Risau benar ibu bapa apabila tiba cuti sekolah yang panjang pada hujung tahun begini. Risau anak-anak lupa dengan pelajaran sebab asyik bermain dan menonton televisyen siang malam selain tidur dan menghadap gajet.
Risau sungguh!
Bagi ibu bapa, aktiviti-aktiviti sebegitu - bermain, menonton tv dan tidur - adalah sangat tidak berfaedah, sangat membuang masa dan tiada pengisian.
Lalu ramailah yang bercadang menghantar anak-anak ke kelas tuisyen pada cuti-cuti begini. Itu yang sebaiknya dan paling berguna untuk masa depan.
Sebab itulah saya nampak anak-anak murid saya begitu sehala dalam berfikir. Ibu bapa merekalah yang mencorakkan fikiran anak-anak mereka menjadi begitu skema dan tidak mencapah. Segala aktiviti mereka sudah diatur begitu begini dan mereka tiada pilihan untuk berkreativiti sendiri. Semuanya terarah sepertu kehendak ibu bapa.
Baru sahaja anak-anak ini cuba meneroka alam dengan bermain di halaman bersama-sama anak jiran, ibu sudah memanggil masuk untuk membaca buku. Baru sahaja anak-anak ini mahu menonton tv kisah perang-perang, bapa sudah melarang dan menyuruh mereka siapkan kerja sekolah.
Di mana ruang mereka untuk berfikir sendiri? Semua diatur dan disusun. Semua diprogramkan seperti robot dan komputer.
Saya berasa kasihan benar.
Tidak salah bertuisyen, tetapi janganlah dinafikan hak mereka untuk bersosial dan berkreativiti. Malah berilah ruang mereka menonton rancangan tv untuk membuka minda mereka membina idea. Belikan mereka bahan bacaan dan terapkan minat membaca segala jenis buku, bukan hanya buku teks.
Galakkan mereka menulis kerana kebolehan ini sangat membantu mereka membina idea. Beri mereka sebuah buku untuk menulis dan tulislah tentang apa sahaja yang mereka mahu. Jangan lupa beri kata-kata semangat untuk mereka rajin berkarya.
Saya pernah membaca karangan anak murid saya yang di tingkatan empat dan berasa kasihan padanya. Dia seperti tidak tahu apa-apa tentang kisah sekitarnya.
Menjadi manusia berguna bukanlah semestinya dengan jujukan A yang tidak terhitung. Ia sesungguhnya lebih daripada itu.
No comments:
Post a Comment