Wednesday, December 25, 2013

Cameron n Taiping

Pagi Jumaat 20hb Disember

Usai solat subuh, saya menanak nasi untuk sarapan pagi. Berlaukkan ikan selar goreng dan telur mata kerbau dicecah kicap, kami menikmati hidangan yang tidak seberapa itu sekadar untuk mengalas perut sebelum meneruskan sebuah perjalanan.

Untuk kali ini, kami bergerak beramai-ramai. Lima buah kereta tersusun untuk perjalanan kali ini. Kereta kami, Toyota Camry DAB 1881, kereta Norhafizah, Perodua Myvi QMQ 1979, kereta Norulashikin dan suami, Toyota Vios DBK 7197, kereta Fakhruddin dan isteri, Proton Persona AHC 779 dan kereta Norul Atiyah dan suami, Proton Perdana PHF 1010. Tiba di kaki bukit Cameron, PHF 1010 beredar ke Simpang Pulai meninggalkan kami meneruskan perjalanan mendaki Cameron.

Alhamdulillah, perjalanan sangat damai, dan saya lena diulit putaran indah roda-roda kereta.

Sekitar jam satu tengah hari, Cameron Highland kami jejaki. Tempat menginap kami terletak di Jalan Jasar berhampiran pekan Tanah Rata. Sebuah apartmen sederhana tiga bilik, bersedia memberi ruang untuk kami tujuh belas orang (termasuk Norul Anisrashida dan suami yang tiba dari Kuala Nerang) berehat dan melenakan diri semalaman. Angin sejuk Cameron sememangnya menggigit hingga ke tulang hitam apabila malam menjelma. Tidur saya berbungkus selimut dua lapis tetapi masih digigit sejuk yang tajam!

Petang, malam dan pagi Sabtu, kami meronda-ronda di sekitar Cameron Highland sebelum bertolak ke Ipoh untuk majlis kenduri akikah cucunda Muhammad Hazeeq Isa. Jam 1.15 tengah hari kami tiba di rumah mentua Atiyah di Kampung Tersusun Sengat. Hidangan yang disediakan sungguh lazat dan kami menikmatinya dengan berselera sekali.

Jam 3.30 petang, kami bergerak ke Taiping untuk bermalam di sana pula. Fakhruddin telah pun menempah rumah inap yang sangat selesa untuk kami berlima belas. Norulashikin dan suaminya tidak bersama-sama kami di sini kerana terpaksa pulang ke Johor Bahru untuk meneruskan tugas mereka di sana.

Kepenatan semuanya malam ini. Kak Rohaizan memasak nasi sementara Fakhruddin dan Zaki keluar membeli lauk pauk. Sup daging, ayam percik, ayam goreng dan bekalan lauk pauk dari tempat kenduri tadi menjadi santapan kami. Malangnya, nasi yang dimasak tidak menjadi. Ia mentah separuh dan lembik separuh. Apa pun, itu rezeki kami malam ini dan saya menelan saja. Moga tiada kemudaratan.

Tidur malam ini tidak lagi diteman kesejukan.

Pagi Ahad yang indah, kami bersiap-siap untuk pulang. Selesai sarapan nasi lemak yang dibeli di gerai berhampiran, kami berkemas dan sedia untuk pulang. Kami menuju ke Trong dahulu untuk meninggalkan Norhafizah di sana sebelum bertolak pulang sekitar jam 11 pagi.

Alhamdulillah, selepas hampir tujuh jam perjalanan, kami selamat tiba di rumah kami sekitar jam 5.30 petang. Selesailah sebuah perjalanan yang memberi seribu pengajaran.

No comments:

Post a Comment