaki lagi wang itu sebanya RM355 dan saya berhasrat menggunakannya untuk seutas jam baru.
Hari ini, saya ke Kota Bharu. Di pasaraya Pantai Timur hati saya tertarik dengan seutas jam tangan berjenama B.U.M berharga RM323.10 selepas diskaun 10 peratus. Maka selamatlah wang RM1000 itu, yang tinggal cuma RM31.90.
Semoga cincin dan jam itu sudi menjadi teman saya sampai saya tua. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment