Ia berulang lagi. Tidak mampu saya gambarkan kesakitan yang saya alami. Rupa-rupanya semakin tua semakin sensitif jadinya perut saya ini.
Di rumah ma, saya menikmati ayam goreng crazy crunch yang kami beli di kfc kok lanas. Sebenarnya saya seronok makan ramai-ramai dengan adik beradik saya. Tak kisahlah makan apa, mesti jadi sedap tak terhingga bila dikongsi ramai-ramai. Adik Zahidah yang comel itu kata dia belum rasa lagi crazy crunch kfc. Kebetulan pula hari ini hari jadi adik Muhammad yang hensem. Dengan kesudian adik Ismah yang jelita, kami pun sama-sama ke Kok Lanas untuk berbelanja.
Alhamdullillah, saya kekenyangan.
Jam 7.45 malam, suami menjemput saya di rumah ma untuk keluar makan. Kami memilih restoran D'Harmony untuk menjamu selera. Saya cuma memesan char kuey tiaw dan air oren segar.
Seterusnya, kami pulang ke rumah. Saya mengantuk sungguh. Jam 10.30 saya sudah pun lena.
Jam 2.06 pagi, saya terjaga. Perut saya sakit sungguh. Rasanya sangat tidak selesa dan dipenuhi angin. Puas saya mengubah posisi dan kedudukan untuk mengurangkan sakit itu tapi tidak berhasil. Suami saya membantu mengurut dan menyapu minyak tetapi tidak berkesan.
Saya berpeluh-peluh menahan rasa. Tidak tahu apa yang tidak kena dengan makanan yang saya ambil sebelum tidur tadi. Kerana char kuey tiaw kah? Atau kfc?
Saya muntah dua kali. Rasa lemah seluruh badan. Jam sudah menghampiri empat pagi tetapi sakit saya masih tidak hilang. Kasihan suami saya, terpaksa menahan kantuknya kerana sakit saya ini.
Mujurlah sekitar jam lima, sakit itu mengurang apabila angin dapat saya keluarkan. Saya lapik selimut tebal di bawah pinggang untuk membolehkan angin bergerak keluar. Alhamdulilah, saya mampu lena seketika sebelum azan subuh berkumandang.
Usai solat, saya sambung lena saya hingga jam lapan pagi. Janji saya pada suami untuk memasak nasi goreng sebagai sarapan pagi ini tidak mampu saya tunaikan. Suami saya yang sangat memahami itu keluar membeli sarapan di luar. Nasi berlauk ayam gulai untuk saya dan nasi kerabu untuk dia.
Seharian saya cuma berehat. Badan rasa lemah sungguh. Mujur suami saya ada jemputan kenduri hari ini jadi saya tidak perlu memasak. Saya panaskan apa yang ada sahaja untuk hidangan tengah hari saya. Ikan bawal goreng yang ada dalam peti beserta telur masin yang sudah direbus semalam menjadi santapan.
Menjelang malam, kesakitan saya sudah reda. Kami keluar menikmati tom yam di restoran Azwa Seafood, Ketereh.
Sekarang saya sedang menyaksikan Masterchef Malaysia All Stars sementara menantikan rancangan walimatul urus Che Ta dan Zain. Saya sudah pun membeli Gaviscon tadi sebagai persediaan jika perut saya meragam lagi malam ini.
No comments:
Post a Comment