Tuesday, December 31, 2019

Dekad

Hari ini hari terakhir tahun 2019, dan esok menjelmalah tahun terakhir dalam dekad kedua alaf ini. Bagai baru sahaja lagi riuh rendah tentang Y2K, rupanya sudah dua puluh tahun ia berlalu.

Alhamdulillah, terlalu banyak yang Allah kurnia dan sungguh saya mensyukuri segalanya. Dikelilingi keluarga, sanak saudara dan sahabat yang baik-baik, menjadikan hidup saya sentiasa berwarna-warni dan ceria. Sesekali Allah menguji, saya tahu itu tanda kasih-Nya dan peringatan agar saya tidak terus alpa dengan kefanaan dunia.

Mengimbas kisah pada minggu terakhir ini, terasa sudah tamat segala cuti apabila bermula Sabtu saya perlu melunaskan tanggungjawab sebagai guru. 

Sabtu 28 Disember kami bermesyuarat di H Elite Design Hotel, Tunjong sehari suntuk. Jam 5.32 petang baru saya pulang. Ahad pula saya berada di sekolah untuk menyelesaikan beberapa perkara sementara suami saya pula bermesyuarat sehari suntuk, seperti saya semalam. Pulang saya menaiki Grab dan tentulah menuju ke rumah ma.

Isnin dan Selasa pula acara pendaftaran murid berlangsung dan esok persekolahan bermula. Tamatlah cuti selama empat puluh hari yang dihadiahkan kepada kami.

Tiba 2020 nanti, saya mengharapkan agar sinar dan cahaya sentiasa menemani kita dan menyuluh jalan-jalan yang kita lalui. Jika tersadung sesekali, bingkaslah kerana di hadapan sana masih banyak yang perlu diterokai.

Semoga Allah merahmati.

Saturday, December 28, 2019

Sorrow




Aku?

Orang-orang di sekitar mendatangiku,
memuntahkan duka dan rasa sakitnya.
 
Aku menerima dengan tangan terbuka,
menawarkan pelipur dan rasa bahagia.     

Aku melakukannya sambil menutup isi dadaku sendiri,
yang robek terkoyak-koyak sepi.

Friday, December 27, 2019

Doktor

Apabila mereka mengeluarkan kenyataan tentang elaun kritikal para doktor di negara ini akan dimansuhkan bagi lantikan 2020, saya benar-benar tersentuh dan kecewa. Terlalu sedih sebenarnya kerana mereka seperti tidak tahu di mana letaknya nilai doktor itu.

Bukanlah wang ringgit itu terlalu penting untuk menilai penat lelah mereka yang bekerja tanpa henti setiap hari, tetapi sekurang-kurangnya itulah sedikit penghargaan buat insan-insan yang tugasnya berkait dengan nyawa manusia dan penatnya usah cerita, sehingga kebajikan diri dan keluarga sudah berada di nombor yang entah keberapa.


Cadangan ini sungguh tidak berperikemanusiaan.

Saya begitu dekat dengan bidang ini kerana kawan-kawan rapat saya ramai yang menjadi doktor, malah saya sendiri pun hampir meletakkan diri dalam bidang ini tetapi pada saat-saat akhir saya memilih bidang lain yang lebih saya gemar dan minat. Saya tahu antara sebabnya ialah saya tidak mampu dan tiada kekuatan. Melihat luka kecil pun saya gementar, belum lagi melihat operasi yang lebih kritikal. Menyedari itulah saya rela hati menolak tawaran itu dan membiarkan minda saya bergelumang dengan angka dan nombor yang lebih indah di jiwa saya. Mungkin saya cuma terikut-ikut dengan trend semasa semasa mletakkan perubatan di tempat pertama pilihan kursus saya dahulu. Alhamdulillah saya cepat menyedari kekurangan diri.

Kerana itulah saya cukup kagum dan sangat menghormati doktor-doktor yang begitu komited melaksanakan tugas mulia ini. Hanya mereka yang tahu di tahap mana letaknya kesungguhan dan kecekalan mereka berhadapan dengan pelbagai karenah pesakit. Sungguh saya tidak mampu begitu.

Lalu apabila tugas berat mereka ini bagai mahu dilekehkan dengan menarik balik elaun yang tidak seberapa itu, terasa benar rendahnya pihak kerajaan memandang mereka dan saya kecewa. Belajar susah, kerja penat, rehat pun sedikit, cuti pula jarang-jarang, merungut tidak sekali - kenapa masih enggan menghargai?

