Wednesday, December 18, 2019

Berjaya

Allah temukan saya dengan pasangan ini pada suatu hari. Saya dan suami sedang mahu keluar dari parking, dan pasangan ini menghampiri. Kereta mereka cuma di sebelah kereta kami, jadi kami pun berkenal-kenal. Entah mengapa mereka seperti enggan melepaskan kami, mereka meminta nombor telefon kami, bertanya itu ini dan mengajak bergambar.

Lama, itu pun selepas mencari helah barulah kami berjaya memandu keluar kereta kami.

Esoknya, pasangan itu menghubungi kami. Mula-mula bertanya khabar. Kemudian mengongsi gambar, seterusnya memperkenalkan produk.

Produk CMX keluaran syarikat Maxxima.

Saya ini, dan suami juga, bukanlah mudah terpedaya dan tergoda dengan segala macam produk yang ada di sekitar, apatah lagi jika ia daripada jenis MLM. Objektif utama mereka ialah keuntungan, bukan jihad atau kepentingan masyarakat seperti yang mereka dakwa. Sudahnya, saya bosan.

Produk itu hanyalah makanan kesihatan tetapi harganya beratus ringgit. Khasiatnya usah cerita, semua penyakit boleh sembuh. Dan peniaganya (pasangan suami isteri inilah) sudah pun bersara awal daripada perkhidmatan awam (katanya guru, entah ya entah tidak) kerana mahu fokus pada perniagaan MLM ini yang lebih memberi pulangan. 

Agak-agak saya akan tergodakah?

Oh tidak!

Menjadi guru adalah jiwa saya. Apabila mereka mempromosi supaya bersara awal dan berniaga seperti mereka untuk kekayaan yang berganda, saya mula panas hati.

Apa mereka ingat menjadi guru ini tidak akan kaya? Bukan sahaja kaya harta, kami guru juga mudah mengumpul pahala. Walaupun berniaga itu sunnah dan jihad (katanya) saya tetap tidak berminat. Kalau berniaga boleh dapat RM100K sebulan dan menjadi guru pula tidak sampai pun RM10K, saya tetap memilih untuk menjadi guru.

Sia-sia sahaja mereka memujuk kami setiap hari dengan pelbagai hantaran mesej WhatsApp yang menunjukkan pencapaian kumpulan mereka kerana kami tidak berminat.

Saya dan suami sudah tidak melayan tetapi mereka masih mengganggu. Dari bosan timbul menyampah. Ingin sekali saya memblok mereka ini, tetapi belum tergamak.

Aduhai Melayu. Kalau nak berniaga, berniagalah, tidak perlu keterlaluan mengganggu kami yang tidak berminat ini!

Terima kasih kak atas perkongsian tapi saya tak minat meniaga. Saya sangat suka mengajar. Tak ada niat nak pencen awal dan kejar harta sebab kepuasan mengajar bagi saya lebih bermakna. Gaji kecil pun tak apa, dah lebih dari cukup untuk kami berdua. 

Harta banyak pun bila saya mati nanti nak bagi kat sapa, anak tak de. Cukuplah dengan rumah, kereta dan simpanan TH (yang dekat setengah juta dah kami simpan) sebagai bekalan hari tua. Itu pun kalau umur panjanglah...  

Agak-agak, kalau saya balas macam ni kat dia, sesuai tak?

🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣🤣

No comments:

Post a Comment