Saya selalu berasa letih terutama sewaktu datang bulan. Selain kesakitan yang mendera, saya turut dilanda kelesuan yang tidak terhingga. Hinggakan melipat kain dan menyimpannya di dalam almari pun boleh membuat saya tercungap-cungap. Apalagi berdiri lama untuk memasak. Kerana itulah jika saya mendaki anak tangga untuk ke kelas di tingkat empat, semput saya tidak mampu saya sembunyikan.
Sabtu lalu saya ke klinik untuk memeriksa hb count saya. Doktor bertanya kenapa? Saya kata saya kerap keletihan. Katanya, letih tidak semestinya disebabkan hb rendah. Mungkin juga kerana tidur yang tidak cukup. Ooops! Tentang tidur, saya tiada kompromi, doktor!
Sebentar tadi, doktor tersebut menelefon saya untuk memaklumkan keputusan ujian hb count itu. Nada suaranya jelas kebimbangan.
"Adik, hb adik memang rendahlah. 7.8 sahaja. Julat normal 12-16. Kenapa macam ni ya?"
Saya tenang kerana saya sudah menjangkakan keputusan sebegitu. Dia meminta saya mencari punca dengan merujuk kepada doktor di HUSM. Kebetulan tengah hari nanti saya ada temujanji di klinik O & G di HUSM. Lalu dia meminta saya membawa keputusan itu ke sana. Terima kasih doktor.
Jika tidak kerana pembedahan yang bakal saya lalui tidak lama lagi, saya tidak kisah sangat tentang hb count ini. Benar ia rendah tanpa sebab, tetapi saya sentiasa beringat dengan kekurangan ini kerana itu saya jarang bekerja berat. Saya banyakkan rehat hingga rumah saya berselerak pun saya tidak pernah mahu peduli. Jika saya mengemas, mengahnya berlanjutan hingga ke malam.
Tetapi, bagaimana mungkin saya boleh dibedah jika hb cuma seciput itu? Masih segar dalam ingatan saat saya bersedia di wad untuk pembedahan serupa pada tahun 2006 lalu. Apabila keputusan hb saya cuma 8, doktor tidak mahu meneruskan pembedahan kerana risiko nyawa yang perlu ditanggung. Beliau mengarahkan saya pulang, dan datang kembali selepas tiga minggu berbekalkan ubat-ubatan yang pelbagai. Dalam tiga minggu itu, menu saya hanyalah hati, paru-paru, limpa dan sayur bayam selain ubat-ubatan yang dibekalkan. Alhamdulillah, selepas tiga minggu, hb saya meningkat kepada 11.5 dan barulah doktor berani membawa saya ke bilik bedah.
Itu kisah 7 tahun lalu, saat saya masih muda. Kini saya sudah empat puluhan dan saya sangsi masih mampukah saya meningkatkan hb saya sebelum pembedahan dilakukan?
Doakanlah saya. Kebimbangan saya kadang-kadang melampau-lampau sehingga saya terfikir, mungkinkah hb saya rendah kerana saya ini menghidap leukemia?
Takut itu normal. Namun melawan ketakutan itu payah sungguh.
Sekali lagi, doakanlah saya.
No comments:
Post a Comment