Tolonglah memandang mereka dengan pandangan semulia tugas mereka.

Thursday, December 26, 2019

Menabung

Saya bukan apa, rasa hairan je dengan macam-macam kaedah menabung yang saya baca di media sosial.

Maksud tersiratnya, orang kita ini susah sangat untuk menabung sehingga perlukan pelbagai cara supaya terjadinya menabung itu.

Pada saya, apa cara pun boleh asalkan niat menabung itu tidak dipesongkan. Jika menabung untuk membeli barang sekolah anak, maka pastikan wang itu benar-benar diguna untuk itu. Jika menabung untuk melancong pun begitulah.



Cara saya pula, saya menabung untuk menabung. Tiada apa-apa tujuan selain menabung. Apabila ada keperluan yang amat mendesak barulah saya gunakan wang itu tetapi jika saja-saja nak berbelanja mewah, tidak sama sekali. Untuk tujuan yang khusus seperti melancong, keperluan asas, insurans dan cukai jalan kereta semuanya sudah ada dalam senarai bajet bulanan. Tidak perlu diasingkan selagi tahu mendisiplinkan diri dalam menggunakan duit gaji. Jangan kata sebab gaji saya besar bolehlah begitu kerana saya hanya seorang guru biasa seperti ramai lagi orang lain.

Duit baki gaji bulan-bulan pula saya biarkan di dalam akaun sahaja dan pada hujung tahun saya boleh menggunakannya tanpa silu. Ketika inilah adik beradik dan anak-anak saudara saya berkumpul jadi bolehlah saya menggunakan wang itu untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan membelikan mereka makanan dan buku-buku. Perasaan seronok itu tidak boleh diganti dengan wang ringgit. Sungguh!

Semoga Allah memberkati rezeki kita dan semua. Amin.

Sunday, December 22, 2019

Seronok

Mood saya swingy sebenarnya, terutama apabila perancangan tidak menjadi. Rasa geram tetapi tak tahu nak marah siapa!

Puncanya, apabila suami saya mengajak saya ke Laloh lagi pada Sabtu (semalam). Dalam plan saya, saya mahu berada di rumah ma sepanjang hari Sabtu itu kerana suami saya ada jemputan kenduri. Kalau tidak, susah saya nak lepaskan diri sebab nak kena masak tengah hari atau kalau beli nasi pun, nak kena teman dia makan. Ya, saya isteri yang terlalu melekat dengan suami. Nak tinggalkan dia memang cukup payah. Jadi bila ada kesempatan begini saya seronoklah!

Tiba-tiba plan saya dikacau. Saya ini memang tidak pandai nak cakap tak mahu atau nak berdolak dalik bila suami ajak ke mana-mana. Suka atau tidak, ikut saja. Apatah lagi bila dia kata abang Awang semakin tidak sihat. Memang sangat tidak patutlah kalau saya mencari alasan untuk tidak ke sana.

Jadi pada pagi Sabtu itu kami turunlah ke Laloh pada jam 8.55 pagi dan selamat sampai pada jam 10.20 pagi. Abang Awang memang nampak begitu letih dan tidak bermaya. Makan pun tidak lalu. Isterinya Kak Wan lah yang setia menjaga dan merawat. Anak-anaknya Azim dan Haikal pula membawa abang ke klinik untuk mencuci luka di kakinya. Selepas mereka bergerak, kami meminta diri untuk pulang.

Mujurlah suami saya memahami keinginan saya untuk berada di rumah ma. Dia menghantar saya ke sana dan dapatlah saya bermesra-mesraan dengan sekalian ahli keluarga yang ada. Seronoknya!

Bersama Aziah dan beberapa orang budak kecil yang nak mengikut, kami ke G Orange untuk membeli Pizza dan KFC. Seronok sebenarnya membelanja keluarga begini. Saya tidak kisah berhabis sekali sekala asalkan dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama mereka. Jika pada dua minggu lepas (9 Disember) saya membelanja McDonalds, kali ini KFC dan Pizza Hut pula. Memang berbaloi-baloi, dan masa sebegini tidak selalu kami nikmati.

Jam 5.45 petang suami saya datang menjemput saya pulang. Tamatlah acara hari ini. Alhamdulillah.

