Tuesday, December 10, 2019

Sakit Gigi

Tak, bukan saya tetapi suami saya yang sakit gigi.

Petang Sabtu baru-baru ini suami saya mengadu giginya berdenyut. Kami sama-sama mengunyah kerepek kentang Chipsters sambil menonton tv pada tengah hari itu, waktu itu giginya belum sakit.

Selesai makan, dia mencungkil gigi sebab kerepek ini kuat melekat katanya. Saya agak dia mencungkil teruk sangatlah tu, sampai tercucuk gusi. Petang itulah dia mula kesakitan.

Malam itu dia tidak dapat lena, sakit sungguh, berdenyut-denyut katanya. Lalu pada pagi Ahad itu saya menyarankan dia ke klinik gigi. Dia menurut.

Kami ke Klinik Kesihatan Perol, dan doktor cuma menampal gigi itu. Sebenarnya doktor tidak berani mencabut kerana bacaan tekanan darah suami saya agak tinggi.

Sudahnya, giginya masih tidak berhenti dari sakit dan berdenyut. Saya buntu juga, hanya mampu berdoa.

Malam itu kami ke Klinik Pergigian Fasha si Wakaf Che Yeh. Masih lagi doktor enggan mencabut kerana tekanan darah masih tinggi. Suami saya cuma dibekalkan dengan ubat tahan sakit Ibuprofen.

Mujur sakitnya berkurangan dan dapat tidur lena pada malam ini.

Isnin menjelma, suami saya bertugas di sekolah. Saya mengambil ruang ini untuk berkumpul dengan adik-adik di rumah ma. Jam 2 petang saya pulang dijemput suami. Bukan pulang ke rumah pun tetapi menyelesaikan pelbagai urusan yang perlu. Kami ke Klinik Ehsan untuk suntikan vaksin umrah, seterusnya menuju ke pejabat Emraz di Tunjong untuk menyerahkan buku suntikan itu bersama-sama dokumen lain yang perlu. Suami saya kelihatan okay, tidak sakit. Saya lega.

Malam ini pun dia baik-baik sahaja dan dapat tidur lena, Alhamdulillah.

Pagi Selasa hari ini, dia memberitahu saya dia tetap mahu ke klinik gigi untuk mencabut gigi. Dia kata selagi tidak dicabut selagi itulah sakit giginya akan berulang. Saya menurut sahaja.

Jam 9 kami tiba di klinik dan suami saya ialah pesakit pertama. Kali ini doktor mencabut gigi suami saya, dan selesailah segalanya dengan harga RM70.

Rupa-rupanya sakit selepas gigi dicabut juga boleh tahan teruknya. Nampak benar dia kesakitan walaupun selepas mengambil ibuprofen. Selepas hampir dua jam, badannya mula panas. Saya meminta dia menelan Panadol pula.

Sekarang jam sudah 11.45 pagi, dan dia terlena. Mungkin sudah berkurangan sedikit sakitnya itu dan saya rasa lega.

Sungguh, apabila suami sakit saya sentiasa buntu. Saya tidak tahu mahu bertindak bagaimana selain berdoa agar dia sembuh.

Harap-harap selepas ini dia akan sembuh sepenuhnya. Amin.

No comments:

Post a Comment