Saya (dan kita) pun akan meninggalkan 2013 untuk menyambut ketibaan 2014, dan merungkai satu persatu misterinya.
Kelihatannya, tahun baru ini cabarannya sangat banyak. Meneruskan khidmat di SMK Kampong Chengal untuk tahun yang keenam, saya berasa senak sedikit. Apa pun, saya tidak mahu peduli dengan beban yang tidak berkesudahan kerana objektif saya ialah menyumbang tenaga dan kebolehan demi memartabatkan sebuah profesion yang amat saya sayangi ini. Semoga seri SMKKC tidak akan terus pudar bersama masa. Saya akan mencuba sehabis baik.
Kehidupan saya pula kelihatannya tidak akan banyak berbeza. Segalanya masih sama, masih di sisi insan-insan yang sama. Cuma mungkin prestasi kendiri wajar saya tingkatkan kerana masa yang berbaki sudah tidak sebanyak mana.
Melangkah ke usia empat puluh dua tahun, saya bakal menjadi lebih berhati-hati dalam segenap perkara. Saya mahu tiada hati yang terluka juga tiada hati yang akan melukakan. Kedamaian sejagat, itu impian saya.
Mungkin hidup yang akan saya teruskan ini bakal diwarnai dengan pelbagai suka duka. Saya bersedia untuk itu, dengan doa dan harapan agar Allah mengizinkan saya terus berbakti di dunia ini dengan rahmat dan kasih sayangnya.
Buat semua, sama-sama kita sambut tahun baru ini dengan sebuah harapan yang mampu kita realisasikan. Jadikan dunia ini lebih aman dan perpaduan itu bukan angan-angan.
No comments:
Post a Comment