Friday, December 20, 2019

Ikan Percik

Seawal pagi saya dan suami bersiap-siap untuk ke Golok, memenuhi undangan majlis pengkisahan keluarga sebelah arwah ayah kami. Selesai sarapan nasi lemak home made, kami menuju ke rumah ma. Menaiki kereta Honda CRV milik Aziah yang dipandu Muhammad, kami berenam bergerak dari rumah ma kira-kira jam 8.20 pagi. Kiranya kamilah yang mula-mula bergerak sebab kerabat lain di rumah ma masih dalam proses yang entah pukul berapa baru boleh siap!

Rupanya perancangan kami seperti tidak diizinkan kerana kisah berbeza yang tiba. Laluan ke imigresen dinaiki air dan hanya kenderaan berat yang boleh meredah takungan air sebegitu. Tidak berani mengambil risiko, kami berpatah pulang. Kami reda, walaupun sedikit kecewa. Semoga Allah memberi ruang sebegini pada masa lain pula.





Jamuan nasi komok nampaknya bukan rezeki kami. Tidak mengapa, saya ada idea lain yang rasanya tidak kurang lazat.

Saya bersedia untuk memasak lauk ikan percik hari ini. Minggu lepas suami saya bertanya, pandai ke masak ikan percik? Eh, pandai! Jawab saya. Lalu terjadilah ikan kembung percik pada Selasa itu. Suami saya kata sedap, dan dia minta lagi hari ini.

Wah, saya teruja!

Sebenarnya bukan susah pun masak ikan percik. Ikan kembung dilumur dengan campuran garam ,halia, bawang putih, dan dibakar. Saya guna kuali je, bakar atas dapur gas. Kuahnya pula cuma sekotak kecil santan Kara, dicampur bawang merah dan halia yang ditumbuk lumat, serai yang diketuk serta garam dan gula. Dikacau atas api perlahan hingga pekat, sapukan sedikit pada ikan yang sedang dibakar untuk aroma. Apabila ikan masak, tuang kuah itu ke atas ikan. Siap!

Harapnya yang kali ini juga sesedap yang hari itu. Amin.



Wednesday, December 18, 2019

Berjaya

Allah temukan saya dengan pasangan ini pada suatu hari. Saya dan suami sedang mahu keluar dari parking, dan pasangan ini menghampiri. Kereta mereka cuma di sebelah kereta kami, jadi kami pun berkenal-kenal. Entah mengapa mereka seperti enggan melepaskan kami, mereka meminta nombor telefon kami, bertanya itu ini dan mengajak bergambar.

Lama, itu pun selepas mencari helah barulah kami berjaya memandu keluar kereta kami.

Esoknya, pasangan itu menghubungi kami. Mula-mula bertanya khabar. Kemudian mengongsi gambar, seterusnya memperkenalkan produk.

Produk CMX keluaran syarikat Maxxima.

Saya ini, dan suami juga, bukanlah mudah terpedaya dan tergoda dengan segala macam produk yang ada di sekitar, apatah lagi jika ia daripada jenis MLM. Objektif utama mereka ialah keuntungan, bukan jihad atau kepentingan masyarakat seperti yang mereka dakwa. Sudahnya, saya bosan.

Produk itu hanyalah makanan kesihatan tetapi harganya beratus ringgit. Khasiatnya usah cerita, semua penyakit boleh sembuh. Dan peniaganya (pasangan suami isteri inilah) sudah pun bersara awal daripada perkhidmatan awam (katanya guru, entah ya entah tidak) kerana mahu fokus pada perniagaan MLM ini yang lebih memberi pulangan. 

Agak-agak saya akan tergodakah?

Oh tidak!

Menjadi guru adalah jiwa saya. Apabila mereka mempromosi supaya bersara awal dan berniaga seperti mereka untuk kekayaan yang berganda, saya mula panas hati.

Apa mereka ingat menjadi guru ini tidak akan kaya? Bukan sahaja kaya harta, kami guru juga mudah mengumpul pahala. Walaupun berniaga itu sunnah dan jihad (katanya) saya tetap tidak berminat. Kalau berniaga boleh dapat RM100K sebulan dan menjadi guru pula tidak sampai pun RM10K, saya tetap memilih untuk menjadi guru.

Sia-sia sahaja mereka memujuk kami setiap hari dengan pelbagai hantaran mesej WhatsApp yang menunjukkan pencapaian kumpulan mereka kerana kami tidak berminat.

