Thursday, December 05, 2013

Rawatan

Selasa dua hari lepas, saya ke klinik OnG HUSM. Saya tiba awal, kaunter pun belum buka. Pesakit pula tak ramai mana hari ini. Boleh nampak betapa cerianya misi dan doktor kerana bilangan pesakit yang sangat sedikit. Selalunya jam 5.00 atau 5.30 baru selesai, tetapi hari ini jam 4.00 mereka sudah boleh pulang.

Selepas setengah jam menunggu, saya dipanggil ke bilik doktor. Mengiringi saya ialah seorang doktor pelatih lelaki yang sudah pun menemubual saya sebelum dipanggil tadi.

Di depan doktor, pelajar itu membentang laporannya tentang sejarah perubatan saya. Dia agak gugup dan bahasa inggerisnya silap sedikit-sedikit. Mujur doktor wanita itu sangat berhemah dan tidak garang melulu. Yang salah, dibetulkan.

Doktor Mazlin Jamal Abdul Nasir. Itu nama yang tertera pada cop rasminya. Beliau sangat teliti dan baik sekali. Saya berpuashati dengan layanan dan rawatan juga jawapan kepada segala soalan yang saya timbulkan.

Ringkaskan cerita, tiada pembedahan akan berlaku dalam jangka masa terdekat ini. Walaupun itu sahaja jalan yang ada, kondisi cyst saya tidak semudah itu untuk dibuang. Saya terima keputusan doktor dengan tenang dan penuh redha.

Empat jenis ubat dibekalkan untuk memberi kesan yang baik buat kesihatan saya. Untuk endometriosis saya, pil Ravimed menjadi teman penawar. Untuk low hb count pula, folic asid, ferrum dan vitamin c dibekalkan. Saya tahu, kita hanya berikhtiar. Hanya Allah yang akan memberi kesembuhan.

Saya tidak akan pernah berhenti berdoa untuk itu.

No comments:

Post a Comment