Hari ini berlangsung mesyuarat guru kali pertama 2014. Hati saya bergegar menahan rasa saat manual pengurusan 2014 dibelek helai demi helai.
Tertera nama saya sebagai guru kelas selepas sekian lama saya tidak menjawatnya!
Bukan saya mahu menolak tugas tetapi tidakkah jawatan yang sedang saya pegang ini memerlukan komitmen yang sangat tinggi dan bakal menyukarkan saya menjalankan tugas guru kelas dengan baik? Mahu sahaja saya menjerit, tetapi bimbang dikatakan keterlaluan.
Lama saya memikir, mencari satu penyelesaian. Saya sedar kemampuan diri saya kerana itu saya perlu menguraikan kekusutan yang tiba-tiba ini. Ya Allah, beri saya kekuatan!
Mungkin ia nampak kecil di mata ramai, tetapi sangat besar buat saya. Mana mungkin saya mampu memikul tugas sebagai setiausaha peperiksaan dan juga setiausaha kecemerlangan akademik pada masa yang sama saya perlu menjaga kelas? Kesemua jawatan itu adalah tugas yang berterusan sepanjang tahun, yang tiada titik noktahnya. Kesemua tugas itu memerlukan ruang pada waktu persekolahan yang tidak mungkin saya bawa pulang ke rumah. Kesemua tanggungjawab itu serentak! Sayang, saya bukan robot. Saya hanya wanita biasa yang kudrat saya ada hadnya.
Saya memerhati nama-nama guru lain, yang saya kira sedikit ringan tugas mereka tetapi tidak menjadi guru kelas.
Alhamdulillah, saya menemui satu nama yang sesuai. Kali ini, saya memohon dari Allah agar memberi saya keberanian dan kekuatan untuk berdepan dengan orang yang berkenaan. Semoga dia menerima permohonan rayuan saya untuk digugurkan daripada jawatan guru kelas itu dan menggantikan dengan calon yang bakal saya kemukakan nanti.
Allah, beri saya kekuatan itu!
No comments:
Post a Comment