Saya dan suami sudah tidak melayan tetapi mereka masih mengganggu. Dari bosan timbul menyampah. Ingin sekali saya memblok mereka ini, tetapi belum tergamak.

Aduhai Melayu. Kalau nak berniaga, berniagalah, tidak perlu keterlaluan mengganggu kami yang tidak berminat ini!

Terima kasih kak atas perkongsian tapi saya tak minat meniaga. Saya sangat suka mengajar. Tak ada niat nak pencen awal dan kejar harta sebab kepuasan mengajar bagi saya lebih bermakna. Gaji kecil pun tak apa, dah lebih dari cukup untuk kami berdua. 

Harta banyak pun bila saya mati nanti nak bagi kat sapa, anak tak de. Cukuplah dengan rumah, kereta dan simpanan TH (yang dekat setengah juta dah kami simpan) sebagai bekalan hari tua. Itu pun kalau umur panjanglah...  

Agak-agak, kalau saya balas macam ni kat dia, sesuai tak?

🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣

Tuesday, December 17, 2019

Tuisyen?

Risau benar ibu bapa apabila tiba cuti sekolah yang panjang pada hujung tahun begini. Risau anak-anak lupa dengan pelajaran sebab asyik bermain dan menonton televisyen siang malam selain tidur dan menghadap gajet.

Risau sungguh!

Bagi ibu bapa, aktiviti-aktiviti sebegitu - bermain, menonton tv dan tidur - adalah sangat tidak berfaedah, sangat membuang masa dan tiada pengisian. 

Lalu ramailah yang bercadang menghantar anak-anak ke kelas tuisyen pada cuti-cuti begini. Itu yang sebaiknya dan paling berguna untuk masa depan.

Sebab itulah saya nampak anak-anak murid saya begitu sehala dalam berfikir. Ibu bapa merekalah yang mencorakkan fikiran anak-anak mereka menjadi begitu skema dan tidak mencapah. Segala aktiviti mereka sudah diatur begitu begini dan mereka tiada pilihan untuk berkreativiti sendiri. Semuanya terarah sepertu kehendak ibu bapa.

Baru sahaja anak-anak ini cuba meneroka alam dengan bermain di halaman bersama-sama anak jiran, ibu sudah memanggil masuk untuk membaca buku. Baru sahaja anak-anak ini mahu menonton tv kisah perang-perang, bapa sudah melarang dan menyuruh mereka siapkan kerja sekolah.

Di mana ruang mereka untuk berfikir sendiri? Semua diatur dan disusun. Semua diprogramkan seperti robot dan komputer.

Saya berasa kasihan benar.

Tidak salah bertuisyen, tetapi janganlah dinafikan hak mereka untuk bersosial dan berkreativiti. Malah berilah ruang mereka menonton rancangan tv untuk membuka minda mereka membina idea. Belikan mereka bahan bacaan dan terapkan minat membaca segala jenis buku, bukan hanya buku teks.

Galakkan mereka menulis kerana kebolehan ini sangat membantu mereka membina idea. Beri mereka sebuah buku untuk menulis dan tulislah tentang apa sahaja yang mereka mahu. Jangan lupa beri kata-kata semangat untuk mereka rajin berkarya.

Saya pernah membaca karangan anak murid saya yang di tingkatan empat dan berasa kasihan padanya. Dia seperti tidak tahu apa-apa tentang kisah sekitarnya.

Menjadi manusia berguna bukanlah semestinya dengan jujukan A yang tidak terhitung. Ia sesungguhnya lebih daripada itu.

Monday, December 16, 2019

Ikan Goreng

Saya ini bukan pemilih dalam bab makan. Sebagai penggemar tegar nasi, saya tidak kisah sangat lauknya macam mana, yang penting ada nasi! Hah, tak kelakar?

Masa kecil dulu, saya berselera je makan nasi berlaukkan ikan goreng dan kicap. Jika tiada ikan goreng, ikan rebus pun boleh. Maklumlah, ayam goreng jarang-jarang ada. Kalau ada pun seketul kena kongsi dengan adik beradik lain, tak boleh makan seorang. Tak cukup nanti. Dulu ayam mahal. Seekor dekat enam tujuh ringgit. Kalau ikan, seringgit pun boleh beli. Itu pun dah dapat empat lima ekor.

Masa berubah, zaman sekarang ikan lagi mahal daripada ayam. Sekilo ikan dekat dua puluh ringgit, baru lima ekor. Ayam murah sikit, seekor yang besar baru dua tiga belas ringgit. Boleh makan ramai-ramai.

