Saya bukan apa, rasa hairan je dengan macam-macam kaedah menabung yang saya baca di media sosial.
Maksud tersiratnya, orang kita ini susah sangat untuk menabung sehingga perlukan pelbagai cara supaya terjadinya menabung itu.
Pada saya, apa cara pun boleh asalkan niat menabung itu tidak dipesongkan. Jika menabung untuk membeli barang sekolah anak, maka pastikan wang itu benar-benar diguna untuk itu. Jika menabung untuk melancong pun begitulah.
Cara saya pula, saya menabung untuk menabung. Tiada apa-apa tujuan selain menabung. Apabila ada keperluan yang amat mendesak barulah saya gunakan wang itu tetapi jika saja-saja nak berbelanja mewah, tidak sama sekali. Untuk tujuan yang khusus seperti melancong, keperluan asas, insurans dan cukai jalan kereta semuanya sudah ada dalam senarai bajet bulanan. Tidak perlu diasingkan selagi tahu mendisiplinkan diri dalam menggunakan duit gaji. Jangan kata sebab gaji saya besar bolehlah begitu kerana saya hanya seorang guru biasa seperti ramai lagi orang lain.
Duit baki gaji bulan-bulan pula saya biarkan di dalam akaun sahaja dan pada hujung tahun saya boleh menggunakannya tanpa silu. Ketika inilah adik beradik dan anak-anak saudara saya berkumpul jadi bolehlah saya menggunakan wang itu untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan membelikan mereka makanan dan buku-buku. Perasaan seronok itu tidak boleh diganti dengan wang ringgit. Sungguh!
No comments:
Post a Comment