Dalam hidup yang sementara ini, begitu banyak kisah yang umpama pusingan roda beredar di sekeliling kita. Segalanya ada iktibar dan tentu sekali bukanlah sia-sia. Saat mencari diri dan merenung cerita-cerita kehidupan yang bertebaran ini, harapnya ada insaf menjentik di hati.
Kita tidak selamanya sihat dan kuat. Akan tiba detik yang nanti kita perlukan bantuan dan pertolongan. Memikirkan itu saya jadi sayu dan bimbang, tetapi hidup perlu diteruskan. Apa pun yang di hadapan, serahkan pada Tuhan dan teruskan berdoa agar dalam rahmat-Nya sentiasa.
Pada 20 November baru-baru ini, abang ipar saya Ismail @ Abdul Wahab bin Salleh yang berusia 71 tahun dimasukkan ke hospital kerana ketumbuhan dalam kepala. Selepas seminggu dia dibenarkan pulang tanpa apa-apa rawatan selain ujian MRI yang tidak diberitahu pun keputusannya. Dia diminta kembali ke wad pada 9 Disember nanti.
Minggu lepas pula, seorang lagi abang ipar saya iaitu Mohd Nor @ Awang bin Salleh yang tinggal di Laloh dan berusia 72 tahun pula ditimpa musibah. Kakinya terpijak paku dan dia penghidap diabetes. Sekarang dia berada di hospital Kuala Krai untuk rawatan.
Kedua-duanya dijaga oleh isteri masing-masing yang juga sudah berusia dan uzur. Betapa kuat dan tabahnya wanita-wanita yang bergelar isteri ini, Allah jua yang mampu membalasnya.
Dalam lingkungan lain pula, ada suami yang lupa pada isteri dan ghairah mencari cinta baru tanpa sedar yang pusingan hidup ini umpama roda. Ada juga isteri yang berasa jemu berada di sisi suami lalu mengharapkan suaminya cepat pergi. Sungguh rencam situasi dan isu di sekitar, sehingga terbit bimbang dan cuak dalam hati.
Apa pun, janganlah jemu untuk terus meminta kepada Allah agar kita tidak diuji dengan ujian yang tidak mampu kita lalui. Amin.
No comments:
Post a Comment