Berubat itu banyak kaedah dan caranya. Banyak juga nama alternatifnya. Selain allopathy yang diterima umum seluruh masyarakat dunia, ada juga perubatan homoeopathy, perubatan berasaskan herba, perubatan Islam dan macam-macam lagi.
Apa pun jenisnya, kuasa penyembuh hanya terletak di tangan Tuhan. Kita berikhtiar cuma. Sekadar itu, selebihnya berdoa dan berserah.
Dalam masyarakat Melayu, apabila perubatan moden di hospital oleh para doktor tidak lagi mampu memberi keyakinan buat mereka, sesegera itu mereka mencari alternatif. Bomoh atau ustaz diburu, mencari penawar kesakitan yang ditanggung.
Saya tidak memandang enteng peranan perubatan alternatif ini. Ilmu mereka juga datang daripada Allah dan tentu sekali asas mereka menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran ada kemujaraban yang berganda-ganda. Seringnya, ubat mereka hanyalah sebotol air yang dibaca dengan ayat-ayat suci. Air itu digunakan untuk disapu pada tempat sakit, dan seterusnya diminum.
Cuma, saya terfikir sendiri. Jika kita yang sakit ini membuat sendiri air penawar itu tidak menjadikah? Mengapa perlu pergi jauh-jauh ke pelosok dunia mana untuk mencari air penawar itu sedangkan doa kita juga Allah dengar?
Lalu, praktiknya berlaku malam Jumaat lalu.
Saya yang sakit ini tidak mahu hilang pergantungan pada Allah. Saya yakin dengan janji-Nya. Mohonlah kepada-Ku, nescaya Aku memperkenankan.
Tiga botol air mineral yang sudah kosong saya isi dengan air zamzam. Seusai solat Maghrib, saya bersolat hajat. Saya berdoa. Dan saya membaca Quran. Botol-botol air zamzam itu saya susun di hadapan saya. Niat di hati saya, biarlah ia menjadi penawar dengan izin Allah.
Doa saya sesungguh hati, sepenuh rasa, kerana ia datang dari hati seorang pesakit yang benar-benar mahukan kesembuhan. Semoga Allah mengizinkan segalanya.
Apabila suami saya pulang, saya memintanya turut meminum air zamzam itu. Kata saya, saya cuma bacakan Yaasin, tidaklah sampai 30 juzuk Quran. Dia menambah, "sarang anai-anai yang makan Quran 22 juzuk tak letak ke?"
No comments:
Post a Comment