Terbalik kan? Dunia sedang menuju penghujungnya, begitulah.

Minggu lepas gigi suami saya kena cabut. Tahu sahajalah sakitnya macam mana. Kesian tengok dia menahan rasa. Saya tak mampu berbuat apa-apa selain melihat dan berdoa.

Selama menanggung sakit cabut gigi itu, suami saya menolak semua jenis lauk kecuali ikan goreng. Rupa-rupanya ada hikmah besar buat saya, kerana saya tidak perlu fikir nak masak apa selain ikan goreng yang senang amat! Dahlah senang, sedap pula tu. Ya, saya suka ikan goreng. Ada ikan goreng, saya tak cari dah lauk lain!

Hari pertama, saya goreng ikan kembung. Malam pula saya goreng ikan tenggiri. Pagi esoknya saya goreng ikan bawal.

Ya Allah mudahnya!

Hari ini sudah seminggu dan sakitnya pun sudah sembuh. Dia sudah boleh makan macam-macam tetapi saya masih mahu menyediakan ikan goreng. Segala jenis ikan yang sedap saya beli untuk digoreng dan ternyata suami saya suka. Ikan gelama, ikan kikik dan ikan selar saya goreng bergilir-gilir. Kalaulah suami saya mengekalkan selera begini selama-lamanya, alangkah bagusnya!

Sunday, December 15, 2019

Pergi

Rintik hujan yang sekejap-sekejap pagi ini, membawa berita perginya seorang sahabat yang sejak lama bertarung dengan kesakitan. Ralat di hati tidak terhitung kerana tiada kesempatan untuk mengunjungi arwah yang keluar masuk IJN sejak Mac lagi.

Sahabat saya ini - Azlean Ariffin - ialah rakan sekelas saya sewaktu di MRSM Kuala Terengganu. Dia menghadapi masalah jantung yang kronik dan hanya pemindahan jantung sahaja dapat memberi peluang untuknya.

Nyata, Allah mengasihinya lebih daripada kami. Pagi ini, sekitar jam tujuh dia dipanggil pulang meninggalkan suami dan empat cahaya mata perempuan berusia sembilan hingga sembilan belas tahun.

Berehatlah Lean, kami di sini bakal menyusul. Semoga nanti kita bertemu di Syurga.



Thursday, December 12, 2019

Raudhah

12 Disember 2017
Madinah
Satu Catatan Rasa

Sungguh. Hairan dan keliru. Tidak tercapai akalku kenapa perlu bersesak-sesak dan berebut-rebut. Pahala apa begitu?  

Kami dibawa ke raudhah pada jam 9 malam oleh mutawwifah Indonesia. Suasana padat dan bersesak-sesak amat tidak terkawal walaupun ada petugas-petugas wanita yang membantu mengawal keadaan. Kasihan mereka menjerit-jerit dalam pelbagai bahasa -  sekejap melayu, sekejap urdu, sekejap turki -  tetapi tidak dihiraukan.   

Berjam-jam kami menunggu untuk masuk ke raudhah yang sepatutnya mengikut giliran tetapi ada sahaja yang suka suka memotong, bertolak-tolak dan berebut-rebut. Ada yang jatuh, dibiarkan. Ada yang solat lama-lama dan menghalang laluan jemaah yang mahu keluar. Saya yang sempat berdiri sebentar di kawasan raudhah itu, terus mencari jalan keluar kerana tidak mampu menggapai kekhusyukan untuk berdoa. Amat hingar. Bising sekali.  

Sistem bagaimanakah lagi yang boleh dilaksanakan jika disiplin umat Islam sudah jatuh ke nombor sejuta?  

Pada hari terakhir di Madinah, kakak ipar saya mengajak sekali lagi ke Raudhah. Saya memohon maaf untuk tidak ke sana, kerana kesesakan yang keterlaluan itu tidak mendamaikan hati saya untuk bertemu Rasulullah.   

Begitulah.


Dari catatan Ustaz Rifqi

Air mataku menitis bersebelahan Raudhah. 

Sejak ku sampai ke madinah,  aku ingin aekali berdoa di Raudhah.  Bila daku pergi shj ke Raudhah terlalu ramai yg berpusu2,  tolak menolak  utk memasuki Raudhah. 

Aku batalkan niatku. Namun,  hampir setiap hari anakku Amin Rifqi mendesakku utk memasuki Raudhah.  Katanya dia ingin berdoa di Taman Syurga. 

Ok lah,  di hari terakhir di Madinah,  aku membawa anakku ke Raudhah sejam sblm Zuhur.  Menunggu bersama jemaah lain.  Bila dibuka shj tirai penghadang, semua bertolak2 utk memasukinya.  Hatiku berdetik,  malunya kpd Rasulullah.  Stlh solat di Raudhah,  aku ajak ankku keluar utk beri peluang kpd org lain. 

Sbb aku berada di saf terakhir Raudhah,  senanglah aku isyaratkan kpd org blkgku utk ambil tmptku. Dia terkejut krn menyangka aku akan terus di situ krn Zuhur dah hampir.  Aku pula berfikir,  lebih baik utkku solat di luar raudhah krn lbh selesa rukuk dan sujud. 

Stlh aku solat Zuhur,  aku bangun utk jamakkan dgn asar berjemaah bersama anakku.  Sdg kami solat,  ramai jemaah yg bangun menolakku dan mennganggu silatku,  krn bergegas nak ke Raudhah.  Ditolaknya aku sampai mengganggu solatku.  Kali ni airmataku gugur.  Hatiku berdetik YA RASULALLAH.  Inilah umatmu.  Umatmu yg tandus akhlak,  yg ganggu org solat,  yg tak de ithar yg sanggup buat perkara buruk ini di sebelah maqammu.  Ya Rasulallah maafkanlah umatmu,  mrk jahil menilai keutamaan. 

Selesai solat,  aku tanya anakku,  tahukah kenapa Baba tak nak masuk Raudhah?  Anakku kehairanan.  

Sbbnya Baba malu kpd Rasulullah krn mementingkan diri sendiri,  bertolak2 di hadapan baginda.  Bygkan jika baginda ada di dpn kita saat bertolak2 itu,  adakah baginda akan senyum kpd kita atau baginda alan masam?

Anakku,  kalau benar nak berada di Raudhah,  hadirilah majlis ilmu di masjid.

Tuesday, December 10, 2019

Sakit Gigi

Tak, bukan saya tetapi suami saya yang sakit gigi.

Petang Sabtu baru-baru ini suami saya mengadu giginya berdenyut. Kami sama-sama mengunyah kerepek kentang Chipsters sambil menonton tv pada tengah hari itu, waktu itu giginya belum sakit.

Selesai makan, dia mencungkil gigi sebab kerepek ini kuat melekat katanya. Saya agak dia mencungkil teruk sangatlah tu, sampai tercucuk gusi. Petang itulah dia mula kesakitan.

Malam itu dia tidak dapat lena, sakit sungguh, berdenyut-denyut katanya. Lalu pada pagi Ahad itu saya menyarankan dia ke klinik gigi. Dia menurut.

Kami ke Klinik Kesihatan Perol, dan doktor cuma menampal gigi itu. Sebenarnya doktor tidak berani mencabut kerana bacaan tekanan darah suami saya agak tinggi.

Sudahnya, giginya masih tidak berhenti dari sakit dan berdenyut. Saya buntu juga, hanya mampu berdoa.

Malam itu kami ke Klinik Pergigian Fasha si Wakaf Che Yeh. Masih lagi doktor enggan mencabut kerana tekanan darah masih tinggi. Suami saya cuma dibekalkan dengan ubat tahan sakit Ibuprofen.

Mujur sakitnya berkurangan dan dapat tidur lena pada malam ini.

Isnin menjelma, suami saya bertugas di sekolah. Saya mengambil ruang ini untuk berkumpul dengan adik-adik di rumah ma. Jam 2 petang saya pulang dijemput suami. Bukan pulang ke rumah pun tetapi menyelesaikan pelbagai urusan yang perlu. Kami ke Klinik Ehsan untuk suntikan vaksin umrah, seterusnya menuju ke pejabat Emraz di Tunjong untuk menyerahkan buku suntikan itu bersama-sama dokumen lain yang perlu. Suami saya kelihatan okay, tidak sakit. Saya lega.

Malam ini pun dia baik-baik sahaja dan dapat tidur lena, Alhamdulillah.

Pagi Selasa hari ini, dia memberitahu saya dia tetap mahu ke klinik gigi untuk mencabut gigi. Dia kata selagi tidak dicabut selagi itulah sakit giginya akan berulang. Saya menurut sahaja.

Jam 9 kami tiba di klinik dan suami saya ialah pesakit pertama. Kali ini doktor mencabut gigi suami saya, dan selesailah segalanya dengan harga RM70.

Rupa-rupanya sakit selepas gigi dicabut juga boleh tahan teruknya. Nampak benar dia kesakitan walaupun selepas mengambil ibuprofen. Selepas hampir dua jam, badannya mula panas. Saya meminta dia menelan Panadol pula.

Sekarang jam sudah 11.45 pagi, dan dia terlena. Mungkin sudah berkurangan sedikit sakitnya itu dan saya rasa lega.

Sungguh, apabila suami sakit saya sentiasa buntu. Saya tidak tahu mahu bertindak bagaimana selain berdoa agar dia sembuh.

Harap-harap selepas ini dia akan sembuh sepenuhnya. Amin.

Sunday, December 08, 2019

Banyak Cerita

Dalam hidup yang sementara ini, begitu banyak kisah yang umpama pusingan roda beredar di sekeliling kita. Segalanya ada iktibar dan tentu sekali bukanlah sia-sia. Saat mencari diri dan merenung cerita-cerita kehidupan yang bertebaran ini, harapnya ada insaf menjentik di hati.

Kita tidak selamanya sihat dan kuat. Akan tiba detik yang nanti kita perlukan bantuan dan pertolongan. Memikirkan itu saya jadi sayu dan bimbang, tetapi hidup perlu diteruskan. Apa pun yang di hadapan, serahkan pada Tuhan dan teruskan berdoa agar dalam rahmat-Nya sentiasa.

Pada 20 November baru-baru ini, abang ipar saya Ismail @ Abdul Wahab bin Salleh yang berusia 71 tahun dimasukkan ke hospital kerana ketumbuhan dalam kepala. Selepas seminggu dia dibenarkan pulang tanpa apa-apa rawatan selain ujian MRI yang tidak diberitahu pun keputusannya. Dia diminta kembali ke wad pada 9 Disember nanti.

Minggu lepas pula, seorang lagi abang ipar saya iaitu Mohd Nor @ Awang bin Salleh yang tinggal di Laloh dan berusia 72 tahun pula ditimpa musibah. Kakinya terpijak paku dan dia penghidap diabetes. Sekarang dia berada di hospital Kuala Krai untuk rawatan.

Kedua-duanya dijaga oleh isteri masing-masing yang juga sudah berusia dan uzur. Betapa kuat dan tabahnya wanita-wanita yang bergelar isteri ini, Allah jua yang mampu membalasnya.

Dalam lingkungan lain pula, ada suami yang lupa pada isteri dan ghairah mencari cinta baru tanpa sedar yang pusingan hidup ini umpama roda. Ada juga isteri yang berasa jemu berada di sisi suami lalu mengharapkan suaminya cepat pergi. Sungguh rencam situasi dan isu di sekitar, sehingga terbit bimbang dan cuak dalam hati.

Apa pun, janganlah jemu untuk terus meminta kepada Allah agar kita tidak diuji dengan ujian yang tidak mampu kita lalui. Amin.

Friday, December 06, 2019

Mencari Sejahtera

Dalam hidup ini, seboleh mungkin cubalah untuk tidak menyakiti siapa-siapa. Dalam berbicara dan bertindak, usahlah merasa yang kita sentiasa betul dan segala kesalahan itu berada pada pihak lain. Kita manusia, bukan malaikat!

Jika sekali pun kita rasa tindakan kita betul, masih ada ruang untuk kita muhasabah kenapa pihak lain masih mahu menyalahkan. Jika benar kita betul, kenapa mereka enggan menerima?

Kadang-kadang kita rasa sakit kerana mereka tidak mahu memahami, tetapi fahamkah kita yang orang lain juga ada yang sakit kerana kita? Hidup ini dua hala, memberi dan menerima. Jangan nampak bahagian kita sahaja sehingga lupa perasaan orang lain.

Sejahtera itu impian dan tujuan setiap ikatan, jadi usaha ke arah itu perlu benar-benar gigih. Jangan hanya umpama melepas batok di tangga, tanpa bersungguh-sungguh mencuba kita sudah mula mencari alternatif lain. Benar pilihan dalam hidup ini banyak, tetapi sentiasanya yang kita sudah miliki itulah yang perlu dijaga rapi sebelum sibuk mahu mencurah bakti kepada yang tidak memerlukan.

Dan sudahnya, agama dijadikan alasan untuk menjustifikasi suatu tindakan yang landasannya sudah jelas tergelincir! Mungkin buta hati, atau terpedaya dengan hasutan syaitan.

Jangan nanti apabila nasi sudah menjadi bubur barulah segalanya jelas terpampang di depan mata. Intan dan kaca zahirnya sama berkilau tetapi nilainya berbeza. Penyesalan seringkali merugikan, walaupun ia pembuka jalan.

Semoga Allah memberi yang terbaik buat setiap hamba-Nya yang meminta.

Thursday, December 05, 2019

Berpulang Akhirnya

Dalam banyak-banyak kisah semasa yang viral pada minggu ini, yang mengundang rasa untuk saya mengulas tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kekangan yang pelbagai, yang ini kelihatannya menyentuh.

Dia, Dato' Nassier Wahab yang sering menghiburkan saya sejak saya berusia 13 tahun kini dipanggil pulang ke pangkuan Tuhan.



Berita pertama yang saya tatap pada Subuh tadi benar-benar mengejutkan. Selama ini dia menderita sakit tetapi tidak ramai yang tahu. Begitu dia berahsia sehingga ke akhir nyawa.

Berehatlah dalam kasih Tuhan wahai seniman. Semoga Allah merahmatimu.

Amin.

Wednesday, December 04, 2019

Cermin Mata Baharu


Ini cermin mata saya yang ketiga dan bingkai yang keempat.

Sejarah cermin mata rabun dekat saya bermula pada April 2012. Waktu itu saya ke Rosmadi Optometris di Wakaf Che Yeh untuk pemeriksaan mata, dan saya disahkan menpunyai masalah rabun dekat kerana faktor usia.

Lalu saya menempah cermin mata multifocal dengan bingkai jenama Bonia dengan harga RM650. Mahal rupanya cermin mata ini, baru saya tahu.

Selama empat tahun saya menggunakan cermin mata itu, dan tangkainya pernah patah tetapi saya betulkan di kedai dengan menggantikan tangkai baru yang berbeza. Saya tidak kisah memakainya walaupun nampak pelik.

Pada Jun 2016, saya mula berasa cermin mata itu sudah tidak sesuai dengan mata saya. Dengan kata lain, saya sudah semakin rabun! Saya ke Optometris Keluarga di Ketereh untuk cermin mata baharu. Kali ini saya memilih kanta BBGR dang bingkai jenama Elizabeth Arden. Harganya RM950.

Pada Mac baru-baru ini, cermin mata saya itu patah. Sebelum ini saya pernah terduduk di atas cermin mata itu sehingga tercabut cermin daripada bingkai. Mujur masih boleh dibetulkan. Tetapi apabila tangkai ini patah, ia audah tidak boleh dibaiki. Terpaksalah saya menukar bingkai baru dengan harga RM300.

Minggu lepas saya mengajak suami ke Optometris lagi, dan kali ini masih memilih Optometris Keluarga di Ketereh itu untuk membuat cermin mata baharu.

Di situ mata saya diperiksa dan di x-ray, Alhamdulillah tiada masalah lain selain rabun dekat. Saya masih memilih kanta BBGR dan bingkai Monalisa dengan jumlah harga RM1150.

Semakin lama semakin mahal rupanya!

Tuesday, December 03, 2019

Di Pintu Mahligai

Di dalam kesunyian
Ku rasa gelombangnya  
Mencintaimu satu kewajipan  
Tapi tak terluah dengan perkataan  

Tika fajar menyinsing  
Ku sentuh sinar kasih  
Dari matamu dekat dan terasing  
Aku menanti singkapan tabir cinta  
Aku menanti saat menjadi nyata  

Kesunyian ini terlalu indah   
walaupun pahit untuk kutelan  
Walaupun pedih sanggup kutahan  
Dan kurelakannya  

Puteri di pintu mahligai  
Ku lihat kasihmu melambai  
Walaupun jauh tapi jelas 
Jiwaku menyentuh jiwamu  

Puteri di pintu mahligai  
Nyatakan segala impian   
Sambutlah tangan 
sambutah  
Semoga terlepas  
Segala siksaan  

Dengan sayap impian  
Ingin terbang ke sana   
Membawa cinta sebesar dunia  
Apa jua milikmu dan ku tahu  
Hanya